Ibu Hamil Selalu Rasa Nak Terkucil? Ini Ada Cara Untuk Atasinya, Cubalah!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 6 hari lalu

    Ibu Hamil Selalu Rasa Nak Terkucil? Ini Ada Cara Untuk Atasinya, Cubalah!

    Betul ke kerap kencing tanda hamil? Tetapi kenapa ia berlaku dan adakah cara yang boleh dicuba untuk mengatasi keadaan tersebut? Teruskan pembacaan untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.

    Kerap kencing tanda hamil

    Peningkatan kekerapan membuang air kecil ini merupakan tanda awal kehamilan biasa. Ia berlaku disebabkan tahap hormon progesteron dan human chorionic gonadotropin (hCG) yang meningkat.

    Adakah kerap kencing tanda hamil hanya berlaku pada awal kehamilan?

    Jawapannya tidak. Ini kerana ia juga boleh berkembang pada fasa kehamilan seterusnya apabila rahim dan bayi dalam kandungan membesar – sekali gus mewujudkan tekanan pada pundi kencing.

    Walaupun ia adalah keadaan normal untuk dialami semasa mengandung, tetapi jika ia disertai dengan rasa sensasi terbakar semasa kencing, anda harus mendapatkan rawatan perubatan segera. Ini kerana ia boleh menjadi tanda jangkitan saluran kencing (UTI).

    Gejala lain boleh termasuk sakit belakang atau peningkatan mendadak keperluan untuk kencing dalam tempoh singkat.

    kerap kencing tanda hamil

    Bilakah keadaan ini akan bermula?

    Oleh sebab peningkatan kekerapan kencing ini merupakan antara tanda awal kehamilan, maka ia boleh bermula seawal beberapa minggu pertama selepas persenyawaan berlaku.

    Pun begitu, kebanyakan bakal ibu mula mengalami keadaan ini dalam minggu ke-10 hingga 13 – apabila rahim mula menekan pundi kencing.

    Punca

    Selepas penempelan embrio di dalam rahim, badan menghasilkan progesteron dan hCG – kedua-duanya merupakan hormon kehamilan yang boleh menjadi faktor anda kerap kencing.

    Semasa berbadan dua, bekalan darah dalam badan meningkat untuk menyokong tumbesaran janin.

    Amnya, dianggarkan 20-25% darah dalam badan akan ditapis melalui buah pinggang dan akan disingkirkan sebagai sisa atau air kencing.

    Semakin banyak darah yang dihasilkan oleh tubuh, maka buah pinggang perlu bekerja keras untuk menyingkirkan lebihan cecair.

    Tekanan juga merupakan antara faktor penyumbang kepada keadaan ini. Apabila rahim membesar, ia akan menolak pundi kencing, uretra dan otot lantai pelvis – kesannya, berlaku peningkatan keinginan untuk membuang air kecil.

    Berapa lama ia berlangsung?

    Semasa hamil, bilangan kekerapan ini bergantung kepada ‘keadaan normal’ individu. Contohnya, jika biasanya anda pergi ke tandas 8x sehari, maka ketika mengandung, ia boleh meningkat kepada 10x sehari.

    Kekerapan kencing berkaitan kehamilan mungkin berkurangan pada trimester kedua tetapi akan kembali kerap menjelang minggu-minggu akhir kehamilan.

    Berita baiknya, keadaan ini biasanya akan hilang sebaik sahaja bayi dilahirkan.

    kerap kencing tanda hamil

    Cara menangani masalah kerap kencing tanda hamil

    Senaman lantai pelvis atau turut dikenali sebagai senaman Kegel, boleh membantu menguatkan otot pelvis dan uretra serta menyokong pundi kencing.

    Mengamalkan senaman ini semasa mengandung dipercayai boleh membantu mengawal semula aliran air kencing anda.

    Umumnya, senaman kegel ini selamat dilakukan semasa mengandung dan selepas bersalin.

    Sebelum melakukan senaman ini, anda disarankan untuk mengosongkan pundi kencing terlebih dahulu dan kemudian lakukan langkah berikut:

    1. Rehatkan perut, dada, paha dan punggung.
    2. Ketatkan otot lantai pelvis dan tahan selama 5 hingga 10 saat.
    3. Rehatkan otot selama 5 hingga 10 saat.
    4. Ulangi langkah 1-3, untuk 10x.

    Baca juga:

    National Association for Continence (NAFC) mengesyorkan senaman tersebut dilakukan tiga kali sehari.

    Walaupun mengalami kekerapan kencing ketika hamil, namun anda masih harus kekal terhidrat dengan meminum 8 hingga 12 cawan air setiap hari.

    Berikut beberapa petua yang boleh dilakukan untuk mengawal kekerapan ke tandas, seperti:

    • Mengurangkan pengambilan cecair sebelum tidur
    • Mengelakkan minuman berkafein
    • Condong ke hadapan semasa membuang air kecil
    • Membuat catatan kekerapan ke tandas

    Kesimpulan

    Peningkatan kekerapan kencing adalah sebahagian daripada gejala kehamilan dan biasanya akan pulih selepas bersalin.

    Pun begitu dalam sesetengah wanita, ada juga yang berterusan mengalami gejala ini sehingga enam minggu selepas melahirkan anak.

    Suka diingatkan walaupun kerap kencing tanda hamil ini adalah keadaan biasa, namun jika ia disertai dengan rasa sakit semasa membuang air kecil atau berterusan selepas beranak, berjumpalah dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut.

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 6 hari lalu

    Iklan
    Iklan
    Iklan
    Iklan