Pernah dengar bukan orang selalu kata luka kencing manis susah sembuh? Ya, ia bukan sekadar mitos semata!
Bayangkan jika penderita yang menghidap penyakit kronik ini mengalami permasalahan luka yang sukar untuk sembuh.
Kita terpaksa menanggung kos perubatan yang mahal memandangkan luka kencing manis tersebut memerlukan penjagaan yang baik.
Jom teruskan membaca untuk tahu dengan lebih lanjut!
Kenapa luka kencing manis lambat sembuh?
Antara sebab kenapa luka kencing manis lambat sembuh adalah kerana:
-
Peredaran darah yang lemah menyebabkan oksigen dan nutrien tidak cukup sampai ke kawasan luka.
-
Paras gula darah tinggi mengganggu fungsi sel yang membantu penyembuhan luka.
-
Sistem imun menjadi lemah, sukar melawan jangkitan.
-
Saraf rosak (neuropati) menyebabkan pesakit tidak sedar luka, lalu membiarkan luka tanpa rawatan awal.
Kenapa kencing manis potong kaki?
Kenapa kencing manis potong kaki? Pesakit kencing manis mungkin perlu potong kaki kerana:
-
Luka yang teruk dan dijangkiti kuman sehingga tidak dapat diselamatkan.
-
Gangren, iaitu tisu mati akibat kekurangan aliran darah.
-
Jangkitan merebak hingga mengancam nyawa.
-
Potong kaki penting untuk mengelakkan jangkitan merebak ke organ lain dan menyelamatkan nyawa pesakit.
Mengapa luka kencing manis susah sembuh?
Bukan mudah untuk mengenal pasti punca kepada luka kencing manis susah sembuh memandangkan ia boleh dipengaruhi oleh pelbagai jenis faktor.
Antara faktor risiko tersebut adalah:
- Kadar gula dalam darah yang tinggi. Ia boleh menghalang oksigen dan nutrisi daripada diambil oleh sel, merencatkan sistem imuniti badan dan meningkatkan keradangan di dalam badan
- Masalah neuropati. Seperti yang telah penulis sebutkan di atas, mereka yang mempunyai masalah kerosakan urat saraf periferal akan mengalami kehilangan deria sentuh pada permukaan tapak kaki dan tangan. Ini akan menyebabkan seseorang individu itu tidak perasan akan luka yang terbentuk menyebabkan penjagaannya terabai
- Sistem pengaliran darah yang tidak lancar. Pesakit diabetes mempunyai risiko setinggi dua kali ganda untuk mendapat penyakit berkaitan dengan salur darah periferal. Ia merupakan keadaan di mana salur darah anda menjadi sempit menyebabkan aliran darah ke bahagian tertentu berkurangan. Ia boleh mempercepatkan kerosakan saraf periferal dan menyebabkan pembentukan ulser di kaki
- Kerencatan sistem imun. Pesakit kencing manis mempunyai masalah dengan pengaktifan sistem imun. Ini akan menyebabkan sel-sel yang bertanggungjawab dalam memastikan luka cepat sembuh menurun. Akibatnya luka akan mengambil masa yang lama untuk sembuh dan risiko untuk mendapat jangkitan meningkat
- Jangkitan kuman. Kerencatan sistem imun boleh menyebabkan seseorang itu mudah mendapat jangkitan kuman. Badan akan menggunakan sumber yang ada untuk melawan dengan agen jangkitan tersebut dan ini akan menyebabkan luka kencing manis lambat sembuh. Jika jangkitan tersebut dibiarkan begitu sahaja, ia boleh menyebabkan pelbagai jenis komplikasi seperti sepsis dan gangren

Bagaimana penjagaan luka kencing manis?
Bagi mereka yang menghidap kencing manis, beberapa langkah boleh diambil bagi menurunkan risiko komplikasi disebabkan oleh luka kencing manis susah sembuh.
- Lakukan pemeriksaan secara berkala. Pemeriksaan badan terutamanya pada kawasan yang berisiko untuk luka dapat menurunkan risiko jangkitan melalui penjagaan luka kencing manis. Jangan lupa untuk memeriksa di celahan jari kaki supaya tidak terlepas pandang akan ulser yang terbentuk di kawasan tersebut
- Buang tisu mati pada luka kencing manis. Elakkan daripada melakukan prosedur ini sendiri. Sebaiknya ia dilakukan dalam keadaan bersih (steril) untuk mengelakkan luka tersebut menjadi lebih teruk. Kewujudan tisu mati boleh menggalakkan pertumbuhan bakteria seterusnya menyebabkan luka yang terbentuk menjadi semakin teruk. Patuhi janji temu anda dengan doktor dan berikan kerjasama sebaiknya agar tisu mati tersebut boleh dibuang
- Gunakan kasut yang bersesuaian. Mereka yang mengalami masalah neuropati memerlukan kasut yang direka khas bagi mengelakkan berlakunya luka pada kawasan tersebut. Tekanan yang diberikan kepada tapak kaki ketika berdiri atau berjalan boleh menyebabkan luka tersebut bertambah teruk. Jika anda mengalami luka kencing manis, minta rujukan kepada pakar kaki (podiatrist) bagi mendapatkan khidmat nasihat berkaitan
- Tukar balutan kaki anda setiap hari. Ini bagi mengekalkan tahap kelembapan luka pada kadar yang optimum untuk kesembuhan dan mengurangkan bakteria

[embed-health-tool-bmi]