Masalah luka atau ulser pada kaki sering terjadi dalam kalangan penghidap diabetes. Namun, komplikasi seperti ini boleh dikurangkan jika anda mengambil krim untuk luka kencing manis yang bersesuaian pada kaki. Kami senaraikan beberapa produk farmasi krim untuk luka kencing manis anda di sini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kencing Manis, anda boleh klik di sini.
Farmasi krim untuk luka kencing manis pada kaki (ulser kaki)
Bagi penghidap diabetes, sesetengah daripadanya mungkin tidak perasan bahawa mereka mengalami ulser kaki.
Ini kerana, disebabkan keadaan diabetes yang dialaminya, kebanyakan saraf kaki sudah mengalami gangguan atau kerosakan lalu tidak menyebabkan rasa sakit.
Malahan, rasa sakit ini tidak akan terasa walaupun kaki anda telah mengalami luka.
Oleh sebab itu, penghidap diabetes perlu memeriksa kaki mereka dengan kerap setiap hari untuk melihat sebarang kewujudan luka atau ulser pada kaki.
Pada peringkat awal, ulser kaki ini boleh dirawat dengan lebih mudah melalui penggunaan farmasi krim untuk luka kencing manis.
Berikut merupakan antara jenis-jenis farmasi krim yang boleh digunakan bagi merawat ulser kaki pesakit kencing manis.
#1. Silver Sulfadiazine
Pembalut dan salap berasaskan perak ini mungkin merupakan krim untuk luka kencing manis terbaik untuk memperbaiki ulser kaki pesakit diabetes.
Silver Sulfadiazine merupakan sejenis antibiotik topikal yang menghalang luka terbuka daripada dijangkiti.
Ia menghentikan pertumbuhan bakteria dalam luka dan menghalang bakteria daripada merebak ke bahagian tisu kulit lain, atau ke dalam aliran darah.
Oleh itu, ia boleh mengurangkan risiko jangkitan darah yang serius (sepsis).
Silver Sulfadiazine biasanya boleh didapati dengan jenama Silvadene.
#2. Clotrimazole
Clotrimazole merupakan salah satu krim yang paling berkesan untuk mencegah dan merawat jangkitan pada ulser kaki diabetik.
Ia tergolong dalam kelas ubat yang dipanggil sebagai Imidazoles.
Ini merupakan krim antikulat yang berfungsi dengan menghentikan pertumbuhan kulat yang menyebabkan jangkitan.
Clotrimazole boleh diperoleh di bawah jenama seperti Fungoid dan Lotrimin.
#3. Cadexomer-Iodine
Cadexomer-Iodine ialah salah satu jenis krim terbaik yang dipreskripsi untuk membalut luka kaki diabetes.
Cadexomer mempunyai kesan antiseptik dan antimikrob.
Krim Cadexomer-Iodine ini boleh membantu menggalakkan penyembuhan luka yang lebih sihat dan cepat.
Ia bertindak dengan cara membuang serpihan dan sel kulit yang dijangkiti daripada dalam dan sekitar luka.
Cadexomer-Iodine boleh didapati di pasaran dengan jenama seperti Iodosorb dan Cadress.
#4. Polyhexamethylene biguanide
Polyhexamethylene biguanide, biasanya dikenali sebagai PHMB atau Polyhexanide ialah sejenis antiseptik yang digunakan secara meluas dalam pembalut dan krim untuk luka kencing manis.
PHMB mempunyai ciri antimikrob terbaik yang menghalang pertumbuhan dan pembiakan patogen di dalam dan di sekitar luka kaki diabetik.
Oleh itu, PHMB berkesan mencegah dan melawan jangkitan pada ulser kaki diabetik.
#5. Metronidazole
Ia merupakan sejenis krim yang sangat berkesan untuk merawat ulser kaki diabetik yang mempunyai jangkitan bakteria anaerobik.
Metronidazole mempunyai kesan antibiotik yang membantu merawat luka bakteria dalam ulser kaki diabetik.
Ia juga mempunyai ciri antiradang yang berfungsi mengurangkan bengkak dan kemerahan di sekitar luka kaki diabetik.
Metronidazole boleh didapati secara komersial dengan jenama seperti Metrocream, Noritate, Metrogel, dan lain-lain lagi.
#6. Bacitracin zinc
Bacitracin zinc ialah krim untuk luka kencing manis yang berkesan pada peringkat awal luka kaki diabetik.
Krim ini ialah sejenis krim antibiotik topikal yang menghalang pertumbuhan mikrob dalam luka kecil, calar dan kecederaan yang berlaku.
Kesannya, ia boleh menghalang luka-luka kecil ini daripada dijangkiti dan bertukar menjadi ulser kaki diabetes yang serius.
Ia boleh didapati dengan jenama Baciguent.
#7. Salap atau krim madu bergred perubatan
Madu merupakan pembalut alternatif yang terkenal untuk merawat luka kaki diabetes.
Madu mempunyai kesan antiradang, antiseptik dan antibiotik yang membantu meredakan kesakitan dan kegatalan ulser kaki diabetik.
Penggunaan madu secara topikal juga boleh mewujudkan persekitaran pH yang rendah dan seterusnya menggalakkan pertumbuhan tisu baharu dan penyembuhan yang lebih cepat.
Disebabkan terdapat pelbagai khasiat dalam madu, ia telah membawa kepada penghasilan krim atau salap madu bergred perubatan seperti Manuka dan First Honey.
Kesimpulan
Tujuh jenis krim yang disenaraikan di atas merupakan antara jenis krim yang paling biasa digunakan dan paling berkesan bagi merawat luka kencing manis pada kaki penghidap diabetes.
Tempoh penggunaan krim seperti ini bagi merawat luka bergantung kepada keadaan semasa ulser kaki anda.
Namun, sebarang penggunaan krim seperti di atas ini hanya boleh dilakukan setelah anda mendapatkan nasihat daripada doktor yang merawat.
Elakkan daripada merawat sendiri ulser kaki anda tanpa sebarang nasihat atau perbincangan bersama doktor.
Ini kerana doktor lebih mengetahui krim yang bersesuaian dengan keadaan luka kaki anda.
[embed-health-tool-bmi]