Sedang mencari cara hilangkan sedu bayi? Tetapi adakah anda tahu kenapa bayi sedu? Dalam perkongsian artikel ini ada penjelasannya.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Kenapa bayi sedu?
Kenapa bayi sering sedu sedu? Adakah normal bayi kerap sedu?
Masalah sedu yang dialami bayi baru lahir biasanya disebabkan oleh terlebih menyusu, proses penyusuan terlalu cepat atau menelan banyak udara – punca si manja kembung perut.
Apabila perut berangin, ia sebenarnya akan menolak diafragma – menyebabkan ia kekejangan dan terjadilah sedu!
Ada kalanya bayi boleh mengalami sedu disebabkan oleh perubahan mendadak dalam suhu perut. Eh, macam mana pula tu?
Sebagai contohnya, anda memberikan bayi susu sejuk, beberapa minit kemudian diberikan pula bubur panas. Gabungan ini sebenarnya boleh mencetuskan sedu pada si comel.
Kenapa bayi sedu: Gastroesophageal reflux puncanya
Selain daripada pencetus yang disebabkan oleh penyusuan atau pemakanan, dalam sesetengah kes bayi yang mengalami sedu berterusan boleh berpunca oleh perkara lain.
Penyebab itu adalah refluks gastroesophageal atau lebih dikenali sebagai GER (gastroesophageal reflux).
Apabila bayi mengalami keadaan refluks ini, sebahagian makanan yang dicerna dan jus berasid daripada perut mengalir kembali ke esofagus menyebabkan sensasi rasa terbakar dan ketidakselesaan.
Oleh sebab esofagus melalui diafragma, ia boleh merengsa dan menyebabkan bayi lebih kerap sedu.
Di samping sedu, bayi dengan GER juga akan mengalami simptom lain seperti:
- Bayi lebih kerap menangis dan mudah meragam
- Bayi melengkungkan badan secara berlebihan semasa atau selepas penyusuan
- Bayi lebih kerap terjeluak (spitting)
- Batuk
Sekiranya anda menyedari beberapa gejala di atas dan mengesyaki bayi tersedu disebabkan keadaan refluks ini, lakukan pemeriksaan dengan pakar pediatrik. Berita baiknya, keadaan ini boleh dirawat.
Kenapa bayi sedu: Tempoh masa sedu
Bayi boleh mengalami sedu beberapa kali sehari dan boleh berlanjutan untuk tempoh selama 10 minit atau lebih.
Sebagai panduan umum, selagi si manja aktif dan gembira serta tidak terlihat sebarang ketidakselesaan, tiada apa yang perlu anda bimbangi.
Anda boleh membiarkan sedu hilang dengan sendirinya. Jika berterusan dan bayi tampak seperti berdepan kesukaran, bawa mereka bagi mendapatkan pemeriksaan doktor segera.
Boleh ke baringkan bayi yang tengah sedu?
Walaupun anda sudah mengetahui kenapa bayi sedu, tetapi sudah tentu rasa risau itu tetap ada, betul tak? Bahkan, mungkin timbul persoalan, boleh ke untuk membaringkan bayi yang sedang tersedu?
Dalam kebanyakan kes, adalah baik untuk membaringkan bayi tersedu dalam posisi tidur menelentang.
Seperti yang dinyatakan tadi, jika bayi tersedu disebabkan GER, mereka mungkin akan cenderung terjeluak atau muntah. Dalam situasi ini, adalah lebih baik untuk memastikan mereka dalam keadaan tegak.
Untuk sebarang kebimbangan, berundinglah dengan doktor.
Cara hilangkan sedu bayi
Anda sudah mengetahui punca sedu terjadi. Kini ayuh kita ketahui apakah tip yang boleh dilakukan untuk meredakannya.
Petua hilangkan sedu bayi menyusu badan
Jika bayi diberikan penyusuan eksklusif, pastikan anda mengambil kira petua ini untuk mencegah sedu:
- Sendawakan bayi semasa bertukar daripada satu payudara ke sebelah yang lain
- Jika menelan udara berlebihan adalah puncanya, mungkin anda boleh memeriksa lekapan puting bayi. Pastikan bibir bayi melekap di sekeliling areola dan bukannya hanya puting
Cara hilangkan sedu bayi menyusu botol
Berikut adalah kaedah menghilangkan sedu pada si kecil yang menyusu botol:
- Disarankan untuk berehat seketika semasa menyusu untuk sendawakan bayi dan teruskan penyusuan selepas berehat antara 5-10 minit
- Cuba betulkan kedudukan botol susu untuk mengelakkan bayi menelan udara berlebihan
Kenapa bayi sedu: cara hilangkan sedu bayi
Sama ada untuk si kecil menyusu badan atau botol, tip berikut boleh membantu sebagai cara hilangkan sedu bayi:
- Dudukkan bayi tegak selama 20-30 minit selepas setiap penyusuan
- Jika tiada punca sedu yang boleh dikenal pasti, gosokkan belakang bayi atau melakukan henjutan (rocking) lembut boleh membantu
Perkara yang perlu dielakkan
Terdapat beberapa perkara yang harus dielakkan sama sekali semasa cuba meredakan sedu yang dialami bayi, seperti:
- Jangan sekali-kali mengejutkan atau menakutkan bayi untuk menghilangkan sedu
- Jangan letakkan kain basah di dahi bayi, yang juga tidak membantu
- Menahan nafas adalah satu petua yang tidak boleh dicuba pada bayi – ia berbahaya!
- Ada petua menyarankan untuk menarik lidah bayi dan menekan pada ubun-ubun atau fontanelle anterior (bahagian lembut kepala si comel, tetapi ini boleh menyakiti mereka
Kenapa bayi sedu: Apa yang perlu dibimbangkan?
Masalah sedu yang dialami si comel adalah perkara normal. Bahkan ia sebenarnya boleh berlaku semasa bayi dalam kandungan lagi.
Walau bagaimanapun, jika sedu terlalu kerap berlaku sehingga menyebabkan si kecil berasa tidak selesa dan mudah meragam, anda dinasihatkan bawa anak untuk melakukan pemeriksaan doktor. Ini kerana ia mungkin disebabkan oleh masalah kesihatan lain.
Kesimpulan
[embed-health-tool-child-growth-chart]