backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

11

Tanya Doktor
Simpan

Terpaksa Gugurkan Kandungan Atas Sebab Kesihatan? Ini Cara Yang Selamat

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 08/11/2023

    Terpaksa Gugurkan Kandungan Atas Sebab Kesihatan? Ini Cara Yang Selamat

    Kehadiran zuriat pastinya merupakan antara detik yang dinantikan setiap pasangan. Namun bagaimana jika ibu hamil perlu gugurkan kandungan atas faktor kesihatan? Mari ketahui kaedah pengguguran janin.

    Apa kaedah pengguguran janin sesuai jika terpaksa gugurkan kandungan?

    Percayalah, keputusan untuk menggugurkan kandungan bukanlah satu perkara mudah untuk dilakukan. Apatah lagi jika ia merupakan perkara yang ditunggu-tunggu sekian lama.

    Walau bagaimanapun, sekiranya kehamilan tersebut akan memberikan kemudaratan kepada ibu dan kandungan, maka keputusan gugurkan kandungan adalah yang terbaik.

    Kaedah pengguguran janin

    Umumnya, terdapat dua kaedah pengguguran janin melalui prosedur perubatan, iaitu: 

    1. Ubat penggugur kandungan

    Sekiranya usia kandungan pada peringkat awal trimester pertama (dalam tempoh 12 minggu pertama kehamilan), pengambilan ubat untuk menggugurkan kandungan pastinya merupakan pilihan utama. 

    Pengambilan ubat ini perlu diambil pada dos yang tepat mengikut arahan doktor. Ia dianggarkan dapat berfungsi secara tepat sehingga 97% untuk membantu menggugurkan kandungan anda dengan selamat.

    Terdapat dua pilihan ubat yang akan dipreskripsikan oleh doktor untuk membantu proses dan kaedah pengguguran janin ini, iaitu:

    • Mifepristone (Korlym)
    • Misoprostol (Cytotec)

    kaedah pengguguran janin

    Ia berfungsi untuk menghalang tindakan hormon progesteron –  diperlukan oleh embrio untuk proses tumbesaran dan perkembangan janin.

    Pengambilan ubat ini juga dikatakan akan mencetuskan kontraksi dalam rahim dan menolak tisu embrio. 

    Pengambilan ubat mifepristone dan misoprostol boleh diambil melalui dua cara, sama ada secara oral atau dimasukkan ke dalam vagina.

    Kesan pengambilan ubat ini boleh dilihat dalam tempoh beberapa jam selepas makan atau selepas memasukkannya ke dalam vagina

    Individu tersebut akan mengalami kekejangan perut dan pendarahan yang teruk.

    Keadaan ini akan berlanjutan untuk tempoh masa tiga hingga empat hari bagi membolehkan semua tisu embiro untuk keluar sepenuhnya dari badan anda. 

    Sekiranya pendarahan yang berlaku terlalu banyak dan serius, sehingga memerlukan anda untuk menukar lebih daripada dua tuala wanita dalam tempoh satu jam, sila hubungi doktor anda dengan kadar yang segera. 

    Jika anda mengalami demam atau simptom seperti selesema yang berpanjangan untuk tempoh lebih daripada satu hari, lakukan pemeriksaan doktor dengan segera.

    Walau bagaimanapun, tidak semua wanita hamil boleh menggunakan kaedah ini untuk menggugurkan kandungan mereka. Ini termasuklah mereka yang:

    • Mempunyai alahan terhadap ubatan tersebut
    • Mempunyai kehamilan luar rahim (kehamilan ektopik)
    • Mempunyai masalah pendarahan atau mengambil ubat pencair darah
    • Mempunyai masalah kesihatan berkaitan hati, buah pinggang atau paru-paru
    • Menggunakan IUD (alat pencegah kehamilan)
    • Mengambil ubat kortikosteroid untuk tempoh yang lama

    2. Kaedah pengguguran janin melalui prosedur pembedahan

    Prosedur pembedahan bagi melakukan pengguguran sebenarnya akan bergantung kepada usia kehamilan anda. Sekiranya kehamilan anda pada trimester pertama, anda berkemungkinan besar akan menjalani prosedur aspirasi vakum (vacuum / suction aspiration).

    Jika kandungan anda sudah berada pada trimester kedua, iaitu usia kandungan lebih daripada 13 minggu kehamilan, anda mungkin akan menjalani prosedur dilation dan extraction (D&X).

    Aspirasi vakum

    Memakan masa selama 10 minit. Untuk melakukan prosedur ini, doktor akan meminta anda berbaring di atas katil khas yang membolehkan anda membengkokkan lutut.

    1 alat peranti yang dipanggil spekulum akan dimasukkan ke dalam faraj anda. Alat ini berfungsi untuk memperluaskan vagina bagi membolehkan doktor untuk melihat serviks. 

    Antiseptik akan disapu pada bahagian vagina dan serviks. Selepas itu doktor akan menyuntik anestetik (ubat bius) ke dalam serviks dan memasukkan tiub kecil yang disambungkan dengan mesin sedutan (vakum) ke dalam rahim anda.

    Kandungan rahim anda akan dibersihkan.

    Berbanding kaedah pengguguran lain, prosedur aspirasi vakum ini dianggap tidak terlalu menyakitkan. Anda mungkin akan berasa kekejangan perut kerana rahim akan mengalami kontraksi apabila tisu dikeluarkan. 

    Individu dengan masalah gangguan pembekuan darah, keadaan rahim tidak normal dan mempunyai jangkitan pelvis, tidak digalakkan untuk melakukan prosedur ini. 

    Kaedah pengguguran janin Dilation dan Extraction (D&X)

    Sesuai dilakukan apabila usia kandungan memasuki trimester kedua dan rahim akan mempunyai masalah yang serius.

    D&X merupakan prosedur yang menggabungkan prosedur aspirasi vakum, forsep (alat pengepit khas) dan curette.

    kaedah pengguguran janin

    Hari pertama, doktor akan melakukan prosedur pembesaran serviks. Ia untuk memudahkan proses mengeluarkan tisu kehamilan.

    Hari kedua, forsep akan digunakan untuk mengeluarkan janin dan plasenta. Alat seperti sudu yang dipanggil curette untuk mengikis lapisan rahim turut digunakan. 

    Prosedur D&X dianggap prosedur yang menyakitkan. Doktor akan memberikan ubat bagi mengurangkan kesakitan.

    Prosedur ini biasanya dibuat apabila terdapat masalah serius pada ibu dan kandungan mencecah usia lebih daripada 21 minggu. Secara umumnya, prosedur ini melibatkan proses pembedahan mengeluarkan janin

    Akhir kata

    Sekiranya anda mempunyai kandungan yang bermasalah dan boleh memudaratkan kesihatan anda, berbincanglah dengan pasangan anda. 

    Jika terdapat sebarang keraguan atau kebimbangan, dapatkan rundingan dan nasihat daripada doktor sebelum membuat sebarang keputusan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 08/11/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan