Apabila menyebut tentang penyakit kencing manis atau diabetes, ramai yang menganggap ia hanya ada sejenis penyakit sahaja. Namun, tahukah anda bahawa ada ia ada banyak jenis diabetes?
Malahan, pengurusan penyakit ini adalah berbeza bergantung kepada jenis yang ada justeru jika anda ingin menanganinya, kita perlu kenali dahulu setiap daripada jenis yang wujud di dunia ini!
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kencing Manis, sila dapatkannya di sini.
Jenis diabetes satu
Diabetes kategori satu juga dikenali sebagai penyakit kencing manis yang bergantung kepada penggunaan insulin.
Ia biasa dipanggil sebagai diabetes kanak-kanak (juvenile-onset diabetes) kerana penyakit kencing manis kategori ini sering kali bermula pada zaman kanak-kanak.
Jenis diabetes satu adalah satu masalah autoimun, yang disebabkan oleh badan yang menyerang organ pankreasnya sendiri dengan antibodi.
Bagi pesakit diabetes kategori satu, pankreas yang rosak tidak boleh menghasilkan insulin.
Jenis yang ini mungkin disebabkan oleh kecenderungan genetik.
Ia juga boleh disebabkan oleh sel-sel beta yang rosak di bahagian pankreas yang biasanya menghasilkan insulin.
Terdapat beberapa risiko perubatan yang dikaitkan dengan diabetes kategori satu.
Antaranya ialah kerosakan pada saluran darah kecil di mata (retinopati diabetes), saraf (neuropati diabetes) dan buah pinggang (nefropati diabetes).
Keadaan akan menjadi semakin serius apabila ia meningkatkan risiko penyakit jantung dan strok.
Rawatan untuk diabetes kategori satu melibatkan pengambilan insulin, yang perlu disuntik melalui kulit ke dalam tisu lemak di bahagian bawah kulit.
Kaedah penyuntikan insulin termasuklah:
- Picagari kecil
- Pen insulin yang menggunakan katrij dan jarum halus
- Penyuntik jet yang menggunakan udara bertekanan tinggi untuk menghasilkan semburan insulin melalui kulit
- Pam insulin yang mengeluarkan insulin melalui tiub fleksibel kepada kateter di bawah kulit perut
Ujian berkala yang sering dijalankan, iaitu ujian darah A1C akan menganggarkan kadar glukosa dalam darah anda selama tiga bulan sebelumnya.
Ia digunakan untuk membantu mengenal pasti kawalan tahap glukosa keseluruhan dan risiko komplikasi daripada penyakit kronik ini, termasuklah kerosakan organ.
Penghidap diabetes kategori satu memerlukan perubahan gaya hidup yang penting termasuklah:
- Melakukan ujian paras gula darah secara kerap
- Mengambil insulin seperti yang diperlukan
- Perancangan makan secara lebih berhati-hati
- Senaman seperti yang disarankan oleh doktor
Jenis diabetes dua
Kategori kencing manis yang paling lazim adalah jenis dua, menyumbang sebanyak 95% kes kondisi ini dalam kalangan orang dewasa.
Diabetes jenis dua juga dipanggil sebagai diabetes orang dewasa (adult-onset diabetes).
Walau bagaimanapun, perkembangan semasa yang memperlihatkan kenaikan peratusan kanak-kanak yang berlebihan berat badan, lebih ramai remaja kini sedang mengalami kencing manis jenis ini.
Bagi diabetes kategori dua pula, pankreas biasanya masih mampu menghasilkan insulin.
Namun, ia sama ada jumlah insulin yang dihasilkan tidak mencukupi untuk keperluan tubuh ataupun sifat sel-sel tubuh yang rintang terhadapnya.
Rintangan terhadap insulin, atau kekurangan sensitiviti terhadap insulin berlaku terutamanya dalam sel lemak, hati dan sel otot tubuh badan.
Individu yang obes ialah individu yang mempunyai lebih 20% daripada berat badan mereka yang ideal dengan ketinggian mereka.
Kumpulan ini berisiko tinggi untuk mendapat jenis diabetes dua dan masalah perubatan lain.
Individu obes juga mempunyai kerintangan terhadap insulin, jadi, pankreas perlu bekerja keras untuk menghasilkan lebih banyak insulin.
Walau bagaimanapun, jumlah insulin yang dihasilkan masih tidak mencukupi untuk memastikan tahap gula berada pada tahap yang normal dalam darah.
Kategori kencing manis ini boleh dielakkan dengan gaya hidup yang aktif dan pemakanan yang sihat.
Sekiranya anda sudah menghidapnya, ia boleh dikawal dengan pengurusan berat badan, pemakanan dan senaman.
Malangnya, kategori diabetes ini cenderung untuk menjadi lebih teruk, malahan penghidapnya perlu sering mengambil ubat bagi mengawal paras gula dalam darah.
Diabetes gestasi
Kencing manis yang berlaku semasa kehamilan dipanggil sebagai diabetes gestasi. Ia sering didiagnosis semasa pertengahan atau lewat kehamilan.
Oleh sebab tahap gula darah yang tinggi beredar melalui plasenta kepada bayi, ia haruslah dikawal untuk melindungi pertumbuhan dan perkembangan bayi.
Jenis diabetes gestasi biasanya akan pulih selepas tamat tempoh kehamilan.
Meskipun begitu, 10% wanita yang pernah menghidap keadaan tersebut akan berisiko untuk mendapat kencing manis jenis dua pada masa akan datang.
Sekiranya ibu hamil mengalami diabetes gestasi, risiko kepada bayi dalam kandungan adalah lebih tinggi berbanding terhadap diri wanita tersebut.
Risiko yang mungkin berlaku kepada bayi termasuklah:
- Berat badan yang tidak normal sebelum kelahiran
- Masalah pernafasan semasa kelahiran
- Obesiti dan risiko mendapat kencing manis yang lebih tinggi di kemudian hari
Ibu mengandung pula berisiko menjalani pembedahan cesarean kerana saiz bayi yang terlalu besar dan berlakunya kerosakan pada organ badan seperti jantung, ginjal, saraf dan juga mata.
Oleh itu, ibu hamil perlu berbincang dengan doktor bagi mendapatkan nasihat rawatan yang bersesuaian dengan keadaan tubuh.
Rawatan yang diperlukan semasa mengandung bagi ibu hamil termasuklah:
- Rancangan pemakanan yang perlu dipantau untuk memastikan nutrien kehamilan yang mencukupi tanpa lemak dan kalori yang berlebihan
- Senaman harian sekurang-kurangnya 30 minit, lima kali seminggu seperti yang dicadangkan
- Mengawal kenaikan berat akibat kehamilan
- Mengambil ubat yang disarankan oleh doktor untuk mengawal tahap gula darah jika diperlukan
[embed-health-tool-bmi]