home

Bagaimana kami boleh memperbaikinya?

close
chevron
Artikel ini mengandungi maklumat yang salah dan tidak tepat.
chevron

Sila beritahu kami apa yang salah.

wanring-icon
Anda tidak wajib mengisi maklumat ini. Sila klik Hantar Pendapat Saya di bawah untuk terus membaca.
chevron
Artikel ini tidak menyediakan info selengkapnya
chevron

Sila beritahu kami apa yang salah.

wanring-icon
Anda tidak wajib mengisi maklumat ini. Sila klik Hantar Pendapat Saya di bawah untuk terus membaca.
chevron
Hmm... Saya ada soalan!
chevron

Kami tidak boleh menawarkan khidmat nasihat kesihatan peribadi, tapi kami mengalu-alukan pendapat anda! Sila isi kotak di bawah.

wanring-icon
Jika anda mengalami kecemasan, sila hubungi pihak kecemasan atau lawati bilik kecemasan terdekat dengan kadar segera.

Mulut & Lidah Si Manja Ada Tompokan Putih? AWAS, Mungkin Itu PUNCA Bayi Sukar Menyusu

Mulut & Lidah Si Manja Ada Tompokan Putih? AWAS, Mungkin Itu PUNCA Bayi Sukar Menyusu

Perasan tak tompok putih pada lidah si kecil? Itu mungkin kandidiasis mulut yang berpunca daripada jangkitan kulat. Fahami puncanya dalam perkongsian artikel ini.

Jangkitan ini terjadi disebabkan oleh kulat candida, sejenis yis. Ia adalah jangkitan kulat mulut paling kerap ditemui. Pun begitu, keadaan ini juga boleh menjangkiti bahagian tubuh yang lain.

Umumnya, kandidiasis mulut boleh berlaku kepada sesiapa.

Tetapi keadaan ini lebih kerap berlaku kepada bayi atau kanak-kanak, individu dewasa lebih berusia, dan mereka yang mempunyai sistem imun badan yang lemah.

Punca jangkitan kulat pada mulut

Kandidiasis mulut berlaku disebabkan pertumbuhan yis yang dikenali sebagai Candida albicans secara berlebihan.

Sememangnya dalam keadaan biasa, kebanyakan individu termasuk bayi, secara semula jadi akan mempunyai kulat ini dalam jumlah yang kecil dan dianggap sebagai pertumbuhan normal.

Ia akan berada pada bahagian mulut, pencernaan dan kulit serta dikawal oleh sistem imun sihat dan bakteria baik di dalam tubuh.

Adakalanya, masalah sistem imun yang lemah disebabkan penyakit atau pengambilan ubatan tertentu seperti kortikosteroid atau antibiotik boleh mengganggu keseimbangannya.

Ini boleh menyebabkan kulat membiak di luar kawalan. Itulah puncanya jangkitan kulat terjadi.

Selain itu, tahap daya ketahanan tubuh bayi yang masih tidak berkembang sepenuhnya, turut boleh mengakibatkan berlakunya jangkitan.

kandidiasis mulut
sumber @ www.nhs.uk

Punca jangkitan lain

Pertumbuhan kulat Candida yang berlebihan juga boleh mengakibatkan wujudnya masalah ruam lampin dan jangkitan yis faraj.

Bayi mempunyai risiko untuk mengalami kandidiasis mulut dan ruam lampin dalam masa yang sama.

Tekanan juga boleh menjadi punca kepada jangkitan ini. Bahkan, beberapa masalah kesihatan seperti diabetes tidak terkawal, jangkitan HIV dan kanser turut boleh menjadi puncanya.

Sekiranya anda seorang perokok atau memakai gigi palsu yang tidak sesuai dengan keadaan mulut, ia juga boleh meningkatkan kecenderungan untuk mengalami jangkitan kulat ini.

Bayi juga boleh menyebarkan jangkitan kepada ibu mereka ketika sesi penyusuan badan.

Tanda dan simptom kandidiasis mulut pada bayi

Jangkitan yang kerap berlaku kepada bayi di bawah usia 6 bulan ini boleh dikenal pasti dengan wujudnya tompok-tompok putih.

