Diabetes gestasi adalah masalah kencing manis yang dialami wanita ketika hamil. Jom ketahui makanan yang harus dielakkan oleh ibu dengan kencing manis semasa mengandung.
Hati-hati, jangan pula anda salah makan ya!
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan kesihatan kulit, anda boleh klik di sini.
Masalah kencing manis semasa mengandung…
Diabetes semasa hamil atau turut dikenali sebagai Gestational Diabetes Mellitus (GDM) adalah penyakit diabetes yang berkembang semasa tempoh kehamilan.
Diabetes gestasi ini didefinisikan sebagai gula dalam darah tinggi yang berkembang semasa atau pertama kali dikenal pasti ketika mengandung.
Semasa tempoh kehamilan, cara badan anda menggunakan insulin akan mengalami perubahan.
Insulin adalah hormon yang membolehkan sel menyerap dan menggunakan glukosa, atau gula untuk tenaga.
Kesan insulin akan terganggu sedikit disebabkan oleh pelbagai hormon yang dihasilkan oleh plasenta (organ yang membekalkan zat pemakanan kepada bayi melalui tali pusat). Ia dikenali sebagai rintangan insulin.
Bagi sesetengah wanita mengandung, badan berhenti bertindak balas terhadap insulin atau tidak menghasilkan hormon tersebut secukupnya untuk membekalkan glukosa yang diperlukan.
Jika ia berlaku, badan akan mempunyai terlalu banyak gula dalam darah dan keadaan itu secara tidak langsung mengakibatkan ibu mengalami kencing manis semasa mengandung.
Biasanya masalah diabetes gestasi akan pulih selepas melahirkan anak. Pun begitu, wujud risiko yang lebih tinggi untuk menghidap diabetes selepas bersalin.
Makanan perlu dielak jika alami kencing manis semasa mengandung
Terpaksa mengawal atau mengelakkan sesetengah makanan sememangnya tidak menyeronokkan. Apatah lagi jika ia makanan kegemaran anda seperti makanan segera.
Walau bagaimanapun, untuk kesihatan anda dan juga bayi, ibu terpaksa berkorban sedikit apabila disahkan menghidap kencing manis semasa mengandung.
Berikut adalah beberapa jenis makanan yang perlu dihindari:
- Makanan berproses
- Minuman beralkohol
- Makanan pastri seperti mufin, donut atau kek
- Makanan bergoreng
- Minuman bergula seperti soda, jus dan minuman manis
- Aiskrim
- Makanan diproses
- Makanan yang sangat berkanji seperti pasta putih, roti putih, nasi dan juga kentang
- Bijirin manis, bar granola manis dan oat manis
Mesti ada ibu hamil dengan kencing manis semasa mengandung mempersoalkan mengapa makanan yang dinyatakan di atas tidak boleh dimakan atau perlu dikurangkan pengambilannya.
Pastinya ada penjelasan buat ibu-ibu sekalian.
- Mengawal jumlah hidangan berkanji
Makanan berkanji yang diambil akan berubah menjadi glukosa. Disebabkan itu penting untuk tidak mengambilnya secara berlebihan atau ia akan meningkatkan jumlah glukosa yang tersimpan.
Bukan tidak boleh memakan makanan berkanji, boleh. Namun, anda harus pastikan ia dalam jumlah yang berpatutan, seperti 1 cawan kanji bagi setiap hidangan atau 2 keping roti putih.
- Secawan susu
Susu adalah minuman yang sihat dan sumber kalsium penting untuk badan. Namun, susu adalah jenis karbohidrat dalam bentuk cecair.
Oleh itu, pengambilan berlebihan atau terlalu banyak sekali gus oleh wanita yang menghidap kencing manis semasa mengandung boleh menyebabkan peningkatan gula dalam darah.
- Hadkan pengambilan buah-buahan
Buah adalah makanan sihat tetapi ia tinggi kandungan gula semula jadi.
Seorang ibu mengandung boleh memakan sehingga 3 hidangan buah setiap hari, tetapi disarankan untuk makan satu persatu dan bukan sekali gus.
Elakkan daripada memakan buah yang diproses dalam tin.
- Waktu bersarapan
Pada waktu pagi, kadar gula dalam darah sukar untuk dikawal disebabkan tahap naik turun normal kadar hormon.
Pun begitu, pengambilan bijirin halus, buah-buahan bahkan susu mungkin tidak boleh diterima dengan baik semasa sarapan pagi.
Jika kadar gula dalam darah meningkat terlalu banyak selepas bersarapan dengan makanan sebegitu, ia bermakna anda harus mengelakkan daripada mengambilnya pada waktu sarapan.
Biasanya, sarapan pagi yang mengandungi kanji serta protein adalah gabungan terbaik.
- Elakkan jus buah
Untuk menghasilkan segelas jus memerlukan beberapa biji buah. Umumnya, jus adalah sumber karbohidrat pekat.
Disebabkan ia dalam bentuk cecair, memakannya berisiko untuk menaikkan kadar gula dalam darah dengan cepat, sudah tentu tidak bagus untuk mereka dengan gestasi diabetes.
- Hadkan pencuci mulut dan makanan bergula
Tahap gula dalam darah akan meningkat apabila memakan makanan bergula, terutamanya yang telah diproses.
Wanita dengan diabetes gestasi perlu menghindari makanan atau minuman bergula sebanyak mungkin.
Kek, biskut, gula-gula dan pastri cenderung mengandungi karbohidrat dalam jumlah yang banyak.
Makanan daripada jenis ini mempunyai jumlah kandungan lemak yang tinggi dan kurang bernutrisi. Hindari juga minuman soda dan manis.
- Jauhi gula tambahan
JANGAN menambah gula, madu atau pemanis ke dalam makanan atau minuman anda.
Apabila sesuatu produk menyatakan ia “bebas gula”, sila semak kandungannya. Ini kerana produk sebegini selalu mengandungi sejumlah besar karbohidrat.
Contohnya, makanan yang diproses dan makanan segera.
Jurnal pemakanan untuk kawal kondisi bahaya ini
Sangat penting untuk wanita dengan kencing manis semasa mengandung tidak melangkau waktu makan.
Namun, elakkan untuk makan secara berlebihan sekali gus boleh menyebabkan peningkatan mendadak gula dalam darah.
Jika boleh, catatkan semua jenis dan jumlah makanan yang diambil bagi membantu memantau pengambilan karbohidrat setiap hari.
[embed-health-tool-due-date]