Nak Jaga Pesakit Kanser Bukan Sesuatu Yang Mudah, Penjagaan Hospis Ini Perlu Anda Tahu

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 17/09/2020 . 5 minit bacaan
Share now

Pesakit kanser yang berada pada saat-saat akhir kehidupan boleh memilih untuk melakukan jagaan hospis (hospice care) dan rawatan paliatif (paliative care) jika rawatan yang sedia ada tidak dapat membantu untuk memulihkan kanser yang dialami.

Penjagaan hospis (hospice care) dan paliatif (palliative care) untuk pesakit kanser

Penjagaan hospis diberikan dengan harapan pesakit dapat hidup dengan selesa hingga ke nafas yang terakhir. Rawatan yang diberikan ketika jagaan hospis bertujuan untuk merawat simptom sahaja dan bukan penyakit yang pesakit alami.

Walau bagaimanapun, pesakit yang menerima rawatan hospis bukan bermaksud mereka sudah berada di penghujung nyawa mereka. Walaupun doktor mungkin telah memberikan anggaran tertentu, masih ada pesakit yang boleh hidup lebih lama melepasi anggaran doktor.

Menerima rawatan hospis juga tidak bermakna pesakit sudah putus asa untuk merawat penyakit yang mereka alami. Rawatan yang diberikan mempunyai matlamat yang tertentu.

Pesakit boleh pilih untuk melalui sisa-sisa kehidupan mereka dengan selesa di dalam kalangan ahli keluarga ataupun teruskan menerima rawatan. Pilihan berada di dalam tangan pesakit.

Penjagaan hospis boleh diberikan di tempat lain selain di hospital. Sebagai contoh, jagaan ini boleh dilakukan di rumah dan juga di tempat lain yang menyediakan kemudahan yang sama.

Pesakit kanser akan menerima penjagaan paliatif jika mereka memilih untuk melakukan penjagaan hospis.

Rawatan atau penjagaan paliatif ialah sejenis rawatan yang akan diberikan untuk mengurangkan atau mengubati simptom yang terhasil akibat kanser.

Kedua-dua penjagaan hospis dan penjagaan paliatif bertujuan untuk memberikan pesakit kualiti hidup yang lebih baik walaupun kanser yang mereka alami sudah mencapai tahap yang kritikal.

Kedua-dua penjagaan ini mempunyai kesan tersendiri terhadap fizikal, emosi, mental dan juga spiritual individu.

Menjaga pesakit kanser: Apa yang anda perlu lakukan?

penjagaan hospis

Pesakit kanser selalunya mempunyai ahli keluarga yang memegang peranan sebagai penjaga. Ahli keluarga ini boleh terdiri daripada isteri, suami, ibu bapa ataupun anak yang sudah dewasa.

Penjaga ataupun caregiver merupakan individu yang bertanggungjawab untuk memberikan rawatan di rumah. Mereka juga akan bantu memandikan, menukar pakaian dan memberikan makanan kepada pesakit kanser.

Mereka juga mempunyai peranan sebagai peneman kepada pesakit kanser ketika mereka sedang menghampiri hari-hari akhir kehidupan.

Walau bagaimanapun, menjadi penjaga kepada pesakit kanser merupakan satu tugas yang amat berat dan memenatkan. Penjaga mungkin terpaksa berhenti kerja ataupun bersara awal untuk memenuhi tugas sebagai penjaga kepada pesakit kanser.

Penjaga kanser selalunya mendapat kepuasan ketika mereka menjaga insan yang mereka sayang. Perasaan inilah yang membuatkan penjaga rasa bersemangat untuk terus menjaga pesakit selama mana yang mereka perlukan.

Jika anda sedang menjaga seseorang yang anda sayang ketika mereka dibawah penjagaan hospis atau paliatif care , pastikan anda lakukan perkara berikut:

1.   Ingat bahawa menjaga pesakit kanser merupakan tugas berkumpulan

Jangan letakkan semua tanggungjawab di atas bahu anda. Penjaga kanser boleh mendapatkan pertolongan daripada pihak profesional dari hospital, ahli keluarga ataupun rakan-rakan untuk menguruskan keperluan pesakit kanser.

