Keperluan nutrisi mikro seperti vitamin dan mineral yang lain akan meningkat semasa hamil. Jadi wujud keperluan untuk mengambil vitamin untuk ibu mengandung.
Vitamin dan mineral seperti magnesium, adalah sangat penting untuk menyokong fungsi kritikal sel seperti tumbesaran sel dan pengisyaratan sel janin dalam kandungan si ibu.
Namun, ibu hamil kena hati-hati kerana tidak semua vitamin boleh diambil ya!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.
Vitamin untuk ibu mengandung yang selamat diambil
#1. Vitamin pranatal
Ini merupakan sejenis vitamin yang direka khas untuk memenuhi keperluan nutrisi ibu semasa hamil.
Ia kebiasaannya dipreskripsikan kepada wanita yang merancang untuk mengandung, sedang mengandung atau sedang menyusukan anak.
Vitamin pranatal merupakan vitamin untuk ibu hamil yang selamat diambil.
Kajian yang dijalankan oleh Universiti Pittsburgh pada tahun 2011 telah menunjukkan bahawa pengambilan vitamin pranatal secara berkala boleh mengurangkan insiden kelahiran pramatang dan kelahiran bayi dengan berat badan rendah.
Ia juga mampu merendahkan risiko untuk mendapat preeklampsia terutamanya dalam kalangan wanita yang kurus.
Vitamin pranatal mengandungi pelbagai jenis mineral dan nutrisi mikro penting kalsium, asid folik, zat besi, vitamin A, vitamin C dan sebagainya.
Jika anda ingin mengambil suplemen vitamin tambahan, anda perlu merujuk kepada doktor terlebih dahulu.
Ini kerana pengambilan sesuatu nutrisi mikro secara berlebihan tidak akan memberikan kebaikan tambahan malah kemudaratan.
Vitamin pranatal kebiasaannya akan dipreskripsikan oleh doktor atau anda boleh membelinya di farmasi berhampiran.
#2. Vitamin B9 (Asid folik), vitamin untuk ibu mengandung
Anda mesti pernah dinasihatkan untuk mengambil asid folik sebelum cuba untuk mengandung, kan?
Vitamin B9 amat penting bagi proses penghasilan DNA, sel darah merah dan menggalakkan tumbesaran bayi.
Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) telah menyarankan pengambilan sekurang-kurangnya 400 mcg asid folik bagi semua wanita setiap hari bagi menyokong keperluan nutrien jika berlaku kehamilan tidak dirancang.
Tanpa asid folik yang mencukupi, bayi anda terdedah untuk mendapat kecacatan tiub saraf(neural tube) menyebabkan tumbesaran otak dan saraf tunjang terganggu.
Kecacatan lain seperti gusi siung dan kecacatan jantung juga berisiko dialami oleh mereka yang kekurangan asid folik.
Kajian yang dijalankan pada tahun 2010 oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menunjukkan bahawa insiden kecacatan tiub saraf boleh dikurangkan melalui pengambilan asid folik.
Pengambilan suplemen tersebut perlu diambil sebulan sebelum anda cuba untuk hamil.
Ini berikutan proses penutupan tiub saraf berlaku pada bulan pertama kehamilan.
Kebanyakan individu tahu akan status kehamilan mereka pada minggu ke-6 kehamilan.
Tanpa suplementasi asid folik, risiko untuk bayi mengalami kecacatan tersebut tinggi.
#3. Vitamin D
Selain daripada menguatkan tulang, vitamin D juga berperanan dalam menguatkan sistem pertahanan badan dan membantu dalam proses pembahagian sel.
Saranan pengambilan vitamin tersebut bagi individu biasa adalah 600 IU.
Namun menurut pakar, dos keperluan untuk ibu mengandung adalah lebih tinggi.
Vitamin D merupakan antara vitamin untuk ibu mengandung yang penting bagi memastikan kesihatan ibu dan janin terjaga.
Kekurangan vitamin ini sering dikaitkan dengan masalah kelahiran pramatang, preeklampsia, diabetes gestasi dan peningkatan risiko untuk pembedahan cesarean (czer).
Berjumpalah dengan doktor anda bagi mendapatkan maklumat dan membuat ujian saringan berkaitan dengan vitamin D.
Jika anda tidak mendapatkan jumlah yang cukup untuk menampung keperluan harian, anda akan dipreskripsikan dengan vitamin tersebut.
Baca juga: