backup og meta

Si Manja CEREWET Sangat Soal Makan? Ini 11 Cara Atasinya, Pasti BERKESAN!

Si Manja CEREWET Sangat Soal Makan? Ini 11 Cara Atasinya, Pasti BERKESAN!

Masalah bayi susah makan adalah perkara normal yang dialami kebanyakan ibu bapa di luar sana. Jangan bimbang, Hello Doktor ada 11 cara memujuk anak makan yang berkesan untuk anda cuba.

Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Keibubapaan, anda boleh klik di sini.

Bayi susah makan

Mungkin semalam si kecil dengan mudah boleh habiskan semangkuk bubur nasi tanpa sebarang masalah. 

Namun hari ini, anda diuji dengan cabaran apabila anak langsung tidak mahu disuap walaupun sesudu bubur nasi

Aduh, garu kepala mama apabila berdepan keadaan sebegitu, bukan?

Kenapa bayi tidak mahu makan? Adakah terdapat cara memujuk si manja makan yang boleh anda lakukan untuk mengatasi keadaan ini?

Memahami punca bayi tidak mahu makan

Kenapa anak tidak mahu makan nasi?

Ibu-ibu sekalian tidak perlu risau, sememangnya ada cara yang boleh anda cuba. 

Tetapi sebelum itu, apa kata anda fahami dahulu, mengapa keadaan tersebut boleh berlaku pada si manja anda.

Paling tidak si manja mungkin akan menggelengkan kepala mahupun menutup mulutnya saat anda cuba menyuap makanan.

Ada juga pe’el anak yang menyemburkan makanan sebagai tanda penolakan. Haish, geram rasanya apabila anak buat begitu, bukan?

Betul ke si manja pemilih?

Sebenarnya, itu bukanlah bermakna si manja anda seorang memilih.

Masalah bayi susah makan mungkin berlaku kerana:

  • anak sudah kenyang
  • terganggu
  • mengalami ketidakselesaan badan

Si manja anda akan menolak sesuatu makanan kerana beberapa alasan atau tanpa bersebab.

Tetapi selagi pertumbuhan dan kenaikan berat badan adalah seiring usianya, biasanya tiada apa yang perlu ibu bimbangkan. 

Walau bagaimanapun, jika anda berasa bimbang, anda disarankan berbincang dengan pakar pediatrik sebelum mencuba cara pujuk anak makan yang akan dikongsikan Hello Doktor.

Ada banyak sebab mengapa anak anda memilih ketika makan.
Kenapa bayi tidak mahu makan?

Cara pujuk anak makan

Jika anda antara ibu yang berdepan situasi bayi susah makan, berikut 11 cara pujuk anak makan yang mungkin dapat membantu anda mengatasi masalah tersebut. Selamat mencuba!

  1. Jangan paksa bayi

Perkara pertama harus anda ingat sewaktu mencuba cara pujuk anak makan, seandainya anak memalingkan kepala daripada suapan, itu petanda si kecil sudah kenyang.

Walaupun mereka hanya makan sedikit sahaja, tetapi percayalah bayi anda akan makan apabila mereka berasa lapar. 

  1. Tekstur berbeza

Bayi juga mempunyai keinginan yang berbeza. Ada yang sukakan makanan basah dan ada yang gemarkan finger food

Pastikan anda hindari makanan yang tidak sihat ketika memberikannya makan. Tawarkan pilihan sihat dan bantu kembangkan selera mereka dengan cara yang baik. 

  1. Perubahan tempo

Haa..jangan ingat lagu sahaja ada tempo, nak bagi anak makan pun perlu mengikut kaedah tertentu, terutamanya jika si manja adalah bayi susah makan. 

Ada sesetengah bayi mahu disuap makanan dengan cepat dan sebaliknya. Jadi tugas anda di sini untuk mengenal pasti tabiat kegemaran mereka. 

  1. Kurangkan gangguan

Cuba jadikan makanan sebagai fokus pada waktu hidangan. Tutup sebarang gajet, siaran televisyen, dan jauhkan permainan.

Bantu bayi untuk fokus pada 1 perkara iaitu MAKAN.

  1. Kekalkan tempoh masa

Anda mungkin tidak mempunyai perkara lain untuk dilakukan, jadi anda tidak kisah melayan waktu makan si manja selama yang diingini. 

Tetapi, anda disarankan untuk memastikan waktu makan hanya berlangsung dalam tempoh masa 20 hingga 30 minit sahaja, ya ibu! 

  1. Menyentuh makanan

Cara pujuk anak makan yang lain untuk anda cuba adalah dengan membiarkan mereka menyentuh dan merasa makanan tersebut terlebih dahulu sebelum anda menyuapnya.

Anda juga pastinya biasa untuk cuba merasa makanan terlebih dahulu, bukan? Jadi biarkan si manja lakukan perkara yang sama.

  1. Ikut garis masa bayi

Ada bayi yang bersedia terima makanan pejal seawal usia 4 bulan tetapi ada yang mungkin masih tidak mahu makan walaupun memasuki usia 6 bulan.

Seperti merangkak, bertatih atau berjalan, semua perkara tersebut adalah berbeza bagi setiap anak, begitu juga dalam soal makan.

Beri anak anda makan makanan yang sesuai mengikut fasa usia mereka.
Cara pujuk anak makan.
  1. Menyuap sendiri

Jika anda berdepan situasi bayi susah makan, apa kata anda membiarkan mereka untuk cuba makan dengan sendiri.

Ya, pastinya akan bersepah, tetapi ia mungkin dapat membantu menaikkan keinginan makan si manja.

  1. Faktor tumbesaran bayi

Apabila mencapai usia setahun, tumbesaran bayi akan menjadi perlahan. Begitu juga dengan keperluan kalori mereka.

Jadi jika mereka kurang makan, usah bimbang, okay?

  1. Terus mencuba

Ada bayi yang perlu cuba diberikan makan untuk 5 atau 6 malahan 10 kali sebelum mereka menyukai sesuatu makanan.

Banyakkan bersabar dan terus mencuba walaupun mereka menolaknya, selagi tidak wujud sebarang reaksi alahan.

  1. Faham keadaan bayi

Anda bertanggungjawab untuk memberi anak makan, tetapi ia adalah hak mereka untuk menentukan apa dan berapa banyak perlu dimakan. 

Seorang anak akan makan apabila lapar. Selagi tumbesaran tidak terganggu dan mereka sihat, tiada apa yang perlu dikhuatiri.

Bersabar dengan kerenah anak


Normal untuk bayi menolak makan dan anda sebagai ibu akan menjadi marah. Tetapi apa kata anda tidak mengambilnya secara peribadi. Jangan kecewa atau naik angin.

Anda harus ingat bayi susah makan adalah 1 keadaan normal pada anak. Lakukan yang terbaik untuk mendorong pengambilan makanan sihat untuk si manja.

[embed-health-tool-child-growth-chart]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. 10 Tips for Parents of Picky Eaters. https://www.healthychildren.org/English/ages-stages/toddler/nutrition/Pages/Picky-Eaters.aspx. Diakses pada Jun 9, 2020.
  2. How to Handle Picky Eaters. https://www.zerotothree.org/resource/how-to-handle-picky-eaters. Diakses pada Jun 9, 2020.
  3. Mayo Clinic Minute: How to deal with extreme picky eating in kids. https://newsnetwork.mayoclinic.org/discussion/mayo-clinic-minute-how-to-deal-with-extreme-picky-eating-in-kids/. Diakses pada Jun 9, 2020.
  4. Picky Eaters. https://www.ucsfbenioffchildrens.org/education/picky-eaters. Diakses pada Jun 9, 2020.
  5. Fussy eating in toddlers and children. https://www.pregnancybirthbaby.org.au/fussy-eaters. Diakses pada Jun 9, 2020.

Versi Terbaru

10/10/2024

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

9 Cara Terbaik Bantu Si Manja Anda Hilangkan Sedu, No. 4 Paling Berkesan!

Kenapa Ibu Bapa TIDAK Boleh Bagi Anak Makan Ubat Batuk Sembarangan? Ini Sebabnya


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 3 minggu lalu

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan