Pelaksanaan kajian hasil kempen keluarga bekas pemain bola sepak
Anda mungkin tidak tahu, kajian yang dijalankan ini adalah hasil daripada kempen yang dijalankan oleh keluarga bekas pemain pasukan West Brom dan England, Jeff Astle. Jeff Astle telah meninggal dunia pada usia 59 tahun akibat daripada penyakit demensia.
Inkues kematian Jeff Astle menyebut bahawa penyakit saraf yang dialaminya, ensefalopati traumatik kronik (CTE), adalah disebabkan oleh kesan berulang daripada tandukan bola sepak menggunakan kepala. Selain daripada Jeff Astle, terdapat juga beberapa bekas pemain lain yang turut terkesan daripada tandukan bola menggunakan kepala. Antaranya ialah:
- Aaron Hernandez: mempunyai simptom awal keagresifan, niat membunuh diri dan perubahan emosi pada umur yang sangat muda. Beliau telah membunuh diri pada usia 27 tahun.
- Martin Peters: mengalami Alzheimer semasa hidupnya. Beliau meninggal dunia pada bulan Disember 2019 dan berusia 76 tahun pada saat kematiannya.
- Sue Lopez: bekas pemain bola sepak bagi pasukan England ini turut menyatakan bahawa demensia yang dialami adalah akibat daripada tandukan bola yang dilakukan sepanjang kariernya.
- Alan Shearer: bekas kapten pasukan bola sepak England turut menyatakan kebimbangannya untuk mendapat demensia memandangkan dia pernah melakukan tandukan bola sebanyak 100 kali sehari!
Bukan sahaja demensia, malah risiko penyakit lain

Menanduk bola dengan menggunakan kepala bukan sahaja menyebabkan penyakit saraf seperti demensia dan juga Alzheimer, malah boleh menyebabkan penyakit lain yang berkaitan.
Pada bulan Februari 2019, penyelidik dari Liverpool Hope University mendapati, kekerapan melakukan tandukan bola boleh menyebabkan kehilangan memori jangka pendek dan juga tumpuan mata. Tandukan bola boleh menyebabkan kesan negatif terhadap memori dan juga kemampuan penggunaan dua mata untuk memberi fokus terhadap perkara yang berbeza dengan pantas (pergerakan mata saccadic).
Kajian tersebut hanya melibatkan dua puluh tandukan bola yang dilakukan oleh dua puluh orang pemain bola sepak amatur. Ini baru melibatkan hanya dua puluh kali tandukan, bayangkan jika seseorang itu melakukan ratusan tandukan yang jelas akan memberikan lebih banyak kesan negatif.