Perancangan mendapat cahaya mata adalah keputusan besar yang perlu dilakukan oleh setiap orang dewasa. Sekiranya anda dan pasangan berusaha melakukan seks tanpa perlindungan, kerap melakukan seks dalam tempoh 6 bulan sehingga bertahun-tahun, tetapi masih belum berpeluang untuk mendapatkan keputusan positif pada kit kehamilan, ini mungkin bermakna terdapat beberapa masalah dengan tubuh anda, yang menjurus kepada ketidaksuburan. Pelbagai keadaan kesihatan juga boleh membuatkan anda sukar hamil. Menerusi artikel ini, anda akan dapat mengenali beberapa tanda lazim yang menunjukkan tubuh anda masih belum sedia untuk hamil.
Tempoh haid anda tidak normal
Jika anda mengalami pendarahan haid yang lebih banyak berbanding normal, kitaran haid tidak teratur atau anda tidak haid berbulan-bulan, anda perlu tahu bahawa tanda-tanda ini mungkin menunjukkan yang anda berhadapan dengan beberapa masalah kesihatan yang menyebabkan ketidaksuburan. Tempoh haid yang tidak teratur, tiada haid, atau pendarahan luar biasa selalunya menunjukkan yang anda tidak mengalami ovulasi. Seperti yang anda tahu, tanpa ovulasi, anda tidak mungkin boleh hamil. Menurut statistik saintifik, tempoh haid yang tidak teratur dan tidak normal menyumbang kepada kira-kira separuh kes ketidaksuburan.