backup og meta

Sakit Tekak Tapi Tak Tahu Apa Puncanya, Ini Dia 4 Jenis Penyakit Yang Lazim Berlaku!

Sakit Tekak Tapi Tak Tahu Apa Puncanya, Ini Dia 4 Jenis Penyakit Yang Lazim Berlaku!

Tekak adalah organ badan yang mempunyai peranan penting dalam sistem pernafasan dan pencernaan. Lalu, apa yang akan terjadi jika anda terkena sakit tekak berpanjangan? Adakah sebarang petua hilangkan sakit tekak?

Artikel ini akan memfokuskan kepada penyakit tekak yang lazim dialami dan didiagnosis dalam kalangan pesakit.

Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan ENT, anda boleh klik di sini.

Sakit tekak berpanjangan akibat tonsilitis

Kenapa rasa sakit di tekak?

Tonsilitis atau radang tonsil berlaku apabila dua kelenjar limfa (turut dikenali sebagai tonsil) mengalami keradangan akibat jangkitan kuman.

Keadaan kesihatan ini boleh berlaku pada semua peringkat usia namun ia lazim didiagnosis dalam kalangan kanak-kanak.

Gejala yang boleh dialami oleh pesakit termasuklah:

  1. Demam.
  2. Sakit tekak berpanjangan.
  3. Tonsil bengkak dan merah (atau putih kekuningan).
  4. Bau nafas busuk.
  5. Sakit leher dan dagu akibat daripada kelenjar limfa bengkak.

Jangkitan tonsil boleh berlaku disebabkan oleh virus atau bakteria. Namun, agen yang paling lazim dikaitkan dengan masalah ini adalah bakteria.

sakit tekak berpanjangan
Lakukan langkah-langkah ini untuk melegakan sakit tonsil.

Tempoh kebolehjangkitan adalah di antara 24 hingga 48 jam sebelum anda menunjukkan sebarang gejala.

Jika anda telah mengambil antibiotik, ia tidak lagi boleh berjangkit kepada individu lain.

Sakit tekak berpanjangan angkara laringitis

Kenapa rasa sakit di tekak?

Sama seperti tonsillitis, laringitis adalah masalah kesihatan yang berlaku kesan daripada proses keradangan.

Cuma kali ini, kotak suara anda terlibat dalam proses penyakit ini. 

Keadaan ini boleh berlaku akibat jangkitan, penggunaannya secara berlebihan atau iritasi.

Mereka yang didiagnosis dengan masalah laringitis boleh menunjukkan gejala seperti berikut:

  1. Suara lemah.
  2. Hilang suara.
  3. Tekak kering dan serak.
  4. Sering rasa gatal tekak.
  5. Sakit tekak berpanjangan.
  6. Batuk kering.

Simptom yang dialami kebiasaannya tidaklah begitu teruk dan ia boleh dirawat dengan merehatkan suara anda.

Oleh sebab kotak suara sedang mengalami proses keradangan disebabkan proses patologi tertentu, apa yang anda perlu buat hanyalah mengambil sejumlah air mencukupi sebagai petua hilangkan sakit tekak. 

Jika punca laringitis adalah jangkitan virus atau bakteria, ia boleh tersebar dengan pantas terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.

Laringitis juga boleh berlaku sekiranya anak anda sering menjerit atau selalu menyanyi dengan nada yang kuat.

Jika anda sedar suara anak anda serak, lemah atau mereka mengadu sakit tekak bila menelan, membuka mulut atau bercakap, pastikan mereka merehatkan suara mereka.

Lazimnya, masalah sakit tekak bila menelan ini akan sembuh dengan sendirinya dalam tempoh 2 minggu.

Namun, jika ia masih tidak sembuh, bawa anak anda berjumpa dengan doktor untuk tindakan selanjutnya.

sakit tekak berpanjangan
Laringitis juga sering menyebabkan tekak sakit.

Krup (croup)

Apabila struktur di sekeliling kotak suara anda membengkak akibat jangkitan, ia merupakan keadaan kesihatan yang dikenali sebagai krup.

Mereka yang mengalaminya boleh menunjukkan simptom batuk teruk yang bunyi seakan-akan anjing laut menyalak.

Terdapat banyak virus yang boleh menyebabkan masalah tekak krup. 

Walau bagaimanapun, kebanyakan virus yang dikesan merupakan virus parainfluenza (selesema).

Ada juga kes krup yang berpunca daripada masalah alergi, terhidu masuk bahan iritasi atau jangkitan bakteria. Namun ia jarang berlaku.

Mereka yang didiagnosis dengan masalah kesihatan ini boleh menunjukkan simptom seperti:

  1. Batuk seperti seekor anjing laut menyalak.
  2. Demam.
  3. Nafas laju.
  4. Suara serak.
  5. Selesema.

Mereka yang mengalaminya boleh mendapat simptom yang lebih serius seperti:

  1. Bunyi nafas bernada tinggi.
  2. Kesukaran untuk menelan sesuatu/ makanan tersekat di dalam tekak.
  3. Kulit pada sekitar hidung, mulut dan kuku jari menjadi biru atau kelabu.

Rawatan krup kebiasaannya tertumpu kepada rawatan simptom.

Kondisi kanser tekak

Jika dibandingkan dengan kanser organ badan lain, kanser tekak jarang didiagnosis dalam kalangan pesakit.

sakit tekak berpanjangan
Sentiasa periksa tekak anda bagi mengesan sebarang keabnormalan.

Institut Kanser Amerika Syarikat menganggarkan:

  • Kira-kira 1.2% orang dewasa akan didiagnosis dengan kanser kaviti oral atau farinks seumur hidup mereka
  • Kira-kira 0.3% orang dewasa akan didiagnosis dengan kanser larinks (kotak suara) seumur hidup mereka

Mereka yang mengalaminya boleh menunjukkan gejala seperti:

  1. Perubahan suara.
  2. Kesukaran setiap kali mahu menelan.
  3. Susut berat badan.
  4. Sakit tekak berpanjangan.
  5. Rasa gatal pada tekak.
  6. Batuk yang tidak berhenti (boleh jadi berdarah).
  7. Kelenjar limfa pada leher bengkak.
  8. Nafas berbunyi.
  9. Sakit telinga.
  10. Suara garau.

Benarkah orang lelaki lebih berisiko terkena masalah sakit tekak?

Ya, lelaki lebih cenderung untuk mendapat kanser tekak disebabkan oleh faktor risiko seperti merokok, pengambilan alkohol yang berlebihan dan kurang penjagaan oral.

Rawatan lebih tertumpu kepada pembedahan, terapi kemo, terapi radio dan rawatan untuk menguruskan kekurangan fungsi selepas pembedahan.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Tonsillitis. https://medlineplus.gov/tonsillitis.html. Diakses pada 2 Februari 2021.
  2. Chronic hoarseness. https://kidshealth.org/en/parents/hoarseness.html?ref=search. Diakses pada 2 Februari 2021.
  3. Croup. https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/8277-croup. Diakses pada 2 Februari 2021.
  4. Laryngitis. https://voicefoundation.org/health-science/voice-disorders/voice-disorders/laryngitis/understanding-laryngitis/. Diakses pada 2 Februari 2021.
  5. Head and neck cancers. https://www.cancer.gov/types/head-and-neck/head-neck-fact-sheet. Diakses pada 2 Februari 2021.

 

Versi Terbaru

19/09/2024

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Sakit Tekak? Legakannya Dengan 6 Cara Mudah Ini, No. 4 Wajib Buat!

Rasa Sakit Tekak Setiap Kali Menelan Air Liur? Awas Dengan Apa Anda Makan!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 19/09/2024

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan