backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Bacaan Gula Darah Selalu Tak Stabil? AWAS, Ia Mungkin Tanda Anda Alami Diabetes Rapuh!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 13/01/2022

    Bacaan Gula Darah Selalu Tak Stabil? AWAS, Ia Mungkin Tanda Anda Alami Diabetes Rapuh!

    Salah satu keadaan diabetes yang kurang diketahui ramai ialah diabetes rapuh (brittle diabetes). Apakah jenis penyakit diabetes ini dan adakah ia sama dengan diabetes jenis 1 atau 2?

    Ikuti penjelasannya di bawah ini.

    Diabetes rapuh: Bacaan gula tidak stabil

    Diabetes rapuh ialah satu bentuk diabetes yang teruk.

    Diabetes rapuh juga dikenali sebagai diabetes tidak stabil atau diabetes labil, yang bermaksud ketidakstabilan gula darah yang teruk dan kerap berlaku.

    Diabetes jenis ini agak jarang berlaku dan ia biasa berlaku dalam kalangan mereka yang menghidap diabetes jenis 1.

    diabetes rapuh

    Bacaan gula darah yang tidak stabil dan kerap berlaku ini boleh menjejaskan kualiti hidup selain menyebabkan seseorang itu boleh dimasukkan ke hospital.

    Ini kerana, ia boleh menyebabkan individu yang mengalaminya mendapat hipoglisemia (gula darah rendah) dan hiperglisemia (gula darah tinggi) dengan lebih kerap

    Apakah perbezaan antara diabetes biasa dengan diabetes rapuh?

    Dengan perubahan rawatan dan gaya hidup, kebanyakan individu yang menghidap diabetes dapat menjalani kehidupan yang sihat.

    Namun, bagi yang menghidap diabetes rapuh, mereka sering menghadapi masalah dalam menguruskan penyakit yang dialami dan ia boleh menyebabkan perkara seperti berikut:

    • Menjejaskan kemampuan mereka menjalani kehidupan dengan normal
    • Menyebabkan kegelisahan dan kemurungan
    • Dimasukkan ke hospital dengan kerap dan boleh menyebabkan kematian

    Faktor risiko bagi penyakit diabetes rapuh

    diabetes rapuh

    Faktor risiko terbesar untuk penyakit diabetes rapuh ialah mereka yang mempunyai diabetes jenis 1.

    Diabetes rapuh amat jarang berlaku dalam kalangan mereka yang mempunyai diabetes jenis 2.

    Sesetengah doktor mengklasifikasikannya sebagai komplikasi diabetes, namun ada juga sesetengah doktor menganggapnya sebagai salah satu daripada sub jenis bagi diabetes jenis 1.

    Selain daripada mempunyai diabetes jenis 1, seseorang itu juga amat berisiko untuk mendapat penyakit diabetes ini jika mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

    • Perempuan
    • Mempunyai ketidakseimbangan hormon
    • Berlebihan berat badan
    • Mempunyai hipotiroidisme
    • Berumur dalam lingkungan 20 atau 30-an
    • Kerap mengalami stres dengan kadar yang tinggi
    • Mengalami kemurungan
    • Mempunyai penyakit gastroparesis atau seliak

    Simptom-simptom bagi penyakit diabetes rapuh

    Simptom utama yang sering berlaku bagi diabetes rapuh ialah hipoglisemia dan hiperglisemia yang terlalu kerap.

    Walaupun penghidap diabetes jenis 1 dan jenis 2 juga boleh mengalami dua keadaan ini, namun ia tidak sama bagi mereka yang mempunyai diabetes rapuh.

    Bagi diabetes rapuh, hipoglisemia dan hiperglisemia boleh berlaku dengan lebih kerap tanpa sebarang tanda amaran.

    Antara tanda-tanda hipoglisemia ialah berasa pening, badan berasa lebih lemah, rasa lapar yang melampau, tangan menjadi menggigil, mata menjadi kabur, sakit kepala yang teruk serta sukar untuk tidur.

    Bagi hiperglisemia pula, tanda-tanda yang boleh terjadi adalah seperti berasa lemah, kerap berasa dahaga, kerap membuang air kecil dan kulit menjadi kering.

    Apakah punca bagi penyakit diabetes ini?

    Diabetes ini boleh berlaku apabila penyakit kencing manis yang dialami tidak diuruskan dengan baik atau sukar untuk diuruskan.

    Antara sebab diabetes sukar untuk diuruskan ialah:

    • Penggunaan alkohol dan juga dadah
    • Penyakit seliak
    • Mengalami stres, keresahan atau kemurungan
    • Mengalami gastroparesis, iaitu keadaan di mana kerosakan saraf menghalang perut daripada mencernakan makanan
    • Ketidakseimbangan hormon seperti hipotiroidisme
    • Tubuh mempunyai kesukaran untuk menyerap insulin atau nutrisi daripada makanan

    Bagaimanakah keadaan diabetes ini dirawat?

    Terdapat beberapa kaedah atau cara yang digunakan bagi membantu mereka yang mempunyai diabetes jenis rapuh menguruskan penyakit mereka.

    Antara kaedah tersebut ialah:

    • Pemantauan gula darah secara berterusan
    • Penggunaan pam insulin
    • Pemindahan sel pulau (islet)
    • Pemindahan pankreas melalui pendermaan pankreas

    Ini cara untuk mengelakkan penyakit diabetes ini

    diabetes rapuh

    Walaupun keadaan diabetes ini amat jarang berlaku, namun anda masih perlu mengambil langkah-langkah pencegahan untuk mengurangkan risikonya.

    Apatah lagi, jika anda merupakan seorang penghidap diabetes.

    Antara cara yang boleh anda lakukan bagi mengelakkan risiko diabetes ini adalah dengan mengekalkan berat badan yang sihat.

    Turunkan berat badan anda jika BMI anda menunjukkan anda obes.

    Selain itu, anda juga boleh mendapatkan khidmat terapi bagi menguruskan sebarang permasalahan yang berkaitan dengan mental.

    Ini termasuklah stres, keresahan dan juga depresi.

    Jika anda penghidap diabetes, anda mestilah mengikuti panduan pengurusan diabetes dengan teratur seperti yang telah diarahkan oleh doktor. 

    Dapatkan khidmat nasihat doktor jika alami perkara ini

    Diabetes jenis ini ialah satu keadaan kesihatan yang agak jarang berlaku.

    Namun, jika anda atau ada ahli keluarga yang mempunyai diabetes jenis 1, anda lebih berisiko untuk mendapat keadaan ini.

    Oleh itu, anda perlu mengetahui sebarang punca dan tanda-tanda bagi keadaan diabetes ini.

    Ia sebagai satu persediaan untuk anda mengetahui dengan pantas apakah yang sedang berlaku.

    Sekiranya anda tidak pasti berkenaan apa yang sedang anda alami, berjumpalah dengan doktor dan dapatkan nasihat serta pemeriksaan daripada mereka.

    Kerap berjumpa dengan doktor sangat membantu anda dalam menguruskan keadaan diabetes anda. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 13/01/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan