backup og meta

Nak Keluarga Sihat & Bahagia? Jaga 5 Aspek Persekitaran Penting Ini: Hari Alam Sekitar Sedunia -5 Jun

Nak Keluarga Sihat & Bahagia? Jaga 5 Aspek Persekitaran Penting Ini: Hari Alam Sekitar Sedunia -5 Jun

Betul ke kesihatan persekitaran memberi impak kepada kualiti hidup? Apa kaitannya persekitaran dengan kesihatan manusia?  

Kesihatan persekitaran vs kesihatan manusia 

Anda mungkin tidak sedar, tetapi persekitaran sebenarnya membentuk tahap kesihatan seseorang individu setiap hari.

Di mana anda tinggal, apa yang dimakan dan bagaimana anda berhubung ada hubungkaitnya dengan kesihatan persekitaran. 

Kita cenderung berasakan kesihatan manusia adalah 1 pilihan peribadi seperti diet pemakanan seimbang atau keperluan untuk mendapatkan vaksin.

Namun hakikatnya banyak perkara luar atau persekitaran yang mempunyai kesan besar terhadap tahap kesihatan termasuklah kualiti hidup.

Jom ketahui tentang kesihatan persekitaran atau environmental health.

Memahami kesihatan persekitaran

Apabila menyebut tentang kesihatan berkaitan persekitaran, ramai individu akan memikirkan tentang kebersihan air dan udara.

Hakikatnya isu alam semula jadi seperti pemanasan global, juga sebahagian daripada kesihatan persekitaran.

Umumnya, kesihatan dan persekitaran adalah bidang kesihatan awam yang memantau dan menangani faktor fizikal, kimia dan biologi.

Ia mungkin tidak dapat ditangani secara langsung, namun tetap boleh mempengaruhi tahap kualiti hidup dan kesihatan manusia.

Sebagai contoh, anda tinggal di kawasan perumahan yang tidak selamat atau udara tercemar. Ia akan menyukarkan anda untuk keluar dan beriadah.

Ringkasnya, kesihatan persekitaran adalah bidang kesihatan awam yang dikendalikan dengan cara berbeza di seluruh dunia serta boleh mempengaruhi kesejahteraan fizikal dan mental.

Ini kesan pada kesihatan manusia jika tidak menjaga persekitaran

Persekitaran adalah aspek besar dalam kesihatan awam yang mempengaruhi cara kita makan, membesar dan kualiti hidup.

Sempena Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut pada 5 Jun setiap tahun ini, berikut disenaraikan 5 bidang utama yang merangkumi pelbagai aspek kesihatan persekitaran penting kepada kesihatan manusia.

kualiti hidup

  1. Kualiti udara

Udara amat penting bagi manusia. Kita memerlukannya untuk meneruskan kehidupan.

Malangnya, kita sering terlupa untuk menjaga dan mengekalkan tahap kebersihannya. Kesannya ia memberikan impak besar kepada tahap kesihatan.

Kualiti udara yang teruk dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan, termasuk sindrom kematian bayi mendadak (SIDS), barah paru-paru dan penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD).

Dalam 1 kajian, bayi yang dilahirkan wanita terdedah kepada tahap ozon tinggi (pencemaran udara) pada trimester kedua dan ketiga, cenderung berdepan masalah berat lahir bayi yang rendah.

Kesan yang sama seperti bayi yang dilahirkan oleh ibu dengan tabiat merokok.

  1. Air dan kebersihan

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), dianggarkan lebih 780 juta individu di seluruh dunia tidak memiliki akses untuk air minuman yang bersih dan selamat.

Di samping itu, hampir 2.5 bilion penduduk bumi tidak mempunyai perkhidmatan kebersihan mencukupi seperti bilik air yang bersih.

Kesan daripada keadaan tersebut, lebih daripada 2,200 kanak-kanak mati setiap hari di seluruh dunia disebabkan penyakit cirit-birit berkaitan air dan tahap kebersihan yang tidak betul.

  1. Bahan beracun dan sisa berbahaya

Toksikologi adalah bidang sains yang dikhaskan untuk memahami bagaimana bahan kimia dan bahan lain boleh menjejaskan kesihatan manusia dan persekitarannya. 

Ia bidang penting dalam kesihatan alam sekitar.

Sebahagian besar bahan yang diperlukan untuk memajukan industri dan teknologi, seperti logam berat dan plastik, boleh memberi kesan kepada badan manusia

Lebih bahaya lagi, ia juga boleh menyebabkan masalah kesihatan perubatan yang serius. 

  1. Rumah dan komuniti

Kebanyakan individu menghabiskan banyak masa di rumah, tempat kerja atau sekolah.

Maka penting untuk memastikan tempat-tempat tersebut selamat dengan risiko bahaya yang minimum. Ia juga kondusif untuk gaya hidup sihat.

Apabila kawasan persekitaran tidak selamat, seperti jalan yang tidak diselenggara dengan baik, sudah tentu ia meningkatkan risiko berlakunya kemalangan jalan raya.

Jika anda tinggal di kawasan kejiranan yang bermasalah seperti berlaku banyak keganasan, pastinya ia akan menyekat kebebasan sebuah keluarga untuk keluar. 

persekitaran-dan-tahap-kesihatan-manusia

  1. Prasarana dan pengawasan

Bahagian utama strategi kesihatan awam adalah maklumat. 

Dengan memahami risiko, profesional kesihatan persekitaran dapat menggunakan sumber lebih baik untuk mencegah atau melawan masalah berkaitan kesihatan manusia.

Ia melibatkan bidang epidmiologi yang akan menyelidik sesuatu penyakit dan menyaring populasi bahaya serta menetapkan program pengawasan.

Pengawasan atau kawalan melibatkan masalah kesihatan tertentu (pengawasan aktif) serta bekerjasama dengan profesional dalam bidang lain untuk mencegahnya (pengawasan pasif).

Melindungi persekitaran dan kesihatan manusia

Tidak seperti diet dan bersenam, banyak aspek kesihatan persekitaran bukanlah perkara yang boleh diatasi secara eksklusif pada peringkat individu. 

Ia memerlukan gabungan pengubalan undang-undang, polisi dan program di peringkat tempatan, persekutuan dan antarabangsa.

Walau bagaimanapun, banyak perkara yang boleh kita lakukan untuk melindungi kesihatan sekali gus meningkatkan tahap kualiti hidup untuk diri dan komuniti. 

Antaranya dengan menaiki pengangkutan awam berbanding memandu sendiri dan elakkan daripada membuang sampah dengan sewenang-wenangnya.

 

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

https://www.who.int/features/2005/health_survey/environmental_health/en/ / Accessed on June 3, 2020

https://www.niehs.nih.gov/health/topics/index.cfm / Accessed on June 3, 2020

https://www.healthypeople.gov/2020/topics-objectives/topic/environmental-health / Accessed on June 3, 2020

https://airclim.org/acidnews/air-pollution-world%E2%80%99s-largest-environmental-health-risk/ Accessed on June 3, 2020

https://www.who.int/phe/health_topics/en/  / Accessed on June 3, 2020

https://www.niehs.nih.gov/health/topics/population/global/index.cfm / Accessed on June 3, 2020

Versi Terbaru

11/08/2020

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Bahaya Fenomena Hujan Asid, Ia Boleh Sebabkan Individu Alami Radang Paru-paru?

Microplastics. Pencemaran Udara yang Diabaikan


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 11/08/2020

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan