backup og meta

Tak Perlu Lagi Pembedahan Untuk Rawat Katarak! Ubat Titis Mata Sudah Cukup?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 20/10/2022

    Tak Perlu Lagi Pembedahan Untuk Rawat Katarak! Ubat Titis Mata Sudah Cukup?

    Katarak, adalah penyakit kekaburan selaput mata yang berupaya menyebabkan penglihatan kabur. Sekiranya tidak dirawat, ia boleh menyebabkan kebutaan!

    Antara rawatan sering disyorkan dan dilakukan, yang terbukti berkesan adalah melibatkan pembedahan mata.

    Pakar mata akan meminta pesakit untuk mempertimbangkan pembedahan apabila katarak mula mempengaruhi kualiti hidup atau mengganggu kemampuan untuk melakukan aktiviti harian yang normal.

    Namun begitu, ada khabar angin berlegaran yang menyatakan penggunaan ubat titis mata sebagai rawatan alternatif katarak.

    Benarkah ia semudah itu? Bolehkah ubat titis mata membantu merawat katarak dan penglihatan yang kabur?

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Mata, sila dapatkannya di sini.

    Masalah katarak & rawatan pembedahan

    Antara simptom yang dihadapi oleh penderita katarak, yang selalunya terjadi dalam kalangan warga emas, merangkumi:

  • Penglihatan kabur dan tidak jelas
  • Kesukaran melihat dengan jelas pada waktu malam
  • Sensitif terhadap cahaya dan silau
  • Memerlukan pencahayaan yang terang untuk membaca dan melakukan aktiviti lain
  • Melihat halos di sekitar lampu/sumber cahaya
  • Memerlukan perubahan preskripsi cermin mata atau kanta lekap yang kerap
  • Penglihatan berganda dalam 1 mata
  • Penglihatan kabur yang disebabkan oleh katarak, hingga hari ini dirawat dengan pembedahan dan mempunyai kadar kejayaan yang sangat tinggi.

    penglihatan kabur

    Pembedahan ini melibatkan pembuangan katarak dan memasukkan implan kanta tiruan yang jernih.

    Prosedur ini biasanya dilakukan di bawah anestesia setempat (local anesthesia) dan memerlukan masa kurang dari 30 minit dalam kebanyakan kes.

    Semasa pembedahan dijalankan, pakar bedah bakal menyingkirkan katarak menggunakan ultrabunyi dan memasukkan implan kanta intraokular yang baharu.

    Dari hari pertama hingga ke-4, penglihatan mula bertambah baik, namun proses pemulihan biasanya memakan masa 3 ke 4 minggu.

    Tambahan itu, dalam tempoh pemulihan ini juga pesakit perlu berulang-alik mengunjungi pakar bedah sebagai lawatan susulan.

    Pembedahan katarak turut menjadi salah satu operasi yang paling kerap dilakukan dan mempunyai kadar kejayaan tinggi di dunia!

    Kebanyakan kes dilakukan dengan selamat, dengan mengekalkan risiko komplikasi pada tahap minimum, serta kepuasan pasca pembedahan yang tinggi.

    Namun, pakar tidak menjanjikan bulan dan bintang kerana risiko komplikasi atau kegagalan juga masih wujud walaupun dalam peratusan yang sangat kecil.

    Rawatan katarak: Benarkah penitis mata boleh merawat?

    Berbalik kepada persoalan utama kupasan ini, benarkah ubat titis mata sudah memadai dan berkesan dalam merawat katarak?

    Pencarian rawatan alternatif untuk penyelesaian penglihatan kabur yang disebabkan oleh katarak sememangnya amat dinanti-nantikan.

    Antara yang sedang dikaji, meliputi penggunaan ubat titis mata. Sasarannya adalah sebatian yang dikenali sebagai lanosterol (sejenis steroid yang terdapat di dalam mata manusia).

    Profesor Babizhayev, Ahli Fizik Bio dan Pengarah Eksekutif Produk Penglihatan Inovatif (IVP), mempatenkan dan mencipta ubat titis mata ini.

    Walau bagaimanapun, keberkesanannya masih belum terbukti.

    ubat titits mata

    Para saintis menemui kebolehan dalam mengawal pembentukan katarak lanosterol dengan mengkaji 2 kanak-kanak yang mempunyai keturunan katarak pada usia muda.

    Mereka didapati mempunyai mutasi genetik di mana tubuh mereka menyekat penghasilan lanosterol.

    Menariknya, ibu bapa mereka kekurangan mutasi ini dan tidak pernah menghidap katarak atau penglihatan kabur.

    Justeru, para saintis menyimpulkan bahawa lanosterol berfungsi menjaga kanta mata manusia, dengan menghentikan pemecahan dan penggumpalan protein yang bersifat jernih.

    Penyelidikan kemudian diuji buat pertama kalinya pada sel kanta mata manusia.

    Kajian menunjukkan, ketika lanosterol digunakan pada sel, protein kanta ternyata berhenti bergumpal dan bertambah jernih.

    Seterusnya, mereka menjalankan ujian ke atas arnab yang menderita katarak pula.

    Setelah menggunakan lanosterol selama 6 hari, 85% arnab mengalami penurunan keparahan katarak dengan ketara!

    Lanosterol dikatakan dapat mengecilkan ukuran katarak dengan ketara dan menjernihkan ketelusan kanta mata.

    Walau bagaimanapun, para saintis memberi amaran bahawa lebih banyak penyelidikan diperlukan sebelum mengiktirafnya sebagai rawatan yang dipercayai dan boleh digunakan ke atas mata manusia.

    Harus para pembaca fahami, U.S. Food and Drug Administration (FDA) juga belum menyetujui dakwaan penggunaan ubat titis mata sebagai penyembuh atau melambatkan katarak.

    Ingin penulis tekankan sekali lagi, lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk menilai aspek keselamatan dan keberkesanan kepada manusia.

    Sementara itu, satu-satunya rawatan berkesan untuk katarak adalah, pembedahan.

     Bolehkah masalah mata ini dicegah?

    penglihatan kabur

    Oleh sebab katarak tidak ada penawar semula jadi, beberapa amalan gaya hidup sihat mungkin dapat membantu!

    Berikut adalah antara langkah pencegahan yang berupaya mengurangkan risiko memperoleh katarak dan  penglihatan kabur, iaitu:

    1. Melakukan pemeriksaan mata secara berkala: Dengan cara ini, doktor atau pakar mata akan dapat mengesan dan merawat sebarang masalah berkaitan mata dengan lebih awal.
    2. Berhenti merokok, kurangkan pengambilan alkohol dan atasi masalah kesihatan: Masalah kesihatan seperti diabetes, serta pengambilan alkohol dan tembakau berlebihan, berisiko meningkatkan kemungkinan terjadinya katarak.
    3. Amalkan pola pemakanan sihat, merangkumi buah-buahan dan sayur-sayuran: Makanan yang kaya dengan vitamin dan mineral dikaitkan dengan penurunan risiko katarak.
    4. Pakai cermin mata hitam: Pendedahan sinar ultraviolet (UV) boleh menyumbang kepada pembentukan katarak.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 20/10/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan