home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

AWAS! Mangsa Keganasan Rumah Tangga Berisiko Mati Akibat Goncangan Kepala

AWAS! Mangsa Keganasan Rumah Tangga Berisiko Mati Akibat Goncangan Kepala

Shaken baby sindrom atau sindrom bayi digoncang ialah salah satu punca bayi meninggal dunia akibat digoncang secara keterlaluan oleh pendera.

Sindrom yang berlaku akibat keganasan rumah tangga ini juga boleh berlaku kepada orang dewasa.

Sindrom bayi digoncang (Shaken baby syndrome)

Sindrom bayi digoncang merupakan sejenis kecederaan otak serius yang boleh terjadi kepada kanak-kanak akibat digoncang dengan penuh amarah oleh orang dewasa seperti ibu bapa ataupun penjaga bayi.

Disebabkan bayi mempunyai otot leher yang masih lembut, goncangan yang dilakukan secara keterlaluan terhadap bayi boleh mengakibatkan kecederaan kekal pada kepala bayi.

Sindrom goncang bayi merupakan salah satu bentuk penderaan kanak-kanak yang boleh menyebabkan bayi yang digoncang maut ataupun mengalami kecederaan kekal pada otak.

Selalunya, ibu bapa, penjaga ataupun saudara dekat yang menjaga bayi tersebut adalah individu yang bertanggungjawab atas kecederaan yang dialami bayi.

Mereka bertindak menggoncang bayi dengan kasar untuk hentikan tangisan si kecil. Individu tersebut mungkin rasa tertekan dan rimas dengan bayi yang kerap menangis.

Kadangkala, selepas digoncang, bayi mungkin akan terjatuh, terhantuk pada permukaan dinding atau dicampak pula ke atas lantai oleh individu yang mendera mereka.

The National Center on Shaken Baby Syndrome di Amerika Syarikat menganggarkan lebih kurang 600 hingga 1,400 kes berlaku di negara tersebut setiap tahun.

Disebabkan tiada cara yang berkesan untuk mengumpul data mengenai kes ini, jumlah kecederaan bayi yang terlibat dengan shaken baby syndrome tidak dapat dikenal pasti.

Sindrom ini merupakan salah satu punca kematian bayi yang paling kerap berlaku akibat menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan dera.

Lebih sedih lagi, banyak kes dera begini terlepas begitu sahaja tanpa mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada pihak yang bertanggungjawab.

Anda mungkin juga berminat:

Simptom bayi digoncang kerana menjadi mangsa keganasan rumah tangga

keganasan rumah tangga

Kadangkala, ibu terpaksa tinggalkan anak bersama penjaga, ahli keluarga terdekat ataupun kenalan rapat. Disebabkan simptom goncang bayi ini boleh membawa maut, penting untuk ibu bapa terus peka dan tahu tanda-tanda bayi digoncang.

Antara gejala yang dialami oleh bayi yang telah digoncang ialah:

  1. Bayi nampak resah
  2. Mempunyai masalah pernafasan
  3. Tidak lalu makan
  4. Sukar untuk kekal berjaga
  5. Muntah-muntah
  6. Muka pucat atau kebiruan
  7. Sawan
  8. Lumpuh
  9. Koma

Sindrom goncang bayi juga boleh berlaku kepada orang dewasa

Shaken baby syndrome bukan sahaja berlaku kepada kanak-kanak, malah ia boleh juga berlaku kepada orang dewasa.

Terdapat kes orang dewasa mengalami sindrom bayi digoncang kerana menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Pada kanak-kanak, kesan goncangan ini boleh akibatkan pendarahan pada mata, bengkak ataupun kesan darah beku dalam otak dan lebam pada kawasan lengan.

Wanita yang telah menjadi mangsa sindrom ini tiba di hospital dengan beberapa kecederaan yang sama seperti kecederaan yang dialami oleh bayi yang digoncang.

Dia juga mengadu penglihatannya kabur dan sering muntah-muntah.

Selain itu, wanita tersebut juga mengalami luka akibat kesan cucuhan rokok pada kawasan muka dan lengan. Doktor telah mendiagnosis wanita tersebut dengan ‘adult shaken syndrome’ berdasarkan kecederaan yang dialami.

Seperti mangsa dera yang lain, wanita ini tidak mengaku didera walaupun berkali-kali dinasihatkan oleh doktor untuk membuat laporan polis.

Hanya 48 jam kemudian barulah wanita tersebut mengalah dan mengaku bahawa dia telah menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

2 minggu kemudian, wanita tersebut masih lagi mengalami simptom konkusi. Kecederaan pada sebelah matanya juga tidak baik-baik walaupun setelah 3 bulan.

Keganasan rumah tangga: Jangan takut untuk panggil polis

keganasan rumah tangga

Kes keganasan rumah tangga selalunya tidak akan dilaporkan kepada pihak berkuasa disebabkan pelakunya ialah orang yang rapat dengan mangsa seperti pasangan ataupun ahli keluarga sendiri.

Hospital kerajaan mempunyai ‘One Stop Crisis Center’ atau OSCC yang bertindak sebagai pusat perlindungan sementara untuk mangsa keganasan domestik.

OSCC juga boleh berikan pandangan dan nasihat dari segi undang-undang dan juga kaunseling.

Sukar untuk mangsa bertindak meninggalkan individu yang mendera mereka.

Mangsa bukan sahaja mempunyai fikiran yang bercelaru, malah mereka telah terlalu lama hidup di bawah cengkaman rasa takut yang amat sangat hinggakan tidak tahu apa yang dialami ialah sesuatu yang tidak normal.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga menyediakan khidmat perlindungan kepada mangsa dera.

JKM boleh memberikan arahan perlindungan kecemasan (emergency protection order EPO) melalui Talian Nur 15999 ataupun dengan cara mengunjungi pejabat JKM yang terdekat.

Bersama, kita boleh putuskan rantai yang membelenggu mangsa dera.

Hanya dengan cara menjauhkan pendera daripada mangsa sahaja yang terbukti benar-benar berkesan untuk menyelamatkan mangsa keganasan rumah tangga.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. American Association for the Advancement of Science. 2000. There’s an adult version of shaken baby syndrome in domestic violence. February 23. Accessed July 13, 2020. https://www.eurekalert.org/pub_releases/2000-02/BMJ-Taav-2302100.php#:~:text=Adults%20are%20likely%20to%20have,babies%20and%20very%20young%20children.
  2. Carrigan, T. D., E. Walker, and S. Barnes. 2000. “Domestic violence: the shaken adult syndrome.” Emergency Medicine Journal http://dx.doi.org/10.1136/emj.17.2.138.
  3. Citizens Advice. n.d. Domestic violence and abuse. Accessed July 13, 2020. https://www.citizensadvice.org.uk/family/gender-violence/domestic-violence-and-abuse/.
  4. Mayo Clinic. 2017. Shaken baby syndrome. August 28. Accessed July 13, 2020. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/shaken-baby-syndrome/symptoms-causes/syc-20366619.
  5. MyHealth Portal. 2012. Shaken Baby Syndrome. April 27. Accessed July 13, 2020. http://www.myhealth.gov.my/kanak-shaken-baby-syndrome/.
  6. Women’s Aid Organisation (WAO). n.d. Getting Help for Domestic Violence. Accessed July 13, 2020. https://wao.org.my/getting-help-for-domestic-violence/#1533550528623-f4378397-cf9f.

 

Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Fatin Zahra Disemak pada 12/08/2020
Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan