
Wanita mengandung sememangnya perlu makan buah-buahan dalam kuantiti yang banyak untuk mendapatkan antioksida, mineral, vitamin dan serat yang mencukupi.
Walaupun semua jenis buah-buahan mempunyai kandungan nutrisinya yang tersendiri, terdapat juga buah-buahan spesifik yang lebih sesuai untuk dimakan oleh ibu hamil.
Tetapi apakah buah-buahan tersebut?
Buah untuk ibu hamil
Berikut merupakan 4 jenis buah-buahan tersebut:
#1. Buah-buahan yang kaya dengan vitamin C
Vitamin C atau asid askorbik merupakan nutrien yang paling penting untuk tubuh badan manusia.
Vitamin jenis ini berfungsi untuk proses penyembuhan, pelindungan daripada bahan kimia dan radikal bebas serta melindungi dan merawat selsema yang biasa dengan meningkatkan sistem imun individu.
Ia juga merupakan elemen yang penting bagi tujuan penyerapan dan biosintesis nutrien lain yang juga penting untuk tubuh badan manusia iaitu zat besi, vitamin A, vitamin E dan kolagen.
Tidak seperti haiwan, tubuh badan manusia tidak mampu untuk menghasilkan sendiri vitamin C. Oleh itu, ibu hamil perlu mengambil buah-buahan yang kaya dengan vitamin jenis ini seperti:
- Buah sitrus: oren, limau, lemon, pomelo, limau gedang, limau mandarin
- Buah beri: strawberi, beri biru, beri hitam, beri acai, ceri, kiwi
- Jambu batu
- Tembikai susu, melon
#2. Buah-buahan yang kaya dengan potasium
Potasium merupakan salah satu daripada mineral makro yang sangat penting dalam memastikan tubuh badan manusia mempunyai tenaga otot, kandungan air dan elektrolit yang mencukupi.
Mineral jenis ini juga membantu individu menyeimbangkan tahap metabolisme dan tekanan darah selain menguatkan sistem saraf.
Selain itu, pengambilan potasium dalam kuantiti yang mencukupi juga dapat mengurangkan risiko ibu hamil mengalami kekejangan kaki.
Potasium tidak sukar untuk ditemui, mineral jenis ini terdapat dalam banyak buah-buahan seperti:
- Stone fruits: aprikot, pic, plum, nektar
- Avokado
- Pisang
- Kiwi
- Jambu batu
- Buah markisa
#3. Buah-buahan yang tinggi beta-karotena
Beta-karotena merupakan pelopor kepada vitamin A yang merupakan nutrien yang bagus untuk penglihatan dan kulit yang sihat, fungsi otot dan sendi serta meningkatkan sel-sel reproduktif dalam tubuh badan manusia.
Beta-karotena juga merupakan antioksida yang sangat kuat dalam membantu tubuh badan manusia melawan radikal bebas yang sering berlaku apabila meningkat usia.
Beta-karotena terdapat di dalam buah-buahan yang mempunyai warna seakan-akan merah, oren dan kuning seperti:
- Mangga
- Aprikot
- Betik
- Melon
- Pisang kaki
#4. Buah-buahan yang kaya dengan folat
Folat atau asid folik adalah kompenen vitamin B yang berfungsi mencipta, membaiki serta membuat DNA berfungsi. Selain itu, folat juga berfungsi sebagai anti-depressant semulajadi yang selamat serta mampu mencegah diabetes.
Folat sangat penting untuk ibu hamil kerana kekurangan pengambilan nutrisi ini seringkali dikaitkan dengan kondisi neural tube defect (NTD) kepada bayi dalam kandungan.
Kekurangan pengambilan folat juga mampu mengakibatkan bayi dalam kandungan mengalami bibir sumbing dan beberapa penyakit berkaitan jantung.
Selain itu juga, kekurangan nutrisi ini akan mengakibatkan ibu hamil menghidapi praeklampsia.
Asid folik terdapat di dalam buah-buahan yang berikut:
- Buah sitrus: oren, limau gedang
- Betik
- Anggur
- Strawberi, raspberry
- Pisang
Menjaga pemakanan wanita mengandung
Umumnya, seorang wanita mengandung perlulah menjaga diet pemakanan harian. Ia bukan sahaja penting untuk memastikan keperluan nutrisi ibu dipenuhi tetapi dalam masa yang sama demi tumbesaran janin.
Selain pemakanan, ibu hamil juga disarankan untuk melakukan senaman bagi memastikan tahap kesihatan kekal optimum.
Jika terdapat sebarang kemusykilan berkaitan pemakanan yang sesuai semasa hamil, dapatkan nasihat dan rundingan daripada doktor bertauliah untuk membantu anda, okay?
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Baca juga:
- Ibu Hamil, Bukan Semua Ikan Boleh Makan Tau! Jangan Ambil 6 Jenis Ikan Ini, Bahaya!
- Anda Hamil & Alami Diabetes? AWAS! Ada Makanan Patut DIELAKKAN, Pilih Betul-Betul Ya!
- Jangan Tertipu, Ibu Hamil! 7 Makanan Yang Disangka Sihat Ini Tinggi Kandungan Gula, Ya!
- Mengidam Nak Makan Lemon Masam Masa Mengandung? – Ini Pro & Kontra Bakal Ibu Kena Tahu!
- Nak Cegah Hamil Guna IUD Memang Boleh, Tapi Alert! Ada Risiko Mengandung Luar Rahim