Ereksi alat sulit lelaki merupakan perkara yang normal tetapi turut boleh menimbulkan masalah apabila batang zakar keras tanpa diundang atau dirangsang. Apa yang lebih menakutkan adalah kalau ia terjadi pada suatu tempoh yang terlalu lama malah sehingga berjam-jam!
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Lelaki, anda juga boleh di sini.
Definisi
Apa itu priapisme?
Untuk pengetahuan anda semua, batang zakar keras yang berlanjutan dan berpanjangan selama beberapa jam tanpa ada sebarang stimulasi seksual itu dikenali dengan istilah priapisme.
Bagi lelaki yang normal, ereksi bakal terjadi apabila darah mengalir dengan deras menuju ke dalam zakar sehingga mencapai orgasme tetapi berbeza bagi mereka dengan kondisi tersebut.
Lelaki yang menghidap priapisme akan mengalami masalah di mana sirkulasi darah pada alat sulit menjadi tidak terkawal sekali gus mengakibatkan ereksi boleh kekal lama sekitar 4 jam.
Terdapat beberapa kategori priapisme yang mungkin boleh berlaku kepada lelaki, seperti di bawah:
- Priapisme jenis iskemik.
- Priapisme bukan iskemik.
- Priapisme angkara ubat.
Apa risiko priapisme?
Masalah pada alat kemaluan lelaki ini dikategorikan sebagai antara keadaan kesihatan yang sangat jarang berlaku dan agak berisiko kepada mereka dengan gangguan sirkulasi darah.
Kebiasaannya, ia akan menyerang lelaki dewasa berusia 20 ke 50 tahun dan kanak-kanak berusia 5 ke 10 tahun, bermakna ia tidak mengira usia dan boleh terjadi kepada semua lelaki.
Menurut American Society of Hematology, cuma 23% kes kondisi ini melibatkan lelaki dewasa dan 67% kes lagi menyatakan kanak-kanak. Maka, mungkinkah usia turut main peranan penting?
Simptom
Apa gejala kondisi ini?
Ketika ia berlaku, lelaki bakal mengalami batang zakar keras yang mungkin berlangsung sekitar 1, 2, 3 sehingga 4 jam atau lebih. Akibatnya, masalah ini sudah tentu akan memicu deria rasa sakit.
Dalam kebanyakan kes yang bersifat biasa, ia boleh berakhir dengan sendiri selepas beberapa jam namun ada juga risiko untuk masalah ini kembali semula setelah beberapa hari, bulan atau tahun.
Bagi pesakit kategori priapisme jenis iskemik, mungkin akan datang beberapa gejala yang berbeza:
- Ereksi berlangsung lebih daripada 4 jam tanpa stimulasi seksual
- Batang zakar rasa kebas tetapi pangkal dan kepala rasa geli
- Keseluruhan alat sulit rasa ngilu dalam tempoh yang lama
Bagi penderita kategori priapisme bukan iskemik pula, wujud pula gejala yang mungkin agak unik:
- Ereksi berlangsung lebih daripada 4 jam tanpa stimulasi seksual
- Batang zakar nampak tegak tetapi tidak tegang sepenuhnya
- Keseluruhan alat sulit rasa ngilu namun masih terkawal
Bila saya perlu jumpa doktor?
Jangan tunggu terlalu lama, lelaki perlu jumpa doktor dengan segera untuk mendapatkan rawatan lanjutan terutama jika kondisi itu telah berlangsung selama lebih daripada 4 jam.
Seterusnya, doktor pakar sakit tuan akan menyarankan ujian darah dan rawatan terbaik buat anda.
Punca
Apa sebab kondisi ini?
Sehingga saat ini, masih belum dapat diketahui apa sebab sebenar masalah batang zakar keras dan kekal lama tanpa stimulasi seksual. Namun, ramai pakar percaya ia mungkin didalangi oleh faktor kecederaan atau kerosakan di dalam alat kemaluan lelaki.
Ada beberapa masalah yang mungkin berlaku pada individu dan berkait rapat dengan kondisi ini:
- Kecederaan pada zakar sama ada trauma, luka, patah dan lain-lain
- Kerosakan sistem saraf zakar atau pada tulang terutama tulang belakang
- Kelainan darah, contohnya penyakit anemia sel sabit, myeloma, talasemia atau leukemia
Faktor Risiko
Apa faktor risiko priaspisme?
Ini antara faktor risiko yang akan meningkatkan risiko batang zakar keras tanpa stimulasi seksual:
- Mengalami gangguan metabolisme
- Mengalami gangguan neurogenik
- Terkena gigitan atau sengatan haiwan berbisa
- Penyakit yang menjejaskan sirkulasi darah
- Mengambil ubat tertentu atau terlarang
- Meminum alkohol pada kadar berlebihan
- Menghidap kanser zakar atau testis
Diagnosis & Rawatan
Bagaimana pesakit priapisme didiagnosis?
Doktor perlu segera buat diagnosis bagi menentukan apa punca sebenar batang zakar keras tanpa stimulasi yang anda alami. Ini beberapa ujian yang amat penting untuk dilakukan:
- Pemeriksaan sejarah kesihatan umum.
- Ujian darah.
- Ujian psikologi.
- Analisis gas darah (AGD).
- Ultrabunyi Doppler.
Selepas pemeriksaan dilakukan dan anda disahkan ada priapisme, baru akan ada rawatan lanjutan.
Bagaimana pesakit priapisme dirawat?
Sekiranya anda cuma membiarkan kondisi ini tanpa ada rawatan lanjutan, ia akan mendatangkan komplikasi yang jauh lebih serius seperti kecacatan kekal pada zakar.
Ini kerana priapisme yang berlangsung lebih daripada 4 jam boleh menyebabkan kadar oksigen di dalam darah berkurang lantas menjejaskan sistem serta fungsi zakar.
Rawatan untuk priapisme jenis iskemik
Pertama, doktor akan cuba menyuntikkan ubat seperti phenylephrine bagi merangsang pembuluh darah untuk terbuka lantas meningkatkan kadar sirkulasi darah dalam zakar.
Dalam masa yang sama, doktor juga akan cuba menggunakan ubat bius serta jarum kecil pada alat sulit dalam usaha menghentikan ereksi zakar secara paksa atau manual.
Rawatan untuk priapisme bukan iskemik
Kadangkala, masalah batang zakar keras tanpa stimulasi seksual ini akan datang dan hilang secara sendiri dan mungkin tidak berisiko untuk berulang bagi kategori priapisme di atas.
Untuk mengurangkan atau menghilangkan ereksi tersebut, teknik tuaman serta mandian air panas selain aktiviti fizikal tentu sahaja akan dapat membantu lelaki yang ada kondisi ini.
Jika tiada hasil, darah berlebihan dalam zakar perlu dibuang melalui prosedur pembedahan minor.