Oleh itu, cuba libatkan penghidap demensia ini dengan perbincangan atau aktiviti yang berkaitan dengan kehidupan mereka. Antara yang boleh dilakukan ialah:
- Membuat rakaman video dan sesi temu ramah berkenaan kehidupan mereka
- Berborak berkenaan kehidupan, zaman kanak-kanak dan juga keluarga mereka
- Mengajak mereka untuk melihat kepada foto-foto lama yang ada di dalam album simpanan keluarga
- Menonton video rakaman keluarga bersama-sama
- Tanya berkenaan aktiviti kegemaran atau hobi mereka sewaktu kecil
#3. Mengajak mereka memasak atau membuat kuih
Aktiviti seperti memasak dan juga membuat kuih dapat membantu mereka melibatkan diri melakukan sesuatu yang lebih praktikal.
Ia tidak semestinya dengan resepi makanan yang rumit, cukup sekadar resepi mudah dan cepat untuk disediakan.
Mungkin anda boleh bertanya kepada mereka sebarang resepi kuih yang mereka ingati untuk dibuat bersama-sama.
Anda boleh bertindak sebagai pembantu sewaktu mereka memasak dan pastikan mereka berkemampuan untuk melakukannya di bawah pemerhatian anda.
Jika anda risau berkenaan penggunaan alatan tajam, anda boleh menawarkan diri untuk melakukannya bagi pihak mereka.
#4. Bermain bersama haiwan peliharaan
Terapi haiwan bersama haiwan peliharaan juga adalah salah satu aktiviti yang boleh merangsang otak mereka yang mempunyai penyakit demensia.
Apatah lagi jika mereka adalah pencinta haiwan.
Haiwan peliharaan kecil yang jinak seperti kucing atau arnab boleh membantu mengurangkan stres dan juga simptom kemurungan atau keresahan.
Selain itu, ia juga menggalakkan mereka menggunakan deria mereka dengan sepenuhnya.
Anda juga boleh membawa mereka yang mempunyai demensia ini melawat ladang ternakan atau zoo kecil untuk melihat dan berinteraksi dengan haiwan di sana.
#5. Melibatkan mereka dengan alam semula jadi

Selain daripada aktiviti di atas, anda juga boleh membawa penghidap demensia ini ke lokasi-lokasi semula jadi seperti taman atau tasik rekreasi, atau mana-mana lokasi lain yang dirasakan sesuai untuk menenangkan diri.
Bukan itu sahaja, ia turut memberi peluang kepada mereka untuk menghirup udara segar berbanding dengan hanya duduk di rumah.
Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah:
- Membawa mereka ke taman-taman seperti taman botani
- Memberi makan ikan di kolam atau memberi burung makan di taman
- Berkelah di tepi pantai atau di lokasi perkhemahan di hutan rekreasi
- Anda boleh mengajak mereka berkebun di halaman rumah jika mereka tidak larat untuk berjalan jauh
Kesimpulan
Penghidap penyakit demensia memerlukan sokongan untuk meneruskan fungsi kehidupan mereka dengan baik.
Apatah lagi jika penghidap demensia itu adalah ahli keluarga kita sendiri seperti ibu bapa atau datuk dan nenek.
Luangkan masa lapang kita untuk bersama mereka agar mereka lebih berasa seronok, tenang dan tidak bosan kerana tidak dapat melakukan sebarang aktiviti.