Mungkin ada antara ahli keluarga yang tidak dapat meluangkan masa untuk menjaga individu yang menghidap kanser. Namun, itu bukan bermaksud mereka tidak dapat menyumbang.

Mereka juga boleh menyumbang dari segi kewangan dan boleh memainkan peranan sebagai orang tengah antara pesakit dan juga doktor.

2.   Bersedia jika ada yang tidak sanggup membantu

Namun, jangan ambil hati jika ada di antara ahli keluarga yang tidak dapat membantu. Mungkin mereka mempunyai masalah sendiri yang anda tidak tahu. Mereka juga mungkin sibuk berkerja dan tidak mempunyai masa lebih untuk menjaga ahli keluarga yang sakit.

Selain itu, ada yang anggap tugas menjaga orang sakit sebagai tugas yang mudah. Mereka mungkin tidak tahu betapa sukarnya tugas tersebut untuk anda. Cuba berterus terang dan minta pertolongan secara berdepan dengan mereka.

Ahli keluarga perlu berkomunikasi antara satu sama lain untuk elakkan salah faham daripada berlaku.

Jangan takut untuk berkongsi masalah anda dengan ahli keluarga. Cuba cari jalan tengah supaya semua pihak berpuas hati dan boleh menyumbang.

3.   Senaraikan tugas harian anda

Pesakit kanser mungkin tidak dapat melakukan aktiviti seperti normal. Oleh itu, sebagai penjaga, anda harus faham dengan keadaan pesakit lebih-lebih lagi dengan limitasi yang mereka hadapi.

Pastikan anda senaraikan tugas harian setiap hari supaya tidak rasa terbelenggu. Cuba dahulukan kerja yang penting terlebih awal. 

Anda juga boleh bahagikan kerja antara ahli keluarga mengikut kesesuaian.

4.   Kekal positif

Terus positif dan jangan cepat menyerah kalah. Pesakit kanser perlukan semangat dan juga sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada ahli keluarga.

Tambah lagi, sikap positif ini baik untuk sesiapa sahaja tidak kira umur dan jantina. Ada juga kajian yang menyatakan bahawa individu yang kekal positif mempunyai kesihatan yang lebih baik berbanding dengan orang yang kerap berfikiran negatif.

Baca juga:

Sokongan mental untuk pesakit kanser

Pesakit yang didiagnos dengan kanser memerlukan sokongan mental daripada orang di sekeliling mereka. Ini kerana dirinya akan melalui perubahan bukan sahaja dari segi fizikal, malah mereka juga akan terganggu dari segi emosi.

Sebagai contoh, pesakit kanser mungkin akan menghidap kegelisahan (anxiety), depresi dan stres.

1. Kegelisahan

penjagaan hospis

Normal untuk pesakit kanser rasa gelisah mengenai keadaan mereka. Apabila berhadapan dengan situasi hidup ataupun mati, sesiapa sahaja akan rasa risau dan takut tentang masa hadapan yang tidak pasti.

Antara tanda kegelisahan ialah:

  1.   Selalu nampak risau
  2.   Kerisauan sepanjang masa
  3.   Tangan menggeletar
  4.   Selalu dalam keadaan berjaga-jaga
  5.   Tidak cukup rehat
  6.   Mulut kering
  7.   Mudah marah

Sebagai jalan penyelesaian, penjaga dan pesakit kanser boleh berkomunikasi antara satu sama lain tentang perasaan mereka. Tekankan bahawa rasa gelisah yang pesakit alami ialah sesuatu yang normal. Luangkan lebih masa bersama mereka ketika melakukan penjagaan hospis (hospice care) ataupun paliatif care.

