Sarapan pagi yang sihat penting untuk anak bagi memulakan harinya. Jika tidak bersarapan, mereka tidak akan mempunyai tenaga untuk belajar dan bermain.
Ia boleh menjadi satu cabaran untuk meyakinkan anak bersarapan. Tapi bertenang, ada 5 cara yang mungkin dapat membantu ibu bapa.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Kepentingan sarapan pagi yang sihat
Bersarapan pada waktu pagi adalah cara terbaik memberikan badan mengisi semula tenaga yang hilang.
Manakala melangkau sarapan boleh mengakibatkan anak cepat letih, lesu, resah atau mudah marah, kerana menjelang tengah hari mood dan tenaga mereka akan menurun.
Sarapan pagi untuk anak sekolah penting bagi menjadikan mereka lebih sihat secara keseluruhan dan aktif secara fizikal – 2 cara terbaik untuk membantu mengekalkan berat badan sihat.
Ini kerana ia dapat menggerakkan metabolisme tubuh – proses badan menukar bahan api dalam makanan kepada tenaga.
Apabila metabolisme mula bergerak, tubuh akan mula membakar kalori. Beberapa kajian mencadangkan bahawa tubuh membakar kalori lebih baik pada waktu pagi berbanding lewat malam.
Risiko berat berlebihan boleh berlaku apabila melangkau sarapan kerana:
- Mengambil snek lebih kerap sepanjang hari
- Makan berlebihan pada waktu malam
- Makan lewat malam
Baca juga:
Sarapan untuk otak
Bukan hanya sarapan pagi sahaja penting tetapi apa yang dimakan ketika bersarapan juga memainkan peranan.
Pilihan terbaik adalah pengambilan sarapan yang kaya dengan bijirin penuh, buah-buahan atau sayuran dan protein serta harus rendah kandungan gula tambahan.
Pengambilan sarapan pagi yang sihat dapat:
- Membantu anak mendapatkan lebih serat, kalsium dan nutrien penting lain
- Membantu anak menjadi lebih baik di sekolah
- Meningkatkan daya ingatan dan perhatian, yang perlu dipelajari anak
Selain itu, kajian juga menunjukkan anak bersarapan mempunyai IQ lebih tinggi berbanding mereka yang tidak mengambil sarapan.
Galakkan anak mengambil sarapan pagi yang sihat
Walaupun anda sedia maklum bersarapan adalah penting, namun masih ramai antara kita yang mengabaikannya, terutama kanak-kanak.
Dianggarkan 40% kanak-kanak tidak bersarapan pagi – menunjukkan ramai ibu bapa di luar sana berdepan kesukaran untuk memastikan anak mereka bersarapan.
Kanak-kanak memang sukar diramal dan cerewet dalam soal pemakanan, ia keadaan normal untuk terjadi dan tiada apa yang perlu dirisaukan.
Berikut beberapa cadangan untuk membuatkan anak teruja untuk bersarapan:
1. Jadi kreatif dalam penyediaan sarapan pagi yang sihat
Semasa menyediakan sarapan, fikirkan cara untuk menjadikan sarapan lebih menarik – anda boleh menghasilkan makanan dalam pelbagai jenis bentuk dan warna.
Sebagai contoh, potong roti bakar dalam bentuk yang berbeza – bintang atau bulat.
Dalam masa yang sama, pastikan makanan tersebut sihat – mengandungi karbohidrat, protein dan lemak.
Cuba masukkan sayuran ke dalam makanan seperti campurkan lobak merah yang dikisar ke dalam kentang lenyek.
2. Sarapan ringan
Bagi kanak-kanak yang tidak biasa dengan rutin bersarapan akan menolak untuk makan pada waktu pagi kerana tidak berasa lapar.
Jadi cuba tawarkan dengan menu sarapan ringan seperti buah – pisang dan epal, smoothie sihat, susu atau yogurt.
Usah risau kerana senarai makanan di atas dianggap sebagai pilihan sarapan pagi yang sihat.
3. Libatkan anak untuk menyediakan sarapan pagi
Ada kanak-kanak lebih cenderung makan makanan yang disediakan sendiri, jadi mintalah bantuan mereka semasa menyediakan sarapan.
Berikan tugasan mudah seperti memilih bahan, menghias makanan dan menuang susu ke dalam mangkuk bijirin.
Anda juga boleh bertanyakan pendapat mereka mengenai apa yang mahu dimakan semasa membeli barangan dapur.
4. Biarkan anak memilih
Berikan anak beberapa pilihan sarapan pagi seperti sediakan 2 atau 3 jenis bijirin sarapan atau perisa oat, tanyakan sama ada mereka lebih menyukai telur hancur atau direbus.
Jadikan ia pilihan sihat dengan menyediakan bahan seperti keju rendah lemak, mencampur sayuran seperti lada benggala, bawang, cendawan serta tomato, kemudian biarkan anak memilih apa yang ingin dimasukkan ke dalam telur dadarnya.
Masak pankek dan biarkan anak menghiasinya dengan buah-buahan kegemaran, seperti pisang atau strawberi.
Jika kesuntukan masa, sekurang-kurangnya berikan anak untuk memilih sama ada roti bakar atau bijirin sarapan untuk hidangan bersarapan.
5. Menikmati sarapan pagi yang sihat bersama-sama anak
Jika anda tidak mahu anak melangkau masa sarapan, maka anda juga haruslah bersarapan!
Ini kerana anak akan mengikut kelakuan ibu bapa mereka, jadi tunjukkanlah contoh teladan yang baik.
Oleh itu, duduk serta nikmati waktu bersarapan keluarga bersama dan keadaan akan lebih seronok daripada bersarapan secara sendirian.
Selain daripada menunjukkan contoh yang baik, anda juga dapat berpeluang untuk berbual seketika bersama mereka sebelum memulakan hari yang sibuk.
Rutin pagi sebegini akan membantu anak untuk membiasakan diri dengan bersarapan. Ia akan mengambil sedikit masa untuk mereka terbiasa rutin ini, jadi ibu ayah perlu banyak bersabar.
Namun apabila sudah terbiasa, mereka tidak akan melewatkan waktu bersarapan.
Petua yang dikongsikan ini pasti berkesan, tetapi memerlukan konsistensi daripada anda sendiri sebagai ibu bapa.
[embed-health-tool-baby-poop-tool]