Minggu demi minggu

Mama, Usah Risau Lagi! Harapan Bayi Sumbing Cerah Dengan Rawatan Terkini!

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan

Kesakitan masa melahirkan anak belum pun pulih, kini Erin bertambah risau dengan keadaan bayinya. Melahirkan bayi sumbing memang bukan senang untuk dihadapi.

Namun, selepas membaca artikel ini mungkin Erin boleh tersenyum lebar.

Sempena Bulan Kesedaran Sumbing sepanjang Julai ini, kami bawakan pada anda mengenai masalah sumbing bibir atau lelangit.

Apakah itu sumbing?

sumbing bayi

Sumbing ialah satu keadaan di mana terdapat rekahan di bahagian struktur bibir atau lelangit.

Dalam beberapa kes, ia boleh berlaku kepada kedua-dua struktur tersebut. Hal ini terjadi kerana struktur muka tidak bercantum sepenuhnya dalam proses tumbesaran janin.

Masalah sumbing adalah antara kecacatan kelahiran yang paling biasa.

Mengikut kajian yang dijalankan di Hospital Kuala Lumpur, keadaan ini boleh berlaku pada satu atau dua bayi dalam 1,000 kelahiran.

Masalah bayi sumbing boleh berlaku sendiri, dan banyak dikaitkan dengan masalah keturunan atau sindrom.

Beberapa kes juga dikaitkan dengan isu kesihatan lain seperti jantung berlubang dan paru-paru tidak matang.

Bagaimana masalah sumbing terjadi?

sumbing bayi

Pada peringkat awal kehamilan, bahagian muka janin akan terbentuk berasingan sebelum ia bercantum untuk membentuk bahagian lain.

Semasa kandungan berusia 5 hingga 9 minggu, masalah sumbing boleh terjadi jikalau berlaku kegagalan dalam proses pencantuman tersebut.

Bibir sumbing dapat dikesan dengan sesi imbasan bermula pada minggu ke-13 kehamilan. Masalah ini lebih senang untuk didiagnosis dengan lebih tepat ketika janin mula membesar.

Sumbing di lelangit yang berlaku tanpa masalah sumbing bibir lebih sukar untuk dilihat dalam sesi imbasan.

Kenapa sumbing harus dirawat?

Bayi sumbing akan mengalami beberapa masalah ketika membesar seperti :

#1 Masalah penyusuan

Oleh sebab pembentukan mulut yang tidak sempurna, bayi sumbing akan mengalami masalah ketika penyusuan.

Masalah penyusuan juga bergantung kepada tahap keterukan sumbing yang dialami.

#2 Jangkitan telinga dan masalah pendengaran

Bayi dengan lelangit sumbing berisiko untuk menghadapi pengumpulan air di bahagian tengah telinga.

Hal ini boleh meningkatkan risiko untuk jangkitan telinga dan masalah pendengaran.

#3 Masalah pergigian

Sekiranya sumbing berlanjutan ke bahagian gusi atas, pertumbuhan gigi bayi boleh terjejas.

Bentuk gigi boleh menjadi tidak normal, atau bayi langsung tidak akan mempunyai gigi.

#4 Masalah pertuturan

Oleh sebab lelangit berfungsi untuk menghasilkan bunyi ketika bercakap, bayi yang mengalami sumbing lelangit akan berdepan dengan isu pertuturan.

Masalah yang sering dihadapi ialah bunyi sengau ketika bercakap atau hypernasal speech.

Selain itu, bayi juga akan mengalami kesukaran untuk membentuk perkataan dan tidak fasih dalam pertuturan untuk jangka masa panjang.

#5 Masalah psikologi

Kanak-kanak yang mempunyai masalah sumbing mungkin akan berdepan dengan masalah sosial, emosi dan tingkah laku.

Ini kerana penampilannya yang berbeza dengan kanak-kanak lain, juga tekanan daripada rawatan perubatan yang banyak.

Apakah jenis rawatan bayi sumbing yang sedia ada?

Matlamat rawatan sumbing bibir dan lelangit adalah untuk meningkatkan kemampuan si kecil bagi menjalani aktiviti harian yang normal.

Selain daripada penampilan wajah yang lebih normal, rawatan penting untuk memastikan anak boleh makan, bercakap dan juga mendengar secara normal.

Penjagaan bayi sumbing sering melibatkan pasukan pegawai kesihatan yang besar seperti doktor, pakar bedah, doktor gigi, pegawai terapi pertuturan dan sebagainya.

Rawatan boleh dibahagikan kepada dua – pembedahan dan terapi.

Pembedahan

sumbing bibir

Pembedahan biasanya dilakukan mengikut umur bayi seperti :

  • Pembedahan membaik pulih bibir – 3 hingga 6 bulan pertama
  • Pembedahan membaik pulih lelangit – pada usia 12 bulan, atau lebih awal
  • Pembedahan susulan – antara umur 2 tahun sehingga akhir usia remaja

a) Pembedahan membaik pulih bibir

Pembedahan ini selalunya dilakukan ketika bayi berusia 3 bulan.

Bayi anda akan diberikan ubat bius umum dan masalah sumbing akan diperbaiki dan ditutup dengan jahitan. Prosedur ini akan memakan masa 1 hingga 2 jam.

Jahitan akan dikeluarkan setelah beberapa hari, atau boleh larut dengan sendirinya. Parut akan kelihatan sedikit, tetapi ia akan pudar mengikut masa.

b) Pembedahan membaik pulih lelangit

Jurang lelangit akan ditutup sementara otot dan lapisan lelangit akan diatur semula. Luka akan ditutup dengan jahitan.

Operasi biasanya memakan masa sekitar 2 jam dan dilakukan bawah bius umum. Parut dari pembedahan akan berada di dalam mulut.

Selain itu, terdapat juga cara lain iaitu pemasangan prostetik pada lelangit. Ia digunakan untuk :

Terapi

Terapi biasanya bergantung kepada keperluan anak anda. Antara terapi yang selalunya diberikan ialah terapi pertuturan dan psikologi.

Ia boleh membantu anak anda dari segi pertuturan, mengatasi tekanan dan penyesuaian diri dengan keadaan mereka.

Konklusi

Melalui pelbagai proses dan rawatan untuk anak sumbing bukan mudah, tetapi tidak mustahil. Mama dan papa jangan berputus asa, ya!

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy
Share now :

Tarikh Reviu: 23/07/2020 | Kali terakhir kemaskini: 17/08/2020

Rujukan

Artikel lain untuk anda

bayi sumbing

Anak Sumbing? Ini 5 Komplikasi Yang Perlu Diketahui

Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung
Ditulis oleh Asyikin Md Isa
Diterbitkan pada 17/02/2020 . 4 minit bacaan