Perkahwinan kanak-kanak yang didefinisikan sebagai perkahwinan formal atau tidak sebelum usia 18 tahun mungkin berlaku kepada lelaki atau perempuan, tetapi lebih kerap melibatkan perempuan. Di peringkat global, lebih daripada 650 juta wanita yang hidup hari ini berkahwin sewaktu usia kanak-kanak.
Prinsip-prinsip yang disenaraikan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam Sustainable Development Goals jika ingin diterjemahkan kepada tindakan yang berkesan untuk kesejahteraan global antara lain menuntut perkahwinan kanak-kanak dihentikan. Sebagaimana yang disarankan bekas Setiausaha Agung PBB, Ban Ki Moon.
Risiko kehamilan awal
Perkahwinan kanak-kanak bererti aktiviti seksual bermula awal dan dalam kebanyakan kes, kehamilan awal. Di Chad, Guinea, Mali dan Niger, di mana perkahwinan kanak-kanak lazim berlaku, separuh daripada semua kanak-kanak perempuan yang berkahwin melahirkan anak sebelum ulang tahun ke-18 mereka.
Selain itu, kehamilan muda bukan sahaja berbahaya untuk si ibu, bahkan turut menjejaskan bayi dalam kandungan. Badan perempuan yang belum cukup membesar boleh menyebabkan komplikasi semasa bersalin dan kematian bayi.
Bayi kepada ibu muda ini lebih cenderung mengalami kematian berbanding mereka yang melahirkan sewaktu berusia 20-an.
Kelahiran mati atau kematian dalam masa seminggu selepas kelahiran adalah 50% lebih tinggi dalam ibu di bawah usia 20 tahun.
Gadis muda yang berkahwin sebelum berumur 18 tahun mempunyai risiko yang lebih tinggi menjadi mangsa keganasan rumah tangga berbanding mereka yang berkahwin pada usia yang lebih tua.
Ini lebih ketara dalam perkahwinan di mana jurang umur antara pengantin perempuan dan pasangan adalah besar.
Segala masalah yang dikatakan dapat dibendung dengan perkahwinan kanak-kanak hanya disebarluaskan lagi dengan mengizinkan fenomena ini berlaku.
Dalam aspek bantuan ekonomi kepada kanak-kanak dan keluarganya, perkahwinan awal hanya memberi keuntungan wang hantaran yang bersifat sekali cuma dengan mengorbankan faedah pendidikan jangka masa panjang.
Mereka yang berkahwin sewaktu kanak-kanak secara purata memperoleh pendapatan 9% lebih rendah berbanding mereka yang berkahwin kemudian.
Wanita bekerjaya melaburkan kembali 90% daripada pendapatan mereka kepada keluarga berbanding hanya 35% dalam kalangan lelaki.
Apabila seorang gadis dikahwinkan seawal usia kanak-kanak, ini bermakna pendidikannya tidak akan diteruskan, begitu juga kemampuannya untuk berdikari secara kewangan.
Peluang seorang gadis meningkatkan taraf hidup seluruh keluarganya, dan mungkin juga komuniti setempatnya akan hilang. Ini akan meneruskan lagi kitaran kemiskinan antara generasi.
Sementara jika dikira untuk mengurangkan masalah seks bebas dan kehamilan luar nikah, statistik menunjukkan 90% kehamilan remaja di negara membangun adalah dalam institusi perkahwinan sendiri.
Menamatkan perkahwinan kanak-kanak akan mengurangkan kadar kematian di bawah lima tahun dan perkembangan fizikal anak mereka yang tertangguh disebabkan kekurangan nutrisi yang sesuai. Di peringkat global, jangkaan faedah pengurangan dua keadaan ini boleh mencapai lebih daripada 90 bilion USD setiap tahun menjelang 2030.
Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Machel, Graça, Emilia Pires, and Gunilla Carlsson. ‘The World We Want: An End to Child Marriage’. Lancet (London, England) 382, no. 9897 (21 September 2013): 1005–6. https://doi.org/10.1016/S0140-6736(13)61944-3.
Mahato, Santosh. ‘Causes and Consequences of Child Marriage: A Perspective’. International Journal of Scientific and Engineering Research 7 (25 July 2016): 698–702. https://doi.org/10.14299/ijser.2016.07.002.
Nour, Nawal M. ‘Child Marriage: A Silent Health and Human Rights Issue’. Reviews in Obstetrics and Gynecology 2, no. 1 (2009): 51–56.