backup og meta

Walau Tiada Payudara, Lelaki Boleh Alami 5 Masalah Payudara Ini Sehingga Sebabkan Sakit Dada

Walau Tiada Payudara, Lelaki Boleh Alami 5 Masalah Payudara Ini Sehingga Sebabkan Sakit Dada

Tidak banyak pun punca sakit dada dalam kalangan lelaki. Namun, ia bukanlah satu perkara yang mudah untuk dikenal pasti. Apa yang lebih mengejutkan lagi adalah ia mungkin berkait dengan masalah payudara!

Walaupun perkataan payudara sering dikaitkan dengan wanita, lelaki juga dilahirkan dengan tisu payudara dan kelenjar mamari.

Pun begitu, perkembangan tisu tersebut terhenti apabila mereka mencapai usia baligh. Perkara ini menyebabkan payudara lelaki kekal rata.

Pemahaman berkenaan dengan konsep ini sangat penting memandangkan proses patologi pada tisu payudara tersebut boleh menyebabkan simptom sakit.

Artikel ini akan membincangkan punca sakit dada dalam kalangan lelaki dan kaitannya dengan tisu payudara.

#1 Nekrosis lemak payudara, tisu mati sebabkan rasa sakit

Apabila berlaku kecederaan pada tisu, terdapat mekanisme untuk membaikinya agar ia pulih dan boleh berfungsi seperti sedia kala.

Tidak kiralah jika anda terlibat dalam kecederaan sukan, kemalangan atau apa-apa bentuk trauma fizikal sekalipun, tisu badan termasuk payudara berupaya untuk membaiki dirinya sendiri.

Walau bagaimanapun, dalam situasi tertentu, terutamanya yang melibatkan kecederaan serius, tisu tersebut boleh mati dan proses pembaikan tisu tidak berlaku.

Perkara ini boleh menyebabkan muncul benjolan (satu atau lebih) pada dada anda dikelilingi oleh kawasan lebam kemerah-merahan.

Jika dibandingkan dengan wanita, keadaan ini sangat jarang berlaku dalam kalangan lelaki.

Pada kebanyakan masa, benjolan tersebut akan pulih dengan sendirinya. Ia mungkin mengambil masa beberapa minggu atau bulan.

Namun, jika kesakitan yang dialami sangat teruk, pembedahan kecil untuk membuang tisu mati boleh dijalankan bagi melegakan simptom.

#2 Kanser payudara, punca sakit dada dalam kalangan lelaki

masalah payudara

Walaupun ia tidak lazim didiagnosis dalam kalangan lelaki, kanser payudara boleh menjadi punca sakit dada.

Pada mulanya, anda mungkin sedar akan perubahan kulit pada kawasan dada atau terdapat ketulan padanya. Simptom sakit lazimnya akan datang kemudian.

Bagi sesetengah lelaki, kulit pada bahagian dada yang terkesan oleh kanser boleh tenggelam membentuk lekukan kecil. 

Kawasan berdekatan puting juga boleh kelihatan kemerah-merahan dan puting mereka juga boleh mengeluarkan cecair.

Pemeriksaan dada menggunakan mamogram, alat ultrabunyi atau mesin pengimbas pengimejan resonans magnetik (MRI) boleh mengesahkan diagnosis kanser.

Rawatan secara umumnya boleh melibatkan pembedahan, terapi kemo, terapi hormon, terapi radio atau terapi bersasar.

#3 Ginekomastia, tumbesaran payudara akibat ketidakseimbangan hormon

Apabila berlaku ketidakseimbangan di antara hormon testosteron dan estrogen, ia boleh menyebabkan masalah kesihatan pada lelaki. 

Antaranya adalah tumbesaran payudara yang dikenali sebagai ginekomastia.

Selain daripada isu penampilan, ia juga boleh menjadi punca sakit dada dalam kalangan lelaki.

Pemeriksaan fizikal, ujian darah dan penggunaan alat imbasan seperti MRI boleh membantu doktor untuk mengesahkan diagnosis bagi masalah kesihatan ini.

Rawatan bergantung kepada punca berlakunya ginekomastia. Jika ia berpunca daripada pengambilan ubat, ia seharusnya digantikan dengan ubat yang tidak memberi kesan sampingan tersebut.

Selain itu, doktor juga boleh menggunakan ubat tamoxifen (ubat kanser payudara) untuk merawat masalah ini.

Jika semuanya tidak berkesan, prosedur sedut lemak atau pembedahan mastektomi boleh membantu membuang lebihan tisu payudara.

#4 Sista payudara, jarang tetapi tidak mustahil

punca sakit dada

Walaupun masalah sista payudara sangat lazim didiagnosis dalam kalangan wanita, namun ia jarang berlaku pada lelaki.

Kehadirannya boleh menyebabkan terbentuknya benjolan dan sakit dada.

Seperti masalah payudara yang lain, pemeriksaan fizikal dan penggunaan alat imbasan boleh membantu mengesahkan diagnosis.

Biopsi juga boleh dilakukan untuk mengetahui sifat sista (kanser atau bukan kanser).

Jika bukan kanser, ia boleh dibiarkan dan dipantau secara berkala. Jika ia menyebabkan komplikasi, pembedahan boleh dilakukan untuk merawatnya.

#5 Sakit dada disebabkan oleh benjolan bukan kanser, fibroadenoma

Masalah kesihatan ini boleh berlaku dalam kalangan lelaki (namun jarang) memandangkan majoriti lelaki tidak mempunyai tisu fibroglandular di dalam tisu payudara masing-masing.

Jika seseorang itu menghidapnya, benjolan bulat dan keras boleh terbentuk pada tisu payudara.

Rawatannya melibatkan prosedur pembedahan bagi membuang benjolan tersebut, atau doktor boleh menggunakan gas sejuk (ablasi krio) untuk membeku dan menghancurkan fibroadenoma.

Fibroadenoma juga boleh hilang walau tiada rawatan diberikan kepada pesakit.

Konklusi

Sakit dada atau payudara pada lelaki mungkin nampak tidak serius, namun ia boleh menyebabkan komplikasi yang teruk.

Oleh itu, anda digalakkan untuk berterus terang dengan doktor sekiranya anda mengalami simptom atau perubahan pada saiz payudara seperti apa yang diterangkan di atas.

Jika masalah kesihatan tersebut berjaya dikesan pada peringkat awal, rawatan boleh dijalankan bagi mengelakkan komplikasi.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Male breast cancer. (https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/male-breast-cancer/symptoms-causes/syc-20374740). Diakses pada 13 Februari 2021.
  2. Enlarged breasts in men (gynecomastia). (https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/gynecomastia/symptoms-causes/syc-20351793). Diakses pada 13 Februari 2021.
  3. Benign Breast Cyst without Associated Gynecomastia in a Male Patient: A Case Report. (https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3303420/). Diakses pada 13 Februari 2021.
  4. Fibroadenoma in the male breast: Truth or Myth? (https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4970781/). Diakses pada 13 Februari 2021.
  5. Fat necrosis. (https://breastcancernow.org/information-support/have-i-got-breast-cancer/breast-pain-other-benign-conditions/fat-necrosis). Diakses pada 13 Februari 2021.

 

Versi Terbaru

12/10/2022

Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Asyikin Md Isa


Artikel Berkaitan

Sering Sakit Dada? Adakah Disebabkan Pedih Ulu Hati Atau Sakit Jantung? Kenali Perbezaannya!

Payudara Kemerahan & Sakit? Mungkin Sebab Jangkitan Bakteria! AWAS, Boleh Ancam Nyawa!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 12/10/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan