Pemikiran seperti ini seharusnya ditukar dan dipandang daripada perspektif yang berbeza. Anda perlu mengajar anak anda untuk memandang positif setiap perkara yang berlaku terhadap diri mereka.
Sebagai contoh, sekiranya anak anda mengadu kepada anda berkenaan guru yang memarahi mereka kerana mendapat gred yang teruk di sekolah, anda boleh menenangkan mereka dan menegaskan bahawa sudah menjadi tugas guru sekolah untuk mengajar anak muridnya sehingga mereka berjaya. Ini akan membuatkan mereka berasa lebih positif lantas meningkatkan keyakinan diri mereka.
#2. Ajar anak anda untuk bertenang
Kanak-kanak yang mengalami fobia sosial ini akan mudah berasa gemuruh setiap kali mereka cuba berhadapan dengan masyarakat untuk bersosial. Sebagai langkah mengatasi perasaan ini, anda boleh mengajar anak anda untuk bertenang. Berikut merupakan beberapa teknik untuk mencapai ketenangan yang sangat diperlukan:
- Menarik nafas sedalamnya. Ini merupakan teknik yang paling asas dan mudah untuk dilakukan. Teknik ini akan menenangkan degupan jantung serta pernafasan ketika sedang gemuruh. Oleh itu, anda perlu ajar anak anda cara melakukan teknik ini dengan sebetulnya iaitu menarik nafas sedalamnya dan hembuskan nafas tersebut secara perlahan-lahan.
- Merelakskan otot. Ketika sedang gemuruh, otot-otot akan menjadi tegang. Oleh itu, anda perlu mengajar anak anda untuk merelakskan otot mereka. Sebagai contoh, ajar anak anda untuk menggengam tangan dengan kuat kemudian lepaskan dengan perlahan-lahan. Ini akan membuatkan otot menjadi lebih relaks.
- Mengalih perhatian mereka. Kanak-kanak yang mudah berasa gemuruh tatkala ingin bersosial perlu dialihkan tumpuan mereka. Anda boleh bercerita dengan mereka apa-apa sahaja cerita yang dapat mengkhayalkan mereka sekaligus membuat mereka lupa akan perasaan gemuruh mereka. Ini sekali gus dapat membuatkan mereka lebih selesa dan yakin untuk bersosial.
#3. Ajar anak anda teknik berkawan
Sebagai ibu bapa, anda tidak mampu untuk mengatur dan menetapkan kawan-kawan anak anda. Perkara ini perlu diusahakan sendiri oleh anak anda. Namun begitu, anda masih boleh mengajar mereka teknik untuk berkawan agar anak anda lebih mudah didekati dan disenangi oleh kawan-kawan sekeliling mereka.
Anda boleh mengajar mereka cara menegur kawan lain dengan sopan. Selain itu, nasihatkan mereka untuk menjadi pendengar yang setia selain memberikan respons yang baik setiap kali berinteraksi dengan kawan mereka.
Dalam pada itu lagi, pastikan anak anda menjadi seorang yang peramah dalam lingkungan kawan-kawan mereka bagi membuat mereka disenangi oleh kawan-kawan. Namun, perlu diingatkan bahawa menjadi ramah tidak bermaksud terlalu banyak dan bebas dalam percakapan mereka.
#4. Ajar anak anda skil penyelesaian masalah
Kanak-kanak yang mengalami kondisi ini sangat suka untuk mengelak daripada masalah kerana mereka tidak mahu berhadapan dengan situasi yang membuat mereka tidak selesa atau gugup. Namun begitu, sikap ini tidak harus ada dalam diri anak anda dan sesuatu perlu dilakukan untuk menghalangnya sikap anak anda ini daripada berlarutan.
Anda boleh mengajar anak anda skil penyelesaian masalah bagi mengelakkan perasaan tidak selesa atau gugup ini terus ada dalam minda mereka. Sebagai contoh, anda boleh melatih skil ini dengan memberi mereka tugas seperti membeli barang di kedai runcit untuk melatih skill komunikasi mereka.
Ini sekali gus akan membuatkan mereka lebih selesa dengan masyarakat di sekeliling selain melatih skil penyelesaian masalah seharian yang berlaku dalam kehidupan seharian mereka.
Konklusi
Kesimpulannya, fobia sosial ini adalah satu masalah yang melibatkan kekurangan keupayaan interaksi sosial dalam kalangan individu. Kebiasaannya, ia akan berlaku pada kanak-kanak. Namun, ia juga boleh berlaku kepada individu dewasa. Untuk mengelakkan ia berlaku, ibu bapa sewajarnya menerapkan langkah-langkah yang telah tertulis di atas ini sejak usia awal kanak-kanak lagi.
Jadi, ibu bapa yang mempunyai anak dengan fobia sosial seperti ibu Dalila, jangan berdiam diri dan mengganggap kekurangan anak anda ini adalah normal dan akan menjadi lebih baik seiring dengan usia. Anda sebagai ibu bapa adalah kunci kepada setiap kejayaan anak anda. Jangan lupa, ya?
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen