Jika bukan di masa pandemik kini, simptom seperti hidung berair, sesak nafas dan kerap bersin mungkin akan dianggap gejala penyakit biasa sahaja.
Namun disebabkan seantero dunia kini masih lagi berperang dengan wabak virus korona baharu ini, simptom sebegini boleh jadi satu kerisauan.
Persoalannya, perlukah anda buat ujian COVID-19 sekiranya mengalami simptom-simptom seperti ini? Jom teruskan membaca artikel untuk tahu!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keadaan Telinga, Hidung/Tekak, sila dapatkan di sini.
Hidung berair, sesak nafas & kerap bersin berbahaya?
Simptom seperti ini sebenarnya biasa berlaku kepada individu dan ia sering dikaitkan dengan jangkitan penyakit demam selesema.
Sekiranya ia memang benar disebabkan oleh penyakit biasa sahaja, maka anda mungkin tidak perlu terlalu risau mengenainya.
Namun kalian juga perlu tahu bahawa terdapat beberapa lagi punca lain simptom hidung berair dan kerap bersin terjadi termasuklah:
- Jangkitan virus
- Rhinitis
- Pharyngitis
Manakala bagi simptom sesak nafas pula, punca ia berlaku mungkin lebih berbahaya antaranya:
- Anemia
- Asma
- Paru-paru sempit (COPD)
- Batuk berdarah (TB)
- Penyakit jantung koronari
Ini bermakna ketiga-tiga simptom ini tidak wajar hanya dipandang enteng dan dianggap gejala jangkitan penyakit biasa sahaja.
Malahan juga, ia turut merupakan antara simptom-simptom anda diserang virus korona baharu atau lazim disebut sebagai COVID-19.
Jadi, diagnosis daripada doktor sangat diperlukan untuk mengesahkan punca kepada simptom yang anda sedang alami!
Simptom ini juga merupakan simptom COVID-19?
Selain menjadi petanda penyakit yang telah kami nyatakan di atas, ketiga-tiga gejala ini juga merupakan di antara simptom COVID-19.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), simptom-simptom terkena serangan virus korona baharu ini adalah seperti berikut:
- Demam (melebihi suhu 37.5 darjah celsius)
- Sakit kepala
- Sakit tekak
- Sesak nafas
- Hidung berair
- Kerap bersin
- Sering batuk
- Lenguh badan
- Sakit sendi
- Keletihan
Namun kalian juga harus tahu bahawa tidak semua orang yang dijangkiti virus akan menunjukkan simptom-simptom seperti di atas tadi.
Ini kerana virus korona baharu boleh melalui tempoh inkubasi di dalam tubuh badan menjadikannya tidak aktif dan tidak boleh dikesan.
Maka, ujian saringan COVID-19 mungkin perlu dilakukan jika kalian khuatir diri terkena serangan virus ini ya?
Perlukah penderita simptom jalani ujian COVID-19?
Apabila menghidapi simptom hidung berair, sesak nafas dan kerap bersin, anda tidak boleh hanya berdiam diri sahaja.
Perkara pertama yang kalian perlu lakukan adalah berjumpa dengan doktor untuk mendiagnosis punca sebenar ia berlaku.
Jika doktor mengesahkan ia hanya demam selesema atau penyakit berkaitan lain, dapatkan rawatan dan ubatan terlebih dahulu.
Pun begitu, mungkin juga ada risiko di mana kalian memang benar telah dijangkiti wabak COVID-19 berdasarkan simptom yang dialami.
Ini terutamanya buat anda yang baru sahaja pulang dari kawasan yang terjejas teruk dengan wabak pandemik ini.
Ataupun anda mempunyai kontak rapat dengan individu yang telahpun sah dijangkiti virus korona baharu ini.
Sekiranya anda berada dalam kedua-dua kategori di atas ini, maka adalah wajar untuk kalian menjalani ujian saringan COVID-19!
Bagaimana cara ujian saringan ini akan dilakukan?
Selepas mendapat saranan doktor untuk menjalani ujian saringan ini, segera pergi ke klinik atau hospital yang menawarkan khidmat berkenaan.
Terdapat dua cara ujian saringan ini dilakukan iaitu melalui pengambilan dan pengesahan cecair di dalam hidung serta dalam mulut.
Meskipun wujud banyak cerita yang mengatakan kedua-dua jenis ujian ini menyakitkan, anda mungