Pesakit diabetes sering diingatkan untuk mengelakkan sebarang jangkitan diabetes. Ini kerana mereka sangat terdedah atau berisiko untuk mendapat jangkitan dengan lebih cepat berbanding individu normal yang lain. Persoalannya, mengapa mereka yang mempunyai penyakit diabetes ini lebih mudah mendapat jangkitan berbanding orang lain?
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kencing Manis, anda boleh klik di sini.
Mengapa pesakit diabetes mudah mendapat jangkitan?
Kita sudah tahu bahawa mereka yang menghidap diabetes ini amat mudah mendapat jangkitan diabetes.
Selain itu, jangkitan yang dialami itu juga agak lambat untuk sembuh malah boleh menyebabkan komplikasi yang lebih buruk.
Mengapa mereka mudah mendapat jangkitan?
#1. Paras gula darah yang tinggi
Salah satu faktor utama jangkitan mudah berlaku dalam kalangan mereka yang menghidap penyakit diabetes adalah paras gula darah.
Paras gula darah yang tinggi hanya akan merendahkan tahap imun tubuh.
Selain itu, lebih banyak kandungan gula dalam darah dan juga tisu dalam tubuh orang diabetes, maka lebih mudah juga untuk bakteria berkembang biak.
Oleh sebab itu, mereka lebih mudah mendapat jangkitan diabetes.
#2. Jangkitan diabetes kerana kerosakan saraf
Penghidap diabetes sering mengalami kebas atau mati rasa akibat daripada kerosakan saraf, terutamanya pada bahagian kaki.
Apabila seseorang itu mengalami kekebasan, dia biasanya tidak menyedari ketika sedang memijak sesuatu.
Walaupun dia mendapat kecederaan pada kakinya, dia mungkin tidak mengalami rasa sakit disebabkan saraf kaki yang sudah rosak.
Jika individu tersebut tidak menyedarinya dan tidak merawat luka yang terbentuk, luka ini akan lebih mudah dijangkiti.
Sesetengah individu pula mempunyai kaki kering dan merekah akibat kerosakan saraf.
Melalui rekahan ini, kuman boleh masuk dan seterusnya menyebabkan jangkitan.
#3. Kerosakan salur darah
Mereka yang mempunyai kesan diabetes juga berisiko mengalami masalah kerosakan salur darah.
Oleh itu, segala nutrien dan sel imun tidak sampai ke bahagian tertentu tubuh seperti hujung tangan dan juga kaki.
Apabila sesuatu jangkitan berlaku, sistem imun tidak dapat melawan jangkitan tersebut dan proses penyembuhan akan menjadi lebih perlahan.
Adakah jangkitan diabetes berbahaya?
Mereka yang menghidap penyakit diabetes lebih berisiko untuk mendapat jangkitan berbanding individu yang lain.
Apatah lagi jika kawalan jangkitan amatlah rendah.
Sekiranya anda mempunyai diabetes, keadaan anda akan menjadi lebih teruk jika jangkitan yang berlaku tidak diuruskan dengan baik.
Bagi individu normal, jangkitan mungkin bukan satu isu yang besar.
Namun, ia boleh menjadi satu hal yang agak serius sehingga memerlukan penahanan di wad hospital untuk pesakit diabetes jika tidak dirawat.
Ini kerana, jika terus dibiarkan, jangkitan tersebut boleh menyebabkan kematian kepada mereka.
Bagaimana mencegah jangkitan diabetes daripada berlaku?
Walaupun pesakit diabetes berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan, namun ada beberapa cara yang boleh digunakan untuk mencegah jangkitan daripada berlaku.
Antaranya ialah:
- Kawal gula darah. Gula darah perlu sentiasa dikawal dengan mengambil makanan berkhasiat dan mengelakkan faktor-faktor alahan. Selain itu, kerapkan diri untuk bersenam.
- Berhati-hati ketika mencucuk insulin. Jika kulit dan alat insulin tidak disteril dengan baik, ia mungkin boleh menyebabkan jangkitan.
- Pakai kasut yang sesuai. Kasut yang terlalu ketat dan kasar hanya akan merosakkan kaki anda. Jika ini berlaku, ia memudahkan bakteria masuk dan menyebabkan jangkitan.
- Bagi wanita pula, mandi dengan bersih selepas bersama suami untuk mengelakkan jangkitan saluran kencing.
- Kerap mencuci tangan. Basuh tangan dengan kerap dan bersih terutamanya selepas anda keluar dari tandas. Cuci tangan juga setiap kali anda bersin dan batuk.
- Dapatkan vaksin flu setiap tahun.
- Jangan rawat diri sendiri ketika sakit. Dapatkan nasihat doktor untuk mengetahui kaedah rawatan yang terbaik bagi diri anda.
Kesimpulan
Sekiranya anda boleh mengawal gula darah anda dan sentiasa memeriksa diri daripada sebarang kecederaan, maka anda boleh mengurangkan risiko untuk mendapat jangkitan.
Jika berlaku sebarang jangkitan, segeralah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan nasihat mengenai cara rawatan yang terbaik.
Ingat, sebarang jangkitan yang berlaku terhadap pesakit diabetes perlu diambil berat kerana ia lambat sembuh dan boleh menyebabkan komplikasi lain yang lebih buruk.
Lebih teruk lagi, ia boleh menyebabkan kematian.
[embed-health-tool-bmi]