Kaunseling dan kumpulan sokongan dapat membantu penjaga dan pesakit kanser untuk berhadapan dengan masalah yang mereka alami. Pesakit juga boleh lakukan meditasi, berdoa ataupun lakukan aktiviti keagamaan yang bersesuaian untuk mengurangkan kegelisahan. 

2. Depresi

Depresi merupakan sesuatu yang lazim berlaku terhadap pesakit dan juga penjaga. Depresi mungkin datang dalam bentuk kesedihan.

Jika pesakit mengalami kesedihan yang melampau, depresi yang dialami boleh bertukar menjadi depresi major ataupun depresi klinikal yang memerlukan perhatian yang lebih.

Depresi sukar untuk diuruskan tanpa bantuan. Pesakit mungkin perlukan kaunseling, bantuan ubat ataupun kedua-duanya.

Jangan abaikan jika pesakit mempunyai tanda-tanda depresi. Berhubung dengan doktor jika pesakit:

  1.   Mempunyai keinginan untuk membunuh diri
  2.   Selalu bercakap tentang kematian
  3.   Tidak lalu makan atau tidak berminat lagi dengan sebarang aktiviti
  4.   Selalu berpeluh-peluh
  5.   Rasa penat sepanjang masa

 

3. Tekanan perasaan

Pesakit dan juga penjaga boleh mengalami tekanan perasaan setelah mendapat diagnosis kanser. Tekanan ini mungkin dizahirkan dengan pelbagai cara seperti menangis, marah, rasa takut ataupun panik.

Pesakit mungkin akan hadapi tekanan perasaan yang serius jika mereka didiagnos dengan kanser tahap akhir ataupun menerima berita tentang jangka hayat mereka yang mungkin sudah hampir sampai kepenghujungnya.

Wanita akan mengalami tekanan perasaan yang lebih teruk daripada lelaki. Kajian juga menunjukkan bahawa individu yang mengalami masalah lain seperti masalah kewangan, anak yang masih kecil ataupun kesukaran untuk ke hospital kerana tiada kenderaan akan menyebabkan pesakit mengalami tekanan perasaan yang teruk.

Jangan malu untuk berkongsi masalah anda dengan doktor di hospital. Informasi yang doktor berikan mungkin boleh membantu anda dan pesakit kanser rasa sedikit tenang.

Apa yang anda boleh lakukan sebagai penjaga

penjagaan paliatif

  • Sebagai penjaga, anda perlulah lebih sensitif terhadap perasaan pesakit yang menghidap kanser. Anda juga boleh galakkan mereka untuk menyertai kumpulan sokongan.
  • Hormat keputusan pesakit. Mereka lebih mengetahui keadaan diri mereka. Jika mereka pilih untuk melakukan hospice care atau paliatif care, terus bersama mereka dan sokong keputusan mereka hingga mereka menghembuskan nafas yang terakhir.
  • Jika mereka mempunyai masalah mental atau emosi, rujuk kepada doktor supaya pesakit boleh mendapatkan terapi atau khidmat kaunseling yang bersesuaian.
  • Libatkan pesakit dengan aktiviti fizikal bersama ahli keluarga. Pesakit yang lebih aktif di dapati lebih gembira dan mempunyai risiko yang rendah untuk mengalami masalah kegelisahan ataupun depresi.  
  • Terus bersabar melayan kerenah pesakit kanser dan prihatin dengan penyakit yang mereka hadapi. Mereka mungkin tidak dapat mengawal perasaan serta tindak tanduk mereka. Namun, sebagai penjaga boleh kawal reaksi yang anda berikan kepada mereka.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy"
Rujukan

Artikel lain untuk anda

paliatif

Penjagaan Paliatif: Bantu Pesakit Berasa Lebih Baik

Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Shelby
Ditulis oleh Farah Aziz
Diterbitkan pada 22/02/2019 . 3 minit bacaan
miskin

Antara Dua Darjat: Kisah Penjagaan Paliatif Si Miskin dan Kaya

Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
Ditulis oleh Helma Hassan
Diterbitkan pada 02/10/2018 . 2 minit bacaan