backup og meta

Payudara Kemerahan & Sakit? Mungkin Sebab Jangkitan Bakteria! AWAS, Boleh Ancam Nyawa!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 16/04/2021

    Payudara Kemerahan & Sakit? Mungkin Sebab Jangkitan Bakteria! AWAS, Boleh Ancam Nyawa!

    Pernah dengar penyakit selulitis pada bahagian payudara? Umumnya, keadaan tersebut terjadi berpunca daripada jangkitan bakteria.

    Ketahui lebih lanjut dalam artikel ini.

    Masalah jangkitan bakteria serius

    Penyakit selulitis payudara atau breast cellulitis adalah sejenis jangkitan bakteria serius yang mempengaruhi kulit buah dada.

    Keadaan ini mungkin berlaku kesan luka pada kulit, tetapi selalunya ia adalah akibat komplikasi daripada pembedahan atau rawatan barah.

    Walaupun kebanyakan wanita yang menjalani pembedahan tidak akan mengembangkan jangkitan, namun dianggarkan 1 daripada 20 wanita akan mengalami kesan ini. 

    Sekiranya tidak didiagnosis dan segera dirawat, penyakit selulitis payudara boleh menyebabkan komplikasi yang mengancam nyawa.

    Punca penyakit selulitis payudara

    Selulitis sejenis jangkitan kulit yang boleh berlaku di mana sahaja pada tubuh. Ia merupakan jangkitan bakteria yang menjejaskan tisu di bawah permukaan kulit.

    Streptococcus dan Staphylococcus aureus adalah dua jenis bakteria yang paling biasa yang menyebabkan selulitis.

    Jangkitan berlaku apabila kulit yang mengalami luka terdedah kepada bakteria ini. 

    penyakit selulitis payudara

    Tahap sistem pertahanan tubuh yang rendah juga meningkatkan lagi risiko seseorang individu untuk mengalami penyakit selulitis.

    Seperkara yang perlu anda fahami, breast cellulitis tidak akan berlaku pada sebarang luka. Tetapi kebanyakan penyakit ini muncul daripada rawatan kanser atau pembedahan.

    Pembuangan kelenjar limfa boleh melemahkan sistem imuniti tubuh, ia sekali gus mendedahkan diri kepada risiko selulit pada bahagian atas tubuh, yang merangkumi bahagian payudara.

    Jangkitan bakteria punca penyakit selulitis payudara juga boleh berlaku selepas pembedahan membesarkan payudara mahupun mengecilkannya

    Memahami simptom jangkitan bakteria pada kulit payudara

    Gejala selulitis payudara cenderung berlaku tidak lama selepas muncul luka pada kulit dengan cara apa pun.

    Ini termasuk pembedahan barah payudara atau prosedur lain yang berkaitan.

    Sekiranya anda mempunyai sistem imuniti tubuh yang lemah daripada rawatan kanser, maka sebarang luka sederhana boleh mengembangkan penyakit selulitis.

    Simptom lain yang melibatkan jangkitan bakteria pada kulit payudara termasuklah:

    • Kemerahan dan bengkak
    • Kepekaan terhadap kesakitan (tenderness)
    • Demam
    • Menggigil
    • Berasa sakit apabila disentuh 
    • Luka yang mengeluarkan cecair jernih atau kuning
    • Ruam
    • Garis merah timbul kesan ruam

    Segera berjumpa doktor jika anda mengalami sebarang gejala yang menunjukkan selulitis payudara.

    Selulitis payudara vs radang kanser payudara

    Selulitis ini juga adakalanya boleh disebabkan oleh radang barah payudara. Namun, kedua-dua masalah kesihatan ini adalah 2 keadaan yang berbeza.

    Biasanya, penyakit selulitis payudara sering disalah anggap sebagai radang kanser payudara dan juga sebaliknya. 

    Radang barah payudara adalah bentuk kanser yang jarang untuk berlaku. Antara gejalanya termasuklah:

    • Kemerahan
    • Bengkak
    • Kesakitan

    Pun begitu jangkitan bakteria punca selulitis boleh mengakibatkan simptom demam atau menggigil, yang bukan merupakan gejala radang barah payudara.

    Walau apa pun, sebarang perubahan ketara pada payudara harus dinilai dan diperiksa oleh doktor secepat mungkin, bagi menentukan penyebabnya.

    selulitis payudara

    Melakukan pemeriksaan doktor

    Penyakit selulitis payudara cenderung berkembang dan merebak dengan cepat.

    Lakukan pemeriksaan doktor dengan segera jika anda melihat perubahan mendadak pada buah dada atau mengesyaki diri mungkin mengalami selulitis payudara. 

    Ini dapat membantu mencegah jangkitan bakteria bertambah teruk dan menyebabkan komplikasi lebih serius.

    Doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal terlebih dahulu.

    Adakalanya ujian darah juga akan dilakukan bagi membantu doktor mendiagnosis selulitis payudara.

    Merawat jangkitan bakteria punca selulitis

    Selulitis payudara, seperti bentuk penyakit selulitis lain, akan dirawat dengan pengambilan antibiotik.

    Ia biasanya diambil selama 7-10 hari untuk memastikan jangkitan tidak berulang. Pastikan anda memakan semua ubat preskripsi seperti yang diarahkan. 

    Doktor mungkin ingin berjumpa dengan anda selepas beberapa minggu untuk memastikan jangkitan telah sembuh sepenuhnya.

    Jika perlu, tanyakan kepada doktor jika anda boleh mengambil ubat penghilang rasa sakit (OTC), seperti acetaminophen (Tylenol).

    Ia boleh membantu untuk mengurangkan rasa tidak selesa semasa antibiotik menjalankan peranannya. 

    Sekiranya anda tidak memberi tindak balas terhadap antibiotik yang dipreskripsi, doktor mungkin mengesyorkan antibiotik intravena yang diberikan di hospital.

    penyakit breast cellulitis

    Komplikasi mengancam nyawa

    Jika tidak dirawat, penyakit selulitis payudara boleh menyebabkan komplikasi serius.

    Jangkitan bakteria dalam darah boleh menyebabkan keracunan (septikemia), yang berpotensi membawa maut.

    Selulitis payudara juga boleh menyebabkan Lymphedema.

    Ia adalah keadaan di mana kelenjar limfa anda tidak dapat berfungsi dengan betul. Risiko anda menjadi sangat tinggi jika mengeluarkan satu atau lebih kelenjar limfa.

    Kesimpulannya

    Apabila penyakit selulitis payudara dapat dikesan dan dirawat lebih awal, hasil yang akan diperoleh adalah lebih positif. 

    Sebaliknya, jika tidak dirawat, boleh mengakibatkan keracunan darah dan kemungkinan kehilangan nyawa.  

    Sekiranya sistem imun anda terganggu kesan rawatan kanser, ada kemungkinan jangkitan bakteria punca selulitis boleh berulang.

    Berundinglah dengan doktor untuk mengetahui cara meningkatkan daya tahan tubuh anda.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 16/04/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan