Umum mengetahui, ibu-ibu disarankan untuk meneruskan penyusuan badan sehingga bayi berusia 2 tahun. Tetapi bagaimana pula dengan susu formula? Jom ketahui tempoh penyusuan bayi yang disarankan.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Saranan tempoh penyusuan bayi dan kanak-kanak
Kita mengetahui mengenai kepentingan pemakanan seimbang dan keperluan nutrien untuk tumbesaran si kecil.
Namun bagaimana dengan susu? Adakah ia sebahagian daripada diet keseluruhan? Adakah ia perlu diberikan sepanjang 5 tahun pertama tumbesaran si kecil?
Bertenang, berikut Hello Doktor kongsikan mengenai saranan tempoh penyusuan bayi dan kanak-kanak sama ada melibatkan susu ibu mahupun susu formula.
Tempoh penyusuan bayi 0-6 bulan
Susu ibu
Bagi bayi yang baru lahir, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menasihatkan untuk diberikan penyusuan susu badan selama 6 bulan pertama kehidupan.
Kemudian penyusuan diteruskan bersama pengambilan makanan berkhasiat pelengkap sehingga usia bayi 2 tahun atau selama yang anda dan si manja inginkan.
Ini kerana penyusuan susu ibu menawarkan beberapa kebaikan bukan sahaja kepada bayi, malahan kepada ibu sendiri.
Penyusuan susu badan memberikan bayi semua nutrisi penting dan penghidratan yang diperlukan dan dapat menyesuaikan diri mengikut keperluan si manja yang sentiasa berubah-ubah.
Ia juga membantu melindungi bayi daripada jangkitan dan membina sistem imun yang sihat.
Di samping itu, kelebihan penyusuan susu badan ini adalah ia merupakan cara yang mudah dan murah untuk memberikan si manja makan di mana sahaja tanpa mengira masa.
Susu formula bayi
Namun tidak semua ibu dapat melakukan penyusuan susu badan.
Maka pemberian susu formula adalah pilihan paling sesuai untuk menggantikan susu ibu dan menjadi satu-satunya sumber nutrisi si manja semasa fasa penyusuan bayi bagi 6 bulan pertama.
Susu ibu atau susu formula bayi harus menjadi minuman pertama bayi semasa tahun pertama kehidupan mereka. Susu lembu dan alternatif lain tidak boleh diberikan sehinggalah si manja berusia 1 tahun.
6-12 bulan
Apabila bayi mencecah usia 6 bulan, anda akan mula memperkenalkan makanan pejal dan jumlah makanan yang diberikan ke dalam diet mereka akan bertambah dari masa ke masa, sekali gus keinginan si manja untuk menyusu akan beransur-ansur berkurangan.
Jika anda menyusu badan, bayi akan secara semula jadi menyesuaikan jumlah susu yang diperlukan mengikut makanan lain yang mereka makan.
Manakala bayi yang diberikan susu formula, mereka mungkin memerlukan sekitar 600 ml sehari pada usia 7-9 bulan dan akan menurun sehingga anggaran 400 ml pada usia 10-12 bulan – ini hanyalah sekadar panduan.
Anda boleh mula menawarkan susu lembu atau alternatif lain dengan mencampurkannya dalam masakan.
Tetapi harus diingatkan, pilihan susu ini tidak boleh ditawarkan sebagai minuman utama menggantikan susu ibu mahupun susu formula.
Baca juga: