Model yang sama juga boleh diaplikasikan kepada konsep ereksi yang tidak disebabkan oleh rangsangan seksual.
Lelaki mempunyai hormon yang boleh mempengaruhi tindak balas otak terhadap ereksi. Hormon tersebut adalah hormon testosteron.
Apa yang lebih menariknya, ada juga ereksi yang berlaku tanpa melibatkan otak. Ia merupakan tindakan yang tidak boleh dikawal dan isyaratnya berasal dari saraf tunjang.
Sebab itulah ada ereksi yang berlaku walaupun ketika tiada rangsangan seksual. Ia tidak boleh dikaitkan dengan satu punca semata-mata.
Kitaran tidur dan proses fisiologi parasimpatetik

Fasa tidur boleh dibahagikan kepada dua iaitu fasa tidur REM dan bukan REM. Apabila individu berada pada fasa REM, berlaku perubahan pada sistem yang menerajui proses fisiologikal badan.
Ketika fasa bukan REM, badan berada dalam rangsangan simpatetik yang sering dikaitkan dengan respons lawan atau lari (fight or flight).
Walau bagaimanapun, ketika fasa REM, rangsangan parasimpatetik mendominasi proses fisiologi.
Ini akan menyebabkan berlakunya rembesan isyarat kimia yang dipanggil neurotransmiter mengakibatkan salur darah arteri mengembang. Aktiviti parasimpatetik juga akan membuatkan degupan jantung anda menjadi lebih perlahan, otot menjadi relaks dan anda akan mula bermimpi.
Perkara ini sememangnya eksklusif pada kitaran tidur REM. Namun, adakah ereksi hanya berlaku pada kitaran tersebut? Terdapat juga lelaki yang mengalami ereksi pada fasa tidur bukan REM terutamanya orang tua. Namun, penjelasan di sebalik fenomena tersebut masih lagi kabur.
Lelaki bangun dengan ereksi waktu pagi?
Jelas bahawa bukan semua lelaki bangun dengan ereksi. Jika seseorang itu bangun pada fasa REM, mereka akan mengalami ereksi. Malah, ereksi mereka kebiasaannya lebih kuat memandangkan jumlah hormon testosteron pada waktu pagi tinggi.
Walau bagaimanapun, jika dibandingkan dengan proses ereksi yang berlaku ketika lelaki menerima rangsangan seksual, ia dikawal oleh hormon lain.
Kajian pada tahun 1995 yang dijalankan oleh Jabatan Endokrinologi di Modena, Itali telah menunjukkan bahawa testosteron tidak mempengaruhi tahap ereksi ketika kita sedang melihat atau membayangkan perkara yang boleh menyebabkan ereksi.
Dalam situasi tersebut, ia lebih dikawal oleh sistem ganjaran otak melalui hormon dopamin. Semakin tinggi dopamin yang dirembeskan, semakin ghairahlah pengalaman seksual anda. Oleh sebab itulah mereka yang mengalami kemurungan atau stres kebiasaannya sukar untuk mendapat ereksi.
Ereksi bukan satu topik yang mudah.
Apakah maksudnya jika saya sudah lama tidak alami ereksi sewaktu bangun?

Bukan mudah untuk lelaki membincangkan masalah berkaitan dengan ereksi kepada orang lain. Jika anda mengalami ereksi pada waktu pagi, ia merupakan tanda bahawa anda tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengekalkan ereksi ketika bangun.
Namun, jika anda tidak lagi mengalaminya ketika bangun tidur, ia boleh menjadi petanda kepada masalah kesihatan. Perkara yang paling lazim didiagnosis adalah masalah disfungsi ereksi atau mati pucuk.
Antara faktor risiko yang memungkinkan anda untuk mengalami masalah mati pucuk adalah seperti berikut:
- Berat badan berlebihan
- Tekanan darah tinggi
- Kolesterol tinggi
- Kencing manis
- Kemurungan
Konklusi
Ketahuilah bahawa zakar menegang bukan sahaja mempunyai kaitan dengan fungsi seksual individu malah tahap kesihatan lelaki secara menyeluruh. Jika anda sudah lama tidak mendapat ereksi ketika bangun tidur, dapatkan pemeriksaan kesihatan daripada doktor perubatan yang bertauliah.
Masalah berkaitan ereksi, jika tidak dirawat, bukan sahaja boleh mempengaruhi tahap kesihatan seksual malah kesihatan mental.