Bagaimana nak kenal pasti air mani dengan sperma subur? Walaupun dengar macam mengarut, ia merupakan satu persoalan yang sering bermain di fikiran pasangan yang hendak mendapatkan anak.
Manakan tidak, mereka yang kerap kali mencuba namun belum dikurniakan cahaya mata sering mencari alternatif lain termasuklah mencuba produk yang tidak diketahui akan keberkesanannya.
Namun tahukah anda, terdapat indikator mudah seperti karakter air mani itu sendiri yang boleh memberikan maksud tertentu seperti ketidaksuburan.
Artikel ini akan mengupas perihal warna air mani lelaki dalam konteks mengenal pasti sperma subur yang boleh dijadikan panduan oleh kaum Adam.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Lelaki, sila dapatkannya di sini.
Kenapa warna air mani boleh berubah?
Sama seperti lendir pada faraj wanita, warna air mani juga boleh diterjemahkan kepada risiko keadaan kesihatan pada individu tertentu.
Suka untuk penulis ingatkan, walaupun secara amnya, air mani bagi individu sihat berwarna putih seakan-akan kelabu, ia juga boleh dipengaruhi oleh faktor genetik dan pemakanan.
Jika seseorang itu mengalami perubahan warna air mani, anda tidak perlu terburu-buru mendiagnosis penyakit berdasarkan parameter tersebut semata-mata.
Terdapat indikator lain yang perlu diberi perhatian seperti gejala penyakit.
Kalau seseorang itu tidak bergejala, perubahan warna sementara itu tidak perlu diterjemahkan kepada apa-apa diagnosis.
Walau bagaimanapun, penting untuk anda tahu bila masa yang sesuai untuk ke klinik bagi pemeriksaan lanjut oleh doktor bertauliah.
Anda mungkin berminat:
- TERJAWAB, Rupa-rupanya Inilah 7 Sebab Mengapa Zakar Terasa Sakit Semasa Keluar Air Mani!
- Warna Air Mani Pun Ada Maksudnya, Bukan Kuning Saja, Bahkan Ada Yang Hitam!
Warna air mani putih atau kelabu, indikator sperma subur?
Perkataan subur itu sendiri boleh memberikan fahaman yang salah.
Air mani berwarna putih atau kelabu sememangnya normal dan dimiliki oleh individu sihat.
Namun, apabila berbicara tentang kesuburan lelaki, topik perbincangan lebih tertumpu kepada subjek mikroskopik.
Secara amnya, faktor-faktor seperti morfologi (bentuk), motiliti (pergerakan) dan jumlah sperma mendominasi perihal kesuburan, lebih daripada warna.
Oleh sebab itulah jika air mani anda berwarna putih dan anda masih tidak mempunyai anak walaupun sudah lama mencuba, jari tidak boleh dituding kepada isteri.
Sperma subur tidak mempunyai kaitan yang begitu kuat dengan warna air mani.
Air mani kuning atau hijau, adakah anda perlu risau?
Terdapat banyak keadaan yang boleh dikaitkan dengan air mani berwarna kuning atau hijau.
Paling ringan apabila ia berkait rapat dengan air kencing.
Seperti yang anda sedia maklum, salur keluar air mani sama dengan laluan keluar air kencing.
Jika ejakulasi berlaku selepas anda kencing, perubahan warna tersebut tidak perlu dikhuatiri.
Adakah sperma subur dengan warna tersebut? Anda tidak akan tahu tanpa pemeriksaan khusus.
Walau bagaimanapun keadaan seperti berikut juga boleh menyebabkan air mani bertukar kepada warna kuning atau hijau.
- Jangkitan salur kencing
- Jangkitan pada prostat
- Pembengkakan prostat
- Masalah kuning (jaundis)
- Leukocytospermia (keadaan di mana terdapat banyak sel darah putih di dalam air mani)
- Ambil makanan yang mempunyai pewarna. Makanan yang tinggi kandungan sulfur seperti bawang juga boleh memberi kesan.
Diagnosis tersebut kebiasaannya hadir bersama dengan simptom yang berkait rapat dengannya.
Sebagai contoh, mereka yang mengalami jaundis, turut mempunyai demam, sakit abdomen dan kesejukan.
Hanya kerana air mani anda berwarna kuning, tidak bermaksud anda mempunyai keadaan kesihatan di atas jika tidak bergejala.
Jika berwarna merah, coklat atau jingga, apa maknanya?
Warna merah, tidak kira secair mana pun, lazimnya merupakan tanda bahawa ada darah di dalam kandungan air mani tersebut.
Jika ia dibiarkan lama, warna tersebut akan beransur-ansur bertukar menjadi coklat melalui proses oksidasi.
Adakah peluang untuk seseorang itu mempunyai sperma sihat dan subur jika terdapat warna merah dalam air mani?
Tidak semestinya. Prosedur pengambilan tisu prostat juga boleh menyebabkan pendarahan di dalam air mani anda.
Antara punca lain air mani anda berubah kepada warna merah adalah:
- Tekanan darah tinggi tidak terkawal (simptom lain seperti sesak nafas, hidung berdarah dan pening kepala)
- Jangkitan kelamin
- Jangkitan pada prostat
- Kecederaan semasa hubungan seks atau onani
- Kanser kemaluan (prostat, testis atau salur kencing uretra)
Jangan terkejut, ada air mani berwarna hitam! Itu tanda sperma subur?
Sama seperti air mani berwarna merah, mereka yang mempunyai air mani hitam juga disebabkan oleh darah.
Namun darah tersebut bukan darah baru.
Faktor lain seperti pendedahan kepada elemen logam berat juga boleh menyebabkan perubahan air mani anda kepada warna hitam.
Bagaimana pula dengan kecederaan pada saraf tunjang?
Jika anda pernah terdengar ura-ura bahawa individu yang mempunyai masalah tersebut berisiko untuk mendapat air mani hitam, ia merupakan fakta.
Puncanya mungkin akibat kegagalan pada fungsi vesikel seminal.
Jadi adakah dengan warna air mani seperti ini bermakna anda tidak mempunyai sperma yang subur.
Suka untuk penulis ulang, tidak semestinya begitu. Pemeriksaan doktor lebih penting daripada membuat andaian yang tidak mempunyai asas kukuh.
Konklusi
Bagi mereka yang mengalami perubahan pada warna air mani, anda digalakkan untuk segera berjumpa dengan doktor terutamanya jika ia merah, coklat atau hitam.
Sperma subur atau tidak hanya boleh diketahui melalui ujian makmal yang dianalisis oleh doktor perubatan bertauliah.
Jangan memandai-mandai buat kesimpulan sendiri ya!