Ektomorf pula adalah individu yang mempunyai kadar metabolisme tinggi menyebabkan mereka sukar untuk menyimpan otot atau lemak badan.
Golongan ini kebiasaannya kelihatan kurus.
Penerangan yang ditawarkan oleh Sheldon adalah tidak saintifik. Beliau hanya menggunakan analisis bentuk badan tersebut untuk mengkaji tingkah laku manusia.
Apabila kerja Sheldon diteruskan oleh pembantunya Heath dan Lindsay Carter, mereka telah mencipta sistem antropometri bagi memberikan nilai kuantitatif dan saintifik terhadap teori yang diusulkan Sheldon.
Kini, sistem tersebut sedang diguna pakai oleh International Association for Standardization of Kinanthropometry (ISAK), bagi membantu mengenal pasti masalah berkaitan dengan tumbesaran, perkembangan, penuaan dan tahap kesihatan.
Kaitan di antara bentuk badan dan prestasi sukan fizikal para atlet

Perbezaan bentuk badan bukan sahaja boleh dilihat di antara pemain sukan yang berbeza.
Mereka yang menyertai sukan yang sama tetapi pada posisi berbeza turut mempunyai bentuk badan yang berlainan mengikut keperluan peranan dalam permainan.
Apa yang lebih menarik lagi adalah, bentuk badan ini boleh menentukan keupayaan mereka untuk mendominasi pemain lain dalam sukan yang sama.
Sebagai contoh, pemain bola sepak kebiasaannya mempunyai badan yang tinggi dan kurus (meso-endomorf).
Mereka yang tidak mempunyai ciri tersebut kebiasaannya dikelaskan sebagai pemain bukan elit dan corak permainan mereka mudah didominasi oleh pihak lawan.
Sudah tentu kita tahu perkara tersebut tidak semestinya benar melihat kepada Lionel Messi yang rendah dan kelihatan mampat namun boleh mendominasi pihak lawan.
Pun begitu, karakter bentuk badan tertentu boleh memberikan kelebihan kepada pemain untuk mendominasi sukan yang diceburi.
Sebagai contoh, bagi pelari maraton, lebih mudah buat mereka untuk mempunyai badan yang kurus dan kecil.
Pelari bertaraf dunia dari negara Kenya, kebanyakannya mempunyai bentuk fizikal ektomorf.
Mereka sangat kurus dengan peratusan lemak dalam badan yang sangat rendah, sekitar 4.6%.
Berbeza dengan atlet yang menyertai sukan maraton ultra gunung, bentuk fizikal meso-endomorf dengan peratusan lemak setinggi 13% boleh memberikan kelebihan kepada mereka untuk menamatkan larian pada jarak 217 km.
Perenang kebiasaannya mempunyai jumlah lemak badan yang tinggi memandangkan mereka bersukan di dalam air yang sejuk.
Lemak itu juga boleh membantu memberi daya apungan kepada mereka.
Berdasarkan kepada pemerhatian terhadap prestasi atlet dan bentuk badan, mereka lebih cenderung untuk berjaya jika memilih sukan yang bersesuaian.
Bayangkan mereka yang ektomorf (kurus, sukar simpan lemak) berminat untuk menyertai sukan sumo, adakah mereka boleh berjaya dalam sukan tersebut?
Konklusi
Walau apa pun bentuk badan atlet, mereka mempunyai objektif yang sama; untuk memaksimumkan kuasa bagi mencapai matlamat di peringkat antarabangsa.
Melalui kajian yang dibuat oleh saintis terdahulu, memang tidak dapat dinafikan bahawa bentuk badan boleh mempengaruhi prestasi atlet pada sukan tertentu.
Mereka yang kurus (ektomorf) mempunyai kelebihan dalam sukan maraton, mereka yang gemuk (endomorf) boleh mendominasi sukan sumo dan individu mesomorf, kebiasaannya mempunyai kelebihan dalam sukan bola sepak.