Siapa sahaja yang tidak suka mengembara atau melancong bukan? Namun, bagi mereka yang menghidap diabetes, anda mungkin mempunyai sedikit kesukaran untuk melancong dengan tenang. Mana tidaknya, anda masih perlu memantau bacaan paras gula dalam darah ketika melancong. Malah, anda juga mungkin perlu membawa bersama alat bacaan gula dalam darah.
Apa pun kesukaran yang mungkin akan dialami, anda tidak perlu menggelabah. Ikuti sahaja tip melancong untuk pesakit diabetes di bawah ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kencing Manis, anda boleh klik di sini.
Pesakit diabetes perlu sentiasa pantau bacaan paras gula dalam darah
Apabila seseorang itu telah disahkan menghidap penyakit diabetes, dia mempunyai satu rutin baharu yang perlu dilakukan dalam hidupnya; iaitu memantau bacaan gula darah dengan kerap.
Apatah lagi jika keluar mengembara atau melancong, anda perlu membuat perancangan yang teliti dan rapi agar kesihatan terus terjaga selain mengawal diabetes dengan baik.
Ketika melancong, perubahan jenis makanan dan pertukaran waktu melakukan aktiviti fizikal merupakan antara hal yang perlu dititik beratkan.
Oleh sebab itu, sebelum ke mana-mana yang melibatkan perjalanan jauh dan mengambil masa yang agak lama, anda perlu tahu beberapa perkara dan tip penting.
Ikuti tip yang ingin kami kongsikan di bawah buat penghidap diabetes yang ingin melancong.
Tip melancong dengan sihat buat pesakit diabetes
Ada 5 perkara penting yang perlu anda berikan perhatian sebelum dan semasa anda melancong. Lihat tip di bawah ini:
#1. Rujuk doktor sebelum melancong
Perkara pertama yang perlu anda lakukan sebelum melancong adalah dengan merujuk kepada doktor yang merawat anda terlebih dahulu.
Doktor akan menyarankan sama ada anda boleh pergi melancong atau sebaliknya.
Selain itu, doktor mungkin akan menyarankan kepada anda untuk mengambil suntikan vaksin tertentu sebagai langkah perlindungan sewaktu mengembara.
Biasanya, vaksin diambil dalam tempoh satu bulan sebelum tarikh perjalanan.
Untuk pengurusan diabetes pula, doktor akan menasihatkan anda bagaimana untuk mengawal diabetes setiap masa.
Doktor juga akan membekalkan stok ubat-ubatan diabetes untuk keperluan sepanjang dalam perjalanan selain mengingatkan anda untuk memantau bacaan paras gula dalam darah.
#2. Bawa bekalan ubat dalam beg sandang
Apabila anda melancong, kesemua bekalan keperluan diabetes seperti ubat-ubatan dan alat bacaan gula dalam darah perlu dibawa lebih banyak.
Bekalan ini juga perlu diletakkan dalam beg sandang anda untuk memudahkan ia dikeluarkan dengan segera.
Antara keperluan yang mesti anda bawa bersama dengan jumlah yang mencukupi ialah:
- Alat bacaan gula dalam darah (glukometer)
- Jalur ujian
- Bateri glukometer
- Insulin berserta pam insulin
- Picagari
- Ubat diabetes
- Kad rawatan atau buku log
- Snek manis seperti biskut bagi mengelakkan hipoglisemia
#3. Makan makanan yang sesuai
Melancong boleh menjadi antara waktu di mana anda terliur untuk makan berbagai-bagai jenis makanan.
Namun, ia bukan lesen besar untuk anda makan tanpa memikirkan keadaan semasa anda.
Pastikan anda sentiasa mengamalkan pemakanan yang rendah gula dan karbohidrat.
Jika anda menaiki kapal terbang, lihat senarai menu makanan agar anda tahu apakah jenis makanan yang sesuai.
Amalan ini perlu dibuat di mana-mana sahaja, termasuklah restoran, gerai tepi jalan mahupun sewaktu di kedai runcit.
Jangan lupa untuk semak bacaan paras gula dalam darah setiap kali selepas makan.
#4. Bawa bersama insulin
Jika anda merupakan penghidap kencing manis yang bergantung kepada penggunaan insulin, jangan sesekali lupa untuk membawanya bersama.
Insulin perlulah disimpan di tempat yang betul. Ia tidak boleh disimpan dalam ruang yang panas seperti dalam kereta.
Ia juga perlu dijauhkan daripada sumber cahaya matahari dan lebih baik disimpan dalam tempat yang sejuk.
#5. Semak jadual suntikan insulin jika pergi ke zon masa berbeza
Jika anda melancong ke negara berbeza dengan zon waktu yang berlainan, anda perlu bertanya kepada doktor berkenaan waktu suntikan insulin anda (bagi mereka yang menggunakan insulin).
Anda perlu merujuk pada masa sewaktu anda berlepas dan waktu ketibaan anda di negara tersebut sebelum membuat suntikan insulin.
Selain itu, pastikan anda sentiasa melihat bacaan paras gula dalam darah anda.
Bacaan paras gula dalam darah amat penting!
Ke mana-mana pun anda pergi, pesakit diabetes masih perlu memantau bacaan gula darah secara berkala.
Namun, ia bukanlah sebab yang menghalang anda untuk pergi melancong.
Teruskan perancangan anda untuk melancong dan mengembara, tetapi pastikan anda tahu apa yang perlu dibuat bagi menguruskan diabetes anda sepanjang masa.
[embed-health-tool-bmi]