Ramai yang gemar gunakan bahan ini dalam masakan sebagai rempah ratus, namun mungkin belum tahu manfaat kulit kayu manis yang sebenar termasuklah buat pesakit diabetes.
Ya, anda tidak salah membacanya kerana sudah banyak kajian yang menyatakan kulit kayu manis itu boleh jadi salah satu daripada alternatif penawar kencing manis.
Persoalannya, bagaimana kulit kayu manis berfungsi untuk merawat penyakit diabetes? Jom teruskan membaca artikel!
Manfaat kulit kayu manis terhadap kesihatan!
Buat anda yang mungkin jarang ke dapur, kulit kayu manis adalah sejenis rempah ratus berbentuk seperti kayu pokok bergulung kecil dengan warna coklat.
Ia juga boleh hadir dalam bentuk serbuk dan sangat popular di dalam masakan masyarakat kita seperti sup dan kari ekoran aromanya yang menyelerakan.
Sejak zaman dahulu lagi, ia bukan sahaja terkenal digunakan di dalam masakan malahan ubatan tradisional ekoran kandungan antioksidan yang sangat tinggi.
Lebih menarik lagi, para saintis telah menyimpulkan bahawa ia mengandungi antioksidan kedua tertinggi di antara 26 jenis rempah ratus popular yang lain.
Sesuai dengan tajuk artikel ini, manfaat kulit kayu manis juga dipercayai sangat bagus buat pesakit diabetes dan ia berfungsi dengan cara yang sangat efektif.
Bagaimana kulit kayu manis merawat diabetes?
Selain pengambilan ubatan dan rawatan seperti suntikan insulin, kulit kayu manis mungkin boleh dijadikan alternatif untuk merawat diabetes dengan cara:
#1. Mengurangkan kadar gula selepas makan
Bergantung kepada jenis dan saiz hidangan berserta karbohidrat yang dibawa, kadar gula dalam darah boleh meningkat dengan drastiknya selepas makan.
Peningkatan ini seterusnya akan meningkatkan juga kadar stres oksidatif dan keradangan yang seterusnya merosakkan sel-sel dalam tubuh badan anda.
Kajian mendapati, pengambilan 1.2 sudu kecil (6 gram) kulit kayu manis bersama puding nasi mampu mengawal kadar gula dengan menghalang enzim penghadaman.
#2. Mengurangkan kadar gula semasa puasa
Kajian yang melibatkan 543 pesakit kencing manis jenis 2 berjaya mengurangkan kadar gula puasa sekitar 24 mg/dL (1.33 mmol/L) jika ambil kulit kayu manis.
Ia dipercayai berkaitan dengan keupayaan rempah ratus ini yang mampu memberi kesan kepada hemoglobin A1C, yang penting untuk mengawal glukosa puasa.
Ini sekali gus membuktikan bahawa pengambilan kulit kayu manis ini adalah bagus dalam usaha menstabilkan kadar gula dalam darah termasuklah semasa puasa.
#3. Meningkatkan sensitiviti insulin
Bagi individu dengan kencing manis, ia mungkin bermaksud pankreas tidak dapat menghasilkan insulin atau kurang bertindak balas dengannya di tahap maksimum.
Selain mampu merendahkan kadar glukosa, manfaat kulit kayu manis juga boleh meningkatkan sensitiviti insulin dengan membantu membawa glukosa kepada sel tubuh.
Kajian terhadap 7 orang pesakit diabetes menunjukkan bahawa rempas ratus ini telah berjaya meningkatkan sensitiviti insulin sekurang-kurangnya selama 12 jam.
#4. Merendahkan risiko komplikasi diabetes
Diabetes adalah kondisi kesihatan yang mungkin boleh menyebabkan komplikasi lain dalam aspek kardiovaskular termasuklah penyakit yang melibatkan organ jantung.
Kajian mendapati bahawa pengambilan kulit kayu manis boleh merendahkan risiko ini ekoran kemampuannya mengurangkan kadar kolesterol dan trigliserida.
Bukan itu sahaja, rempah ratus ini turut dipercayai mampu merendahkan kedua-dua tekanan darah sistolik dan diastolik jika diambil 12 minggu secara berturut-turut.
Kulit kayu manis jenis Ceylon vs Cassia?
Untuk pengetahuan anda, terdapat 2 jenis kulit kayu manis utama iaitu Ceylon and Cassia yang masing-masing berasal dari keluarga pokok yang berlainan.
Cassia berasal dari keluarga pokok Cinnamomum yang berharga murah dan lebih mudah ditemui di pasar raya kerana ia sangat popular dalam masakan.
Ceylon berasal dari keluarga pokok Cinnamomum verum yang berharga murah tetapi tidak banyak dijual di pasar raya kerana ia mungkin sukar ditemui.
Pun begitu, jenis Ceylon dipercayai lebih bagus sebagai penawar kencing manis berbanding jenis Cassia ekoran kandungan antioksidannya yang lebih tinggi.
Jadi, anda mungkin perlu melabur lebih banyak wang untuk mendapatkan manfaat lebih baik!
Sila hati-hati dengan kesan sampingannya!
Untuk pengetahuan anda, kulit kayu manis bukan sahaja tinggi dengan antioksidan malah juga coumarin yang wujud dalam beberapa jenis tumbuhan.
European Food Safety Authority telah mengeluarkan garis panduan agar kita tidak mengambil tumbuhan dengan coumarin lebih dari 0.1 mg per kilogram.
Selain itu, mereka yang ada diabetes dan sedang mengambil ubatan atau rawatan seperti suntikan insulin perlu lebih berwaspada jika ingin ambil rempah ratus ini.
Untuk lebih pasti tentang manfaat kulit kayu manis terhadap diabetes ini, sila dapatkan pandangan doktor terlebih dahulu okay!
[embed-health-tool-bmi]