Pun begitu, bagi sesetengah bayi, tompokan putih itu mungkin kerana sisa susu yang tertinggal pada lidah bayi setelah sesi penyusuan. Tetapi umumnya, ia akan larut dalam tempoh masa 1 jam.

Bayi dengan kandidiasis mulut akan mengalami kulit merekah pada bahagian tepi mulut atau tompokan putih di bibir, lidah, atau dalam pipi yang kelihatan seperti keju kotej dan tidak boleh dilap (disingkirkan).

jangkitan kulat candida
sumber @ www.nhs.uk

Kandidiasis mulut atau sisa susu?

Jadi untuk mengetahui sama ada tompokan putih itu adalah berpunca daripada jangkitan kulat mahupun sisa susu, ibu perlu cuba mengelapnya secara lembut menggunakan jari yang dibaluti kain basah.

Sekiranya lidah si manja kembali kepada warna merah jambu dan kelihatan sihat setelah dilap, maka tiada rawatan lanjut diperlukan.

Tetapi sekiranya tompokan itu tidak dapat dikeluarkan dengan mudah, atau mungkin dapat dilap, namun kelihatan tompokan merah di bawahnya, berkemungkinan jangkitan. Jadi, lakukan pemeriksaan doktor dengan segera.

Jangkitan kulat yang terjadi mungkin akan menyebabkan sesetengah bayi berdepan ketidakselesaan atau rasa sakit apabila menyusu.

Walau bagaimanapun, ada juga si kecil yang tidak berasa sakit atau mengalami sebarang masalah ketidakselesaan.

Bayi yang meragam ketika menyusu atau menghisap puting kosong mungkin petanda mereka mengalami kandidiasis mulut.

Bagaimana merawat jangkitan kulat?

Perkara utama yang perlu anda lakukan jika berasakan si kecil mungkin mengalami jangkitan mulut ini adalah untuk melakukan pemeriksaan doktor.

Ada kes jangkitan yang hilang dengan sendiri tanpa rawatan dalam tempoh 1 atau 2 minggu. Pun begitu, untuk membantu merawat keadaan ini, doktor mungkin memberikan preskripsi larutan antikulat untuk mulut si manja.

Bergantung kepada usia si kecil, doktor juga berkemungkinan akan mencadangkan untuk menambah yogurt dengan lactobacili ke dalam diet makanan anak.

Lactobacili adalah bakteria baik yang dapat membantu menghilangkan yis di dalam mulut anak anda.

Jika anak kerap mendapat jangkitan kulat pada mulut, terutamanya apabila berusia lebih 9 bulan, dapatkan rundingan dengan doktor kerana ia mungkin didasari oleh masalah kesihatan lain.

Mencegah jangkitan pada mulut

Kandidiasis mulut adalah jangkitan biasa pada bayi, tetapi anda boleh mencegahnya dengan:

jangkitan yis

  • Penjagaan botol susu dan puting

Sekiranya anda memberi susu formula kepada bayi atau puting kosong, bersihkan puting dengan air panas selepas setiap penggunaan.

Dengan cara itu, jika ada yis pada puting botol atau puting kosong, bayi anda tidak akan dijangkiti semula. Simpan susu dan botol di dalam peti sejuk untuk mencegah pembiakan yis.

  • Ubat salap antikulat

Jika anda melakukan penyusuan eksklusif dan puting berasa sakit serta berwarna merah, ia mungkin petanda jangkitan yis pada puting.

Ia boleh berlaku penularan bolak-balik antara anda dan si kecil.

Lakukan pemeriksaan doktor. Anda mungkin diberikan ubat sapuan antikulat untuk diletakkan pada puting.

Satu keadaan biasa

Jangkitan kulat bukan 1 keadaan berbahaya tetapi boleh menyebabkan ketidakselesaan pada si manja dan diri anda sendiri.

Rasa sakit tersebut boleh mengakibatkan waktu penyusuan menjadi perkara yang mendatangkan trauma.

Sebaiknya, lakukan pemeriksaan jika mengesan sebarang simptom kandidiasis mulut.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Gambar penulis
Maklumat perubatan disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
Ditulis oleh Asyikin Md Isa
Disemak pada 04/01/2021
x