backup og meta

Kulit Melepuh, Berair Dan Menggelembung? Pesakit Diabetes Kena Baca Ini!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 12/12/2023

    Kulit Melepuh, Berair Dan Menggelembung? Pesakit Diabetes Kena Baca Ini!

    Pesakit diabetes berisiko tinggi untuk mengalami pelbagai komplikasi, termasuklah keadaan kulit melepuh dan berair. Apakah faktor yang boleh menyebabkan keadaan kulit menggelembung ini?

    Apakah pula cara untuk mengatasinya dengan berkesan? Ketahui jawapan lanjut berkenaan masalah ini di bawah.

    Bullosis diabeticorum: Kulit melepuh kerana diabetes

    Pesakit yang menghidap diabetes atau kencing manis berpotensi untuk mengalami apa yang disebut sebagai kelepuhan diabetes.

    Ia juga disebut sebagai bullosis diabeticorum atau diabetic bullae.

    Keadaan ini agak jarang berlaku, namun ia tidak mustahil untuk terjadi terutamanya dalam kalangan penghidap kencing manis yang tidak mengawal paras gula darah dengan baik.

    Keadaan kulit lepuh dan berair ini tidak menyebabkan kesakitan dan biasanya akan sembuh dengan sendirinya. 

    Punca keadaan kulit melepuh dan berair kerana diabetes

    kulit melepuh

    Punca sebenar yang menyebabkan kulit menggelembung ini tidaklah diketahui dengan begitu jelas.

    Namun, terdapat beberapa perkara yang mungkin mencetuskan keadaan ini untuk berlaku.

    Keadaan kulit melepuh dan berair ini mungkin disebabkan oleh pemakaian kasut yang tidak sesuai bagi penghidap diabetes.

    Selain itu, ia juga mungkin disebabkan aliran darah yang berkurangan pada kulit.

    Sejenis jangkitan kulat iaitu Candida albicans juga berpotensi untuk menyebabkan keadaan kulit menggelembung.

    Sesetengah penghidap diabetes mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami keadaan ini berbanding pesakit diabetes yang lain, jika:

  • Tidak mengawal paras gula darah dengan baik dan teratur
  • Individu yang mempunyai keadaan neuropati diabetik atau masalah kerosakan saraf
  • Mereka yang mempunyai penyakit arteri periferal
  • Mereka yang sensitif terhadap sinar ultraungu (UV)
  • Simptom-simptom yang boleh anda perhatikan

    Untuk makluman anda, keadaan kulit melepuh dan berair ini agak jarang untuk berlaku.

    Namun, jika ia berlaku, ia cenderung untuk terjadi dalam kalangan mereka yang gagal mengawal keadaan diabetes mereka dengan baik selama beberapa tahun.

    Bagi individu yang lain, keadaan kulit menggelembung ini boleh menjadi antara simptom pertama yang menunjukkan mereka mempunyai pradiabetes atau diabetes.

    Jika ia berlaku, anda boleh melihat benjolan berwarna jernih yang biasanya timbul di kawasan paha, kaki, jari kaki, lengan, tapak tangan atau jari tangan.

    Antara ciri-ciri lain benjolan ini ialah:

    • Boleh mempunyai saiz sehingga 6 inci
    • Mempunyai bentuk atau saiz yang tidak sekata
    • Dipenuhi dengan cecair yang jernih
    • Biasa berlaku dengan banyak, amat jarang berlaku dengan jumlah yang sedikit
    • Menyebabkan rasa gatal

    Ia tidak menyakitkan dan kelihatan seperti kelepuhan biasa.

    Namun, jika kulit yang melepuh tersebut berwarna kemerah-merahan atau membengkak, anda perlu berjumpa doktor dengan kadar segera. 

    Kaedah rawatan bagi kulit melepuh

    kulit melepuh

    Berdasarkan kajian, kelepuhan kulit kerana diabetes ini akan sembuh dengan sendirinya dalam tempoh dua hingga lima minggu.

    Namun, bagi mereka yang mencari kaedah rawatan yang terbaik, ia biasanya mengutamakan pencegahan jangkitan pada kawasan yang melepuh itu.

    Cara utama untuk mengelakkan jangkitan adalah dengan tidak mencucuk atau memecahkan benjolan air pada kulit anda.

    Bagi benjolan kulit yang bersaiz agak besar, keras, menyakitkan atau mengalami keradangan, anda boleh melakukan perkara-perkara berikut:

    • Kompres air garam: Ia boleh membantu melegakan kegatalan dan iritasi
    • Balutan kain: Ia melindungi benjolan dan kulit di sekitarnya daripada pecah atau bercalar
    • Prosedur membuang air benjolan: Doktor akan menyuntik keluar cecair daripada benjolan dengan menggunakan picagari tanpa membuang kulit benjolan. Ini untuk mengurangkan risiko jangkitan.
    • Krim antibiotik atau steroid: Bagi kes yang teruk, doktor mungkin akan menyarankan penggunaan krim seperti ini sebagai langkah terakhir

    Jika anda mempunyai keadaan kulit yang lebih serius, seperti kerosakan saraf, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor terlebih dahulu bagi menentukan kaedah yang paling sesuai. 

    Cara mengelakkan keadaan kulit menggelembung bagi pesakit diabetes

    Bagi individu biasa, mungkin tidak banyak perkara serius yang perlu diberikan perhatian sebagai langkah pencegahan.

    Namun, bagi penghidap diabetes, anda perlulah mengawal paras gula darah agar ia sentiasa stabil dan terkawal.

    Ini merupakan langkah yang paling penting dan utama bagi mencegah kulit melepuh dan berair.

    Antara yang boleh anda lakukan untuk mengawal paras gula darah adalah dengan mengambil ubat-ubatan mengikut aturan yang telah ditetapkan.

    Selain itu, kawal pemakanan anda dan pastikan anda menjalani gaya hidup yang aktif.

    Untuk mencegah kelepuhan ini dengan lebih berkesan, anda boleh melakukan perkara-perkara seperti berikut:

    • Sentiasa memeriksa keadaan kulit anda terutamanya pada bahagian kaki dan juga tangan jika mengalami sebarang perubahan
    • Pakai stoking dan juga kasut untuk mengurangkan kecederaan pada kaki
    • Pakai kasut yang sesuai dengan kaki anda. Elakkan kasut yang ketat kerana ia boleh merengsakan kulit kaki anda
    • Kurangkan pendedahan kepada cahaya matahari dan gunakan krim pelindung matahari apabila keluar rumah
    • Gunakan sarung tangan apabila mengendalikan barang-barang yang boleh menyebabkan kelepuhan seperti alat besi
    • Dapatkan nasihat doktor jika mempunyai sebarang masalah pada kaki dan tangan anda

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 12/12/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan