Sakit sembelit merupakan masalah yang biasa dialami dalam kalangan rakyat Malaysia.
Manakan tidak, lihat sahajalah pada cara pemakanan kita.
Sarapan pun dimulakan dengan makan nasi lemak. Pada waktu tengah hari pula, ramai yang makan nasi berlaukkan ayam. Ini tidak termasuk lagi menu makan malam.
Kita makan terlampau banyak nasi dan kurang sayur. Amalan pemakanan yang kurang serat sebegini akan menyebabkan najis menjadi keras dan kering.
Ini akan menyebabkan anda terkena sembelit dan sukar untuk membuang air besar.
Masalah sembelit pula selalunya memang disebabkan oleh pola pemakanan yang tidak sihat. Jika anda menghadapi sembelit, cuba makan lebih sayur-sayuran dan buah-buahan.
Tetapi, jika anda masih lagi sembelit, cuba lakukan senaman yoga.
Ya, yoga boleh membantu mengurangkan masalah sembelit!
Sebenarnya, yoga bukanlah sukar seperti apa yang anda sangka! Malah, ada gerakan yoga yang sangat simple dan mudah untuk diikuti.
Anda berminat? Jika ya, ikuti artikel kami berkenaan yoga dan bagaimana ia boleh mengurangkan rasa sakit sembelit yang anda sedang alami.
Yoga: Sebuah senaman yang menyatukan badan dan minda
Yoga merupakan senaman yang makin popular dan mendapat tempat di dalam hati anak muda zaman sekarang.
Senaman yang sering dikaitkan dengan meditasi ini bukan sahaja mampu memberikan rasa tenang dan damai kepada pengamalnya, malah yoga juga boleh buat anda lebih kuat dan lebih fleksibel.
Aktiviti regangan yang dilakukan semasa yoga selalunya diikuti pula dengan kawalan pernafasan.
Senaman yoga ini bukan sahaja baik untuk kesihatan fizikal, malah amat berfaedah untuk kesihatan mental anda.
Anda akan rasa lebih tenang, lebih bersemangat dan kurang rasa tertekan.
Sebenarnya, banyak rahsia yang tersimpan dalam amalan senaman berusia 5,000 tahun dari India ini.
Tapi, tahukah anda bahawa yoga juga boleh dilakukan untuk mengurangkan sembelit?
Anda mungkin berminat:
5 contoh senaman yoga untuk kurangkan sembelit
Posisi yoga 1: Posisi Bhujangasana (The cobra pose)
- Baring di atas tikar yoga anda.
- Cuba rileks dan regangkan kaki pada lantai.
- Perlahan-lahan, cuba tekan kaki anda pada lantai.
- Tarik nafas dan tolak bahagian atas badan anda ke atas.
- Jangan halakan semua tekanan pada pinggul anda.
- Cuba tahan posisi ini selama 30 saat sambil tarik nafas perlahan-lahan.
Kebaikan: Posisi ini dapat menguatkan otot pada bahagian perut anda. Posisi ini juga dipercayai dapat membantu membersihkan saluran perncernaan dan memberikan kelegaan ketika sembelit.
Posisi yoga 2: Posisi Pavanmuktasana (Wind relieving pose)
- Baring di atas tikar yoga anda.
- Lipat kaki kanan pada dada dan tahan posisi itu untuk beberapa saat.
- Kemudian, tukar pula dengan kaki kiri.
- Lakukan secara selang seli selama 30 saat.
Kebaikan: Posisi ini, seperti namanya, akan melancarkan pembuangan angin dari badan anda. Posisi yoga ini merupakan pose yang ideal untuk masalah sembelit dalam senaman yoga.
Posisi yoga 3: Posisi Halasana (The plough pose)
- Posisi ini agak sukar untuk orang yang baru hendak mencuba yoga.
- Cuba baringkan badan anda di atas tikar yoga.
- Perlahan-lahan, angkat kaki anda dan rapatkan pada dada anda.
- Cuba naikkan punggung anda dan tahan dengan bahagian belakang badan.
- Letakkan tangan anda pada sisi dan rendahkan kaki anda supaya mencecah lantai.
- Cuba tahan posisi ini selama 30 saat.
Kebaikan: Posisi ini bagus untuk menguatkan otot pada belakang badan. Selain itu, posisi yoga ini juga merangsang penggunaan otot pada abdomen yang akan membantu untuk memudahkan proses pencernaan.
Posisi yoga 4: Posisi Ardha Matsyendrasana (Sitting Half Spinal Twist)
- Duduk dengan meregangkan dua-dua belah kaki ke hadapan.
- Bengkokkan kaki kiri anda dan letakkan kaki tersebut pada lutut kanan.
- Letak tangan kanan pada kaki kiri seperti dalam gambar, dan tangan kiri pula di belakang badan anda.
- Pusingkan pinggang anda dan tegakkan belakang badan.
- Tarik nafas dan lepaskan secara perlahan-lahan.
- Ulang gerakan yang sama pada kaki kanan.
Kebaikan: Posisi yoga ini memberi stimulasi pada bahagian perut. Dipercayai juga dapat memudahkan proses pencernaan dan memberi kelegaan semasa sembelit.
Posisi yoga 5: Posisi Baddha Konasana (The butterfly pose)
- Duduk dalam keadaan tegak atas tikar yoga anda.
- Duduk seakan-akan bersila tetapi biarkan tumit anda bersentuhan.
- Tapak kaki anda perlu dirapatkan bersama.
- Genggam kedua-dua belah tapak kaki anda dengan tangan.
- Tarik nafas dan lepaskan.
- Cuba lakukan posisi ini selama 30 saat.
Kebaikan: Posisi ini tidak asing lagi bagi senaman yoga. Selain membantu anda untuk lebih tenang, posisi ini juga dapat memperbaiki aliran darah pada sekitar kawasan perut.
[embed-health-tool-heart-rate]