Terdapat sesetengah makanan yang menyebabkan bayi kembung perut, sama ada yang dimakan oleh ibu atau setelah diperkenalkan makanan pepejal. Berita baiknya, ada petua tradisional hilangkan kembung perut bayi boleh dicuba.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Punca bayi alami kembung perut
Sebelum mengetahui apakah antara jenis makanan yang menyebabkan bayi kembung perut, ayuh kita fahami punca masalah berangin ini terjadi kepada si kecil.
Hampir semua bayi boleh mengalami masalah perut berangin atau kembung dan ia adalah situasi normal. Keadaan ini boleh terjadi apabila udara masuk ke dalam saluran pencernaan.
Antara sebab bayi mengalami masalah kembung perut adalah:
Menelan udara
Bayi boleh menelan udara berlebihan jika mereka tidak melekap pada payudara dengan betul semasa penyusuan. Ia juga boleh terjadi ketika bayi menghisap botol pada kedudukan tertentu.
Menangis berlebihan
Bayi cenderung menelan udara apabila mereka menangis.
Masalah penghadaman kecil
Bayi mungkin mendapat gas apabila mengalami sembelit. Dalam kes jarang berlaku, masalah kembung ini boleh menandakan kondisi gastrousus seperti refluks asid.
Saluran penghadaman tidak matang
Tubuh bayi sedang belajar cara mencerna makanan, jadi mereka cenderung mengalami perut berangin berbanding individu dewasa.
Virus gastrousus
Kadangkala virus menyebabkan masalah perut, seperti:
- Berangin
- Muntah
- Cirit-birit
[embed-health-tool-vaccination-tool]
Mencuba makanan baharu
Bagi bayi yang mula mengambil makanan pepejal, pengenalan makanan baharu boleh menyebabkan kembung.
Untuk sesetengah bayi, masalah kembung yang kerap mungkin menandakan tanda sensitiviti makanan.
Jadi apakah jenis makanan yang menyebabkan bayi kembung perut,ya?
Makanan yang menyebabkan bayi kembung perut
Mengetahui punca anak mengalami kembung pastinya dapat membantu anda mengatasi keadaan ini dengan lebih baik.
Walaupun bayi boleh bertindak balas terhadap makanan secara berbeza, namun terdapat beberapa kumpulan makanan utama yang cenderung menyebabkan perut kembung.
1. Susu ibu, antara makanan yang menyebabkan bayi kembung perut
Jika si manja menyusu badan, terdapat kemungkinan sesuatu dalam diet anda menjadi punca perut kembung bayi. Ia biasanya mengambil masa 2-6 jam untuk makanan yang dimakan, dihadam dan disalurkan ke dalam susu ibu.
Makanan pedas atau produk tenusu boleh menyumbang kepada kembung. Tetapi bayi boleh menjadi sensitif kepada banyak perkara dalam susu ibu.
Cuba catatkan jenis dan masa pengambilan sesuatu makanan bersama-sama gejala kembung yang dialami si kecil – seperti cepat meragam, bunyi perut berangin atau kerap menarik lutut ke dada.
Cara ini membantu anda mengenal pasti makanan yang mungkin menjadi puncanya.
Makanan yang menyebabkan bayi kembung perut #2. Kandungan susu formula
Jika bayi diberikan susu formula, kembung boleh berpunca daripada kandungan bahan-bahan di dalamnya.
Sekiranya anda baharu menukar jenis susu formula lain dan berlaku masalah perut berangin, mungkin susu itulah penyebabnya.
Kebanyakan susu rumusan bayi standard berasaskan susu lembu. Sesetengah si comel sensitif terhadap protein ini dan boleh mengakibatkan berangin, muntah, cirit-birit, sakit dan ruam. Alternatif yang boleh dicuba adalah produk berasaskan soya.
Malangnya, soya juga boleh mencetuskan masalah kembung pada sesetengah bayi. Pilihan terbaik adalah untuk berunding dengan pakar pediatrik mengenai susu formula yang bersesuaian.
Baca juga: