backup og meta

7 Tip untuk Membina Keluarga Bahagia

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 20/10/2022

    7 Tip untuk Membina Keluarga Bahagia

     Jika dibandingkan dengan setiap kesenangan material yang mungkin anda perolehi di dunia ini, pastilah tiada apa yang lebih bernilai daripada keluarga bahagia. Mendirikan rumah tangga dan menimang cahaya mata merupakan impian kebanyakan individu.

    Namun, tidak semua rumah tangga dan keluarga yang dibina bahagia. Kebahagiaan sesebuah keluarga bukanlah tercipta dengan sendirinya sebaliknya memerlukan usaha berterusan.

    Oleh itu, ketahui 7 tips membina keluarga bahagia berikut untuk panduan bersama:

    1. Solat berjemaah bersama

    Kebanyakan agama menekankan kepentingan keluarga dan kestabilan rumah tangga. Oleh itu, tidak hairanlah pegangan agama memainkan peranan kepada hubungan anda dengan pasangan.

    Menariknya, dalam satu kajian oleh General Social Survey (GSS) di Amerika Syarikat, mereka yang kerap hadir dalam majlis agama didapati lebih rendah kemungkinan curang terhadap pasangan berbanding mereka yang hadir hanya sekali setahun atau kurang daripada itu.

    Bahkan faktor ini -kehadiran dalam majlis agama- merupakan faktor paling kuat berbanding faktor lain dalam menentukan kemungkinan kecurangan seorang lelaki atau perempuan.

    Jadi, melaksanakan solat secara berjemaah bukan sahaja mewujudkan rutin sihat yang mengukuhkan ikatan kekeluargaan anda. Apabila seseorang lebih mendampingi agama, mereka lebih takut untuk melakukan perkara yang terlarang.

    2. Makan malam bersama

    Perkara ini nampak remeh, tetapi sebenarnya waktu makan bersama keluarga sangat penting.

    Percaya atau tidak, dalam satu kajian yang dilakukan di University of Michigan mendapati bahawa masa yang dihabiskan anak anda untuk makan di rumah merupakan penentu paling besar terhadap pencapaian akademik dan masalah tingkah laku.

    Masa makan bersama ini didapati lebih mempengaruhi anak anda berbanding faktor lain seperti tempoh masa dihabiskan di sekolah, tempoh masa belajar, tempoh masa menghadiri majlis agama mahupun tempoh masa bermain sukan.

    makan malam bersama keluarga

    Oleh itu, singkirkan gajet daripada meja makan anda. Baca doa makan bersama, kongsi cerita tentang hari masing-masing dan rancang aktiviti bersama. Ini merupakan salah satu tips keluarga bahagia yang paling baik.

    Jadikan makan bersama sebagai suatu kebiasaan, sehingga semua akan berasa kehilangan jika salah seorang tiada. Jika keluarga anda mempunyai kekangan untuk selalu makan bersama, menurut kajian, seminggu sekali sudah mencukupi untuk memberi kesan kepada anak anda.

    3. Kongsi sejarah keluarga

    Dalam sebuah kajian yang melibatkan 48 buah keluarga, anak yang lebih tahu tentang sejarah keluarganya didapati lebih berupaya mengawal hidupnya dan lebih berkeyakinan diri.

    Jadi, berkongsi sejarah keluarga merupakan satu pengisian penting untuk anak anda. Anak-anak yang tidak mengetahui pasang surut keluarga kecil anda akan mengambil mudah segala kesenangan yang mereka kecapi sekarang.

    4. Keluarga bahagia jika libatkan atuk dan nenek

    Penglibatan atuk dan nenek juga memainkan peranan. Dalam satu ringkasan tahun 1992 melibatkan 66 kajian, para ibu yang mempunyai sokongan para nenek didapati mempunyai anak yang kurang tertekan dan lebih pandai menyesuaikan diri.

    Kajian lain turut mendapati bahawa apabila atuk dan nenek melibatkan diri dalam hidup si anak, mereka menjadi lebih pandai bersosial, lebih melibatkan diri di sekolah dan lebih bersimpati kepada orang lain.

    Jadi, jika anda tidak mempunyai hubungan baik dengan orang tua anda, mungkin inilah masa yang sesuai untuk anda kembali berbaik-baik dengan mereka.

    Tanpa mereka, anak-anak anda telah kehilangan sistem sokongan yang penting dalam hidup. Bahkan hubungan buruk ini mungkin kelak akan berulang pula dalam hubungan anda dengan anak anda sewaktu anda di usia senja nanti.

    5. Libatkan keluarga dalam komuniti

    Banyak kajian mendapati bahawa keluarga yang beragama lebih bahagia. Kajian lanjut mendapati kehidupan dalam komuniti merupakan sebab keluarga yang berpegang kepada agama lebih bahagia. Komuniti seagama memberikan rasa terhubung dengan masyarakat yang berfikiran sama.

    Jadi, bawa anak-anak anda menyertai aktiviti di kawasan kejiranan anda. Sama ada menunaikan solat Jumaat di masjid, membantu aktiviti korban mahupun bergotong-royong untuk membersihkan kawasan kejiranan.

    6. Bagi autonomi kepada anak anda

    Kanak-kanak lebih mematuhi arahan apabila mereka merancang sesuatu sendiri atau pandangan mereka diterima dalam perancangan.

    Membenarkan mereka menentukan hukuman ke atas kesalahan mereka juga boleh menjadi motivasi untuk mematuhi peraturan.

    Contohnya, tanya anak anda jika sesuatu peraturan dilanggar, mereka patut dikenakan hukuman A atau B. Jika mereka lebih berusia, tanyakan mereka apa hukuman yang layak dikenakan kepada mereka jika mereka melakukan kesalahan tersebut.

    7. Luangkan masa bersama untuk keluarga lebih bahagia

    Selain solat dan makan bersama, sebarang aktiviti yang anda luangkan bersama dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Sama ada aktivi dalam rumah seperti mengemas rumah mahupun aktiviti di luar seperti bermusafir dan bercuti bersama-sama.

    Si ayah seharusnya membiasakan diri mendidik anak-anak meringankan beban si ibu atau isteri yang telah penat memasak dan menyiapkan kerja rumah yang lain. Kerjasama ibu bapa dalam menguruskan hal rumah ini juga akan menunjukan contoh yang baik untuk ikutan anak-anak.

    Aktiviti luar bersama keluarga pula bukan sahaja mengeratkan hubungan kekeluargaan, malah dapat meningkatkan kesihatan mental dan fizikal. Lakukan aktiviti seperti berkelah, bersukan atau bercuti bersama.

    Setiap kali anda menghabiskan masa bersama, rakamkan kenangan-kenangan manis ini untuk tatapan di masa akan datang.

    Selain daripada 7 tips keluarga bahagia yang kami nyatakan di atas, pasti terdapat pelbagai tip lagi yang boleh anda pelajari daripada mereka yang lebih berpengalaman. Selamat beramal dan semoga anda dikurniakan dengan keluarga bahagia!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 20/10/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan