“Ibu, janganlah makan sembarangan ikut nafsu mengidam. Kelak saya yang tanggung akibatnya,” Bayangkan jika anda dapat dengar keluhan bayi anda, pasti anda tidak sampai hati kan? Diet ibu hamil memang penuh dengan pantang-larang kerana makanan diambil bukan saja untuk anda, tetapi juga si kecil.
Segala apa yang anda makan, semuanya akan mempengaruhi perkembangan bayi anda. Jadi, berhati-hatilah ketika memilih walaupun jenis ikan sekalipun.
Eh, takkan ikan pun kena pilih? Mestilah ibu, dan artikel ini akan menghuraikan sebab dan jenis ikan yang berbahaya untuk kandungan anda!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan sila dapatkannya di sini.
Makanan laut dalam diet ibu hamil, perlu ke?
Makanan laut merangkumi ikan dan kerang-kerangan kaya dengan sumber protein, zat besi dan zink. Nutrien ini penting untuk perkembangan bayi anda.
Asid Omega-3 termasuk asid dokosaheksaenoik (DHA) boleh didapati dalam banyak jenis ikan dan ia mendorong pembentukan dan perkembangan otak si kecil, jadi baik untuk dimasukkan dalam rutin diet ibu hamil.
Namun, terdapat beberapa jenis ikan pemangsa yang besar harus dielakkan oleh ibu hamil kerana mengandungi kadar merkuri yang tinggi.
Walaupun makanan laut yang mengandungi merkuri tidak merisaukan orang dewasa, namun berhati-hatilah jika anda merancang untuk hamil atau sedang hamil.
Makanan hamil tidak seharusnya mempunyai kadar merkuri yang tinggi kerana ia boleh membantutkan perkembangan bayi anda.
Isu merkuri, bahaya ke untuk si kecil saya?
Merkuri ialah sejenis logam yang boleh dijumpai secara semula jadi dalam persekitaran. Namun, kadar merkuri semakin tinggi dek kerana pencemaran oleh industri-industri yang berkembang pesat dan menjejaskan makanan laut.
Kajian mendedahkan merkuri yang tinggi dalam diet ibu hamil boleh memberi kesan negatif kepada bayi anda walaupun ibu tidak menunjukkan simptom.