backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Sudah Mula Ambil Insulin, Tapi Boleh Ke Kalau Berhenti Ambil Jika Gula Darah Terkawal?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 13/07/2022

    Sudah Mula Ambil Insulin, Tapi Boleh Ke Kalau Berhenti Ambil Jika Gula Darah Terkawal?

    Bagi pesakit diabetes yang tidak berkemampuan menghasilkan insulinnya sendiri, mereka perlu mengambil suntikan insulin. Namun, adakah mereka boleh menghentikan pengambilan insulin setelah mula mengambilnya?

    Ini jawapannya.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis, sila dapatkannya di sini.

    Kepentingan insulin terhadap tubuh manusia

    Organ pankreas anda bertanggungjawab menghasilkan hormon insulin dalam tubuh.

    Antara peranan insulin adalah mengawal jumlah gula atau glukosa dalam aliran darah.

    Insulin juga berperanan menyimpan glukosa tersebut dalam lemak, otot dan juga hati.

    Jika insulin tidak dapat berfungsi dengan baik di dalam tubuh, maka paras gula dalam darah anda akan meningkat kerana ia tidak dapat diproses keluar daripada aliran darah.

    Selain itu, gula atau glukosa juga tidak dapat disimpan di dalam otot dan juga hati.

    Oleh sebab itu, bagi mereka yang tidak lagi berkemampuan untuk menghasilkan insulin semula jadi, atau tidak dapat mengawal gula darah, maka mereka perlu mengambil suntikan insulin.

    Ini bertujuan untuk memastikan agar fungsi tubuh badan anda dapat berjalan seperti yang sepatutnya.

    Benarkah saya tidak boleh menghentikan suntikan insulin setelah mula mengambilnya?

    suntikan insulin

    Ramai yang menganggap bahawa, apabila mereka sudah mula mengambil suntikan insulin, maka ia diibaratkan akan berkekalan sehingga ke akhir hayat.

    Tanggapan ini ternyata tidak tepat kerana seseorang itu boleh mengurangkan dos malah menghentikan pengambilan insulin sekiranya paras glukosa terkawal.

    Seseorang penghidap diabetes boleh mula menghentikan pengambilan insulin sekiranya pankreas mereka mampu untuk menghasilkan insulin yang mencukupi untuk keperluan tubuh.

    Mereka boleh meneruskan pengambilan ubat sahaja selepas itu seperti biasa.

    Berikut adalah antara keadaan di mana suntikan insulin boleh dihentikan:

    Suntikan insulin untuk sementara waktu

    Bagi mereka yang mempunyai keadaan diabetes yang tidak diuruskan dengan baik, paras gula darah akan menjadi terlalu tinggi sehingga menjadi toksik kepada pankreas.

    Ini bermakna, pankreas pesakit diabetes itu bukanlah rosak atau tidak mampu menghasilkan insulin, namun ia cuma tidak berkemampuan untuk menangani jumlah gula darah yang terlalu tinggi.

    Bagi keadaan seperti ini, suntikan insulin akan digunakan buat sementara waktu sahaja bagi mengawal paras gula darah.

    Apabila pankreas sudah dapat berfungsi semula seperti biasa, maka suntikan insulin akan dihentikan dan hanya mengambil ubat diabetes sahaja.

    Suntikan insulin ketika jangkitan atau penyakit yang teruk

    suntikan insulin

    Selain itu, suntikan insulin juga akan diberikan kepada individu yang mempunyai penyakit yang teruk seperti jangkitan.

    Pada ketika ini, berkemungkinan terdapatnya permintaan yang tinggi daripada tubuh terhadap insulin melebihi daripada apa yang pankreas mampu hasilkan.

    Maka, suntikan insulin diperlukan bagi memenuhi keperluan tubuh.

    Setelah jangkitan atau penyakit tersebut dirawat dengan baik, maka suntikan insulin boleh dihentikan dan pesakit hanya perlu bergantung kepada ubat diabetes sahaja. 

    Pengambilan insulin boleh dihentikan jika berat badan berkurangan

    Mereka yang obes biasanya mempunyai gangguan terhadap sensitiviti insulin dalam tubuh mereka.

    Oleh itu, insulin mereka tidak dapat berfungsi dengan baik bagi mengawal glukosa atau gula darah dalam tubuh.

    Bagi pesakit diabetes yang berlebihan berat badan atau obes, mereka sebenarnya boleh menghentikan atau mengurangkan dos insulin sekiranya mereka menurunkan berat badan mereka.

    Malah, dos ubat-ubatan diabetes juga mungkin akan berkurangan setelah berat badan mereka berkurangan. 

    Pengambilan insulin boleh dihentikan jika paras gula terkawal

    Sekiranya paras gula darah anda terkawal , maka anda juga boleh menghentikan atau mengurangkan dos suntikan insulin.

    Paras gula darah boleh dikawal sekiranya anda menjaga pemakanan harian anda dan juga bersenam setiap hari.

    suntikan insulin

    Elakkan makanan yang boleh meningkatkan paras gula darah anda seperti yang telah dinyatakan oleh doktor.

    Gantikan makanan harian anda dengan makanan yang tidak akan meningkatkan paras gula darah anda.

    Bersenam pula boleh membantu meningkatkan sensitiviti insulin untuk memproses gula darah dalam tubuh anda.

    Jika anda membuat kedua-dua perkara ini setiap hari, tidak mustahil insulin anda boleh dihentikan.

    Jangan hentikan insulin tanpa arahan doktor

    Namun, apa yang dinyatakan di sini adalah kemungkinan yang boleh berlaku sahaja.

    Ia tidak bermaksud anda boleh menghentikan pengambilan insulin sesuka hati dengan tindakan anda sendiri.

    Setiap tindakan menghentikan pengambilan insulin akan dilakukan atas nasihat doktor sahaja setelah doktor menilai keadaan semasa anda.

    Anda tidak boleh menghentikan insulin mengikut gerak hati anda memandangkan anda tidak mengetahui keadaan semasa diabetes yang anda alami.

    Doktor yang merawat anda lebih mengetahui keadaan anda, oleh itu ikut sahaja arahan doktor yang telah diberikan. 

    [health_tool_article id=”94632″]

    Kesimpulan 

    Secara umumnya, pengambilan insulin bukanlah satu perkara yang akan berkekalan dalam hidup anda.

    Bagi penghidap diabetes jenis 1, mereka sememangnya memerlukan pengambilan insulin untuk meneruskan kehidupan memandangkan pankreas mereka tidak lagi boleh menghasilkan insulin.

    Namun, bagi penghidap diabetes jenis 2, pengambilan insulin hanyalah untuk membantu mereka mengawal paras gula darah sahaja selain pengambilan ubat-ubatan diabetes.

    Ia boleh dihentikan sekiranya gula darah anda sudah terkawal.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 13/07/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan