Bagi bakal ibu yang bakal melalui proses kelahiran cesarean, amat penting untuk anda mengetahui posisi tidur selepas bersalin pembedahan. Ini kerana ia dapat membantu anda berehat dan mempercepatkan proses penyembuhan parut czer.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.
Sukar tidur selepas pembedahan czer
Kenapa pentingnya untuk mengetahui posisi tidur selepas bersalin pembedahan, ya?
Ia adalah keadaan biasa selepas kelahiran bayi untuk ibu bapa sukar mendapatkan rehat secukupnya. Puncanya jelas kerana kalian sedang menyesuaikan diri dengan kehadiran dan keperluan si manja yang kerap bangun untuk menyusu.
Tetapi sebab lain ibu baharu sukar tidur adalah kerana anda sedang dalam proses penyembuhan parut pembedahan czer.
Kaedah cesarean, mungkin dianggap sebagai prosedur harian biasa. Namun ia salah, kerana czer merupakan prosedur pembedahan besar melibatkan potongan ke dalam perut dan rahim.
Disebabkan luka pembedahan berada di atas perut, keadaan itu sekali gus menyukarkan ibu untuk mencari kedudukan selesa tanpa memberikan tekanan kepada parut czer, terutamanya ketika tidur.
Baca juga:
Posisi tidur selepas bersalin pembedahan yang selesa
Secara amnya, tidak ada jawapan tepat untuk menentukan posisi tidur yang menyelesakan buat ibu. Ia memerlukan sesi try and error untuk mendapatkan kedudukan yang membolehkan anda berehat tanpa berasa sakit.
Amat penting untuk berhati-hati semasa mengubah posisi dan memastikan anda tidak menekan atau terlalu memaksa diri untuk duduk atau bangun daripada katil.
Matlamat utama adalah untuk membolehkan anda berehat dengan selesa dan mengurangkan sebarang tekanan pada bekas pembedahan.
Jangan lupa untuk meletakkan si comel sedang tidur dalam katil yang berdekatan bagi membantu meredakan kebimbangan anda. Dalam masa sama, ia membolehkan mereka tidur dengan selamat dalam pemerhatian anda.
Menurut American Academy of Pediatrics (AAP) tempat paling selamat untuk bayi tidur adalah di katil berasingan yang direka khas buat mereka dan berhampiran katil ibu bapa.
Tidur menelentang
Umumnya, posisi tidur terlentang semasa mengandung sangat tidak disarankan, khususnya semasa kehamilan berusia 20 minggu ke atas. Namun, posisi ini amat disyorkan buat ibu yang sedang pulih daripada czer.
Ia meletakkan sedikit tekanan dan ketegangan pada luka pembedahan dan memastikan badan diselaraskan dalam kedudukan neutral.
Untuk menjadikan kedudukan ini lebih selesa, anda boleh menambah bantal, selimut atau tuala yang digulungkan di bawah lutut atau lengan.
Walau bagaimanapun, dalam posisi ini, anda perlu lebih berhati-hati tentang cara bangun daripada katil.
Elakkan daripada terus duduk secara menegak. Sebaliknya gunakan kaedah 3-langkah ‘log roll’ ini:
- Sebelum mengalihkan kaki daripada katil, tukar posisi terlentang kepada mengiring ke sisi sepenuhnya anda dengan lutut dibengkokkan.
- Dengan menggunakan lengan, perlahan-lahan tolak badan ke dalam posisi duduk — pastikan perut anda sentiasa santai semasa bergerak.
- Pastikan anda berada dalam kedudukan duduk tegak sepenuhnya sebelum berdiri.
Anda juga perlu menggunakan kaedah 3-langkah ‘log roll’ secara terbalik untuk berbaring di atas katil.
Posisi tidur selepas bersalin pembedahan #Terlentang condong 45 darjah
Dalam senario ini, anda menggunakan bantal sokongan yang mencukupi untuk membolehkan diri condong 45 darjah di atas katil.
Ia mungkin posisi pelik jika anda tidak biasa tidur dengan cara ini. Tetapi kalian mungkin akan mendapati posisi ini agak menyelesakan semasa tempoh pemulihan.
Di samping itu, ia adalah satu keadaan biasa untuk ibu baharu mengalami apnea tidur obstruktif selepas bersalin. Namun keadaan ini lebih cenderung terjadi buat mereka yang menjalani pembedahan czer.
Tidur dalam posisi condong akan mengurangkan tekanan pada luka pembedahan dan memastikan saluran pernafasan terbuka dan tidak terhalang.
Tidur duduk menegak
Pernah tak anda tertidur di depan televisyen semasa menonton rancangan kegemaran? Pastinya pernah, walaupun sekali, betul tak?
Umumnya kedudukan ini, walaupun mungkin tidak selesa seperti berbaring di atas katil, boleh menjadi satu pilihan posisi tidur selepas bersalin pembedahan, terutamanya pada beberapa hari pertama.
Anda boleh mendapatkan beberapa bantal sokongan yang gebu untuk menjadikan posisi tidur menegak ini menjadi selesa.
Bagi mereka yang melakukan penyusuan eksklusif, tidur menegak memudahkan kalian menyusukan si kecil, khususnya jika sesi penyusuan menjadi lebih kerap pada waktu malam.
Namun harus diingat bahawa posisi ini bukan penyelesaian jangka panjang. Sebaiknya selepas tempoh 2 minggu, anda disarankan untuk tidur di atas katil seperti biasa.
Mengiring, salah satu posisi tidur selepas bersalin pembedahan
Bagi sesetengah individu, selain tidur terlentang, posisi mengiring adalah kedudukan kedua paling menyelesakan.
Buat mereka yang menjalani pembedahan perut, ini adalah pilihan terbaik kerana ia tidak memberikan sebarang tekanan tambahan pada parut pembedahan. Di samping itu, ia juga memudahkan anda untuk naik dan turun katil.
Secara khususnya, anda harus fokus untuk tidur mengiring ke kiri kerana ini memberikan aliran darah optimum dan memudahkan penghadaman.
Anda mungkin memerlukan badan atau alat bantuan sokongan lain untuk memberikan keselesaan dan sokongan yang betul pada bahagian perut dan pinggul.
Jika anda masih tidak selesa, berbincanglah dengan doktor tentang pilihan cara dan posisi tidur selepas bersalin pembedahan yang terbaik. Ini penting bagi membantu anda mendapatkan tidur lebih lena dan mempercepatkan proses pemulihan.
[embed-health-tool-ovulation]