backup og meta

Cari Petua Rawat Luka Kencing Manis? Cuba 5 Bahan Ini, Tapi Cuma Untuk Luka Kecil!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 16/11/2022

    Cari Petua Rawat Luka Kencing Manis? Cuba 5 Bahan Ini, Tapi Cuma Untuk Luka Kecil!

    Mungkin ada dalam kalangan penghidap kencing manis yang mahu mencuba cara tradisional merawat luka kencing manis. Kami senaraikan beberapa bahan dan ubat luka di sini yang boleh membantu mempercepatkan penyembuhan luka anda.

    Semak di bawah ini sekarang. 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kencing Manis, anda boleh klik di sini.

    Luka lambat sembuh jika hidap diabetes!

    Bagi penghidap kencing manis atau diabetes, luka yang dialami boleh mengambil masa yang agak lama untuk sembuh berbanding biasa.

    Malah, proses penyembuhan luka yang agak lambat ini sebenarnya mendedahkan pesakit kepada risiko jangkitan dan komplikasi yang lain.

    Oleh sebab itu, mereka yang menghidap penyakit kronik ini perlu sentiasa mengawal paras gula darah mereka bagi mengurangkan risiko penyembuhan luka yang lambat. 

    Ini 5 bahan boleh cuba untuk cepatkan luka sembuh

    Ada beberapa bahan yang boleh penghidap diabetes gunakan sebagai usaha mempercepatkan penyembuhan luka di rumah.

    Antara bahan dan ubat luka tersebut ialah:

    Cara tradisional merawat luka kencing manis 1: Salap atau krim antibakteria

    cara tradisional merawat luka kencing manis

    Bagi luka kecil, ia boleh disembuhkan dengan cepat melalui penggunaan salap atau krim antibakteria.

    Krim antibakteria ini boleh didapati dengan mudah di farmasi berdekatan anda.

    Krim antibakteria membantu membunuh bakteria penyebab jangkitan pada luka dan mempercepatkan penyembuhannya.

    Ubat luka tradisional 2: Madu

    Madu mempunyai sifat antioksidan, antibakteria dan antiradang. Penduduk dunia telah lama menggunakan madu dalam resipi penyembuhan luka tradisional.

    Kajian pada tahun 2016 menyatakan bahawa, madu meningkatkan kadar penyembuhan luka pada haiwan dengan ketara.

    Ia juga boleh mengurangkan pembentukan parut dan menghalang pertumbuhan bakteria dalam luka akut dan luka melecur.

    Pesakit diabetes boleh menggunakan madu perubatan untuk luka kecil dan besar, namun hanya selepas berbincang dengan doktor yang merawat keadaan anda. 

    Cara tradisional merawat luka kencing manis 3: Bawang putih

    cara tradisional merawat luka kencing manis

    Percaya atau tidak, bawang putih juga boleh digunakan sebagai bahan untuk merawat luka kecil.

    Bawang putih mengandungi sebatian allicin, yang mempunyai sifat antimikrob dan antiradang.

    Menurut kajian ulasan pada tahun 2020, beberapa ujian klinikal telah menunjukkan keberkesanan bawang putih dalam merawat luka.

    Kajian tersebut menyatakan bahawa dalam kajian praklinikal, ekstrak bawang putih tua menunjukkan potensi penyembuhan luka bergantung kepada dos yang diberikan.

    Ubat luka tradisional 4: Pes kunyit

    Kunyit bukan sahaja digunakan sebagai bahan dalam masakan, tetapi juga sangat berkesan sebagai cara tradisional merawat luka kencing manis.

    Kunyit mengandungi kurkumin, sejenis sebatian yang mempunyai ciri antibakteria, antikulat, dan antiradang.

    Kajian pada tahun 2016 menunjukkan bahawa, kunyit berkesan dalam membantu mempercepatkan penyembuhan luka.

    Kurkumin yang terdapat dalam kunyit merangsang pengeluaran faktor pertumbuhan yang terlibat dalam proses penyembuhan.

    Anda boleh mencampurkan kunyit dengan air suam untuk dijadikan sebagai pes.

    Kemudian, anda boleh letakkan pes tersebut pada luka dan menutupnya dengan pembalut yang bersih.

    Jika seseorang pesakit diabetes ingin mencuba penggunaan pes kunyit ini, mereka harus mengehadkan penggunaan kepada luka kecil yang tertutup sahaja.

    Kecederaan dengan luka yang besar memerlukan produk dengan gred perubatan yang diluluskan oleh doktor sahaja.

    Cara tradisional merawat luka kencing manis 5: Aloe vera

    cara tradisional merawat luka kencing manis

    Lidah buaya atau biasa dikenali sebagai aloe vera adalah tumbuhan yang tergolong dalam keluarga kaktus.

    Ia mengandungi bahan yang kaya dengan kedua-dua vitamin dan mineral.

    Lidah buaya mengandungi glukomanan, iaitu bahan yang membantu penjanaan semula sel dan menyebabkan badan menghasilkan kolagen.

    Bahan ini adalah protein yang menggalakkan penyembuhan luka.

    Kajian sistematik pada tahun 2019 menyatakan bahawa, aloe vera dan sebatiannya boleh meningkatkan penyembuhan luka.

    Kajian ini juga menunjukkan bahawa aloe vera boleh membantu mengekalkan kelembapan dan integriti kulit di samping meredakan keradangan dan mencegah ulser.

    Anda boleh menyapu lapisan nipis gel aloe vera pada kawasan luka kecil.

    Selain itu, anda juga boleh membalut luka dengan pembalut yang direndam dalam gel aloe vera untuk membantu mempercepatkan penyembuhan luka. 

    Kesimpulan

    Bahan-bahan yang dinyatakan di atas ini boleh menjadi antara cara tradisional merawat luka kencing manis.

    Namun, ia mungkin hanya sesuai untuk luka kecil sahaja.

    Bagi luka yang besar, terbuka dan sudah dijangkiti, adalah lebih baik untuk anda mendapatkan rawatan bersama doktor terlebih dahulu.

    Nasihat doktor amat penting dalam pengurusan luka diabetes pesakit kencing manis. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 16/11/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan