Benarkah wanita yang hanya memiliki satu tiub fallopio mempunyai peluang hamil yang rendah? Untuk mengetahui jawapannya, ikuti perkongsian artikel ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kehamilan, anda boleh klik di sini.
Fungsi tiub ini kepada wanita
Uterus atau rahim, dihubungkan ke ovari melalui sepasang tiub otot yang dikenali sebagai fallopian tube (tiub fallopian).
Setiap bulan semasa proses ovulasi, sebiji telur akan dilepaskan daripada ovari yang akan dikumpulkan oleh tiub tersebut.
Telur di dalam tiub fallopio akan disenyawakan oleh sperma (jika ada) untuk membentuk embrio, yang dalam masa 3 hingga 4 hari akan bergerak ke uterus agar berlakunya proses kehamilan.
Jika inginkan kehamilan semula jadi berlaku sewaktu ovulasi, ovum, fungsi tiub fallopian, rahim yang sihat dan sperma normal adalah prasyarat yang perlu dipenuhi.
Bagaimana terjadi satu tiub fallopio?
Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan punca mengapa seorang individu wanita mungkin mempunyai satu ovari dan satu tiub fallopio, seterusnya mempengaruhi kadar kehamilan.
Beberapa keadaan patologi boleh mempengaruhi 1 ovari dan/atau 1 tiub fallopian yang menyebabkan pembuangan ovari tunggal yang disebut sebagai unilateral oophorectomy.
Pembuangan 1 tiub pula dipanggil sebagai unilateral salphingectomy. Manakala penyingkiran kedua-duanya, ovari dan tiub fallopio pada 1 bahagian dikenali sebagai unilateral salphingo-oophorectomy.
Pembedahan atau pembuangan organ tersebut adalah untuk rawatan dan pencegahan bagi masalah seperti:
- Sista ovari menyebabkan kilasan (kilasan ovari)
- Bengkak bernanah (abscess) disebabkan jangkitan
- Pembedahan untuk kehamilan ektopik – kehamilan luar rahim
- Patologi pinggul yang memerlukan pembedahan dan pembuangan tiub
- Kadangkala, dilahirkan dengan 1 tiub fallopian dan 1 ovari
Peluang hamil masih terbuka buat anda?
Walaupun kebanyakan wanita dilahirkan dengan 2 tiub fallopian yang sihat dan berfungsi, pun begitu, masih terdapat peluang untuk bergelar ibu bagi mereka dengan 1 tiub sahaja.
Tetapi peluang kehamilan itu melibatkan andaian seperti:
- Anda perlu sekurang-kurangnya mempunyai 1 ovari yang sihat dan berfungsi (walaupun jarang berlaku, jika bernasib baik, tiub boleh bergerak dan tiub yang sihat adakalanya akan berpindah ke ovari bertentangan untuk mengambil telur matang)
- Tidak mengalami masalah tiub fallopio bengkak atau lain-lain
- Mengalami kedatangan haid yang berkala – setiap 21 hingga 35 hari atau lebih
Sekiranya anda sihat, berumur antara 20 hingga 34 tahun dan mempunyai kitaran haid yang tetap, anda masih mempunyai peluang hamil walaupun dengan hanya 1 tiub.
Hakikatnya anda mungkin tidak tahu bahawa anda kekurangan 1 tiub atau ia tidak berfungsi kerana besar kemungkinan tiada sebarang simptom yang berlaku.
Bahkan tiub yang tersumbat juga tidak mempunyai sebarang gejala kecuali jika tersumbat kerana cecair (hydrosalpinx), yang mungkin mengakibatkan rasa ketidakselesaan pelvis.
Peratusan untuk mengandung dengan satu tiub fallopio dan satu ovari turut bergantung kepada parameter kesuburan lain dan kesihatan pasangan secara keseluruhan.
Memahami kitaran haid
Wanita dengan hanya 1 tiub fallopian yang berfungsi perlu mengetahui kitaran haid secara tepat.
Ini kerana ia akan memberikan petunjuk lebih baik mengenai tempoh ovulasi, sehingga dapat melakukan hubungan seks dengan sewajarnya.
Jika berasakan tiub anda mungkin mempunyai masalah tetapi tidak begitu pasti, maka prosedur hysterosalpingogram (HSG) X-ray, boleh dilakukan bagi mendapatkan kepastian. Ujian laparoskopi juga boleh dilakukan.
Dapatkan rundingan dengan pakar sakit puan untuk mendapatkan pilihan prosedur yang bersesuaian.
Rawatan kesuburan bagi wanita dengan satu tiub fallopio
Pilihan rawatan akan bergantung kepada hasil pemeriksaan.
Tiub tersumbat biasanya diatasi melalui prosedur pembedahan dan anda mungkin tidak memerlukan rawatan kesuburan sama sekali.
Kuncinya adalah dengan mendapatkan pemeriksaan dan rundingan daripada doktor pakar untuk mengetahui keadaan dan rawatan yang bersesuaian.
Jika pembedahan bukan pilihan rawatan yang terbaik atau prosedurnya tidak berjaya, doktor akan memberikan pilihan rawatan kesuburan yang berkaitan.
Sekiranya ovulasi yang berlaku normal dan jumlah serta kualiti sperma pasangan anda sihat, mungkin pencetus daripada ubat kesuburan atau inseminasi intrauterin (IUI) dapat membantu.
Doktor akan mengesyorkan rawatan kesuburan in vitro (IVF) sebagai pilihan terbaik seandainya anda mengalami perkara di bawah:
- Hanya sebelah ovari dan/atau 1 tiub fallopian tidak berfungsi
- Tidak mengalami ovulasi seperti biasa
- Mempunyai pelbagai faktor ketidaksuburan dan/atau jumlah/kualiti sperma pasangan rendah
Rawatan kesuburan
Memiliki hanya satu tiub fallopio tidak bermakna peluang hamil anda tertutup sepenuhnya. Masih terdapat rawatan kesuburan yang boleh membantu mencerahkan peluang kehamilan anda.
Lakukan pemeriksaan dan rundingan doktor, ini adalah pilihan yang tepat bagi mendapatkan jalan penyelesaian terbaik.
[embed-health-tool-due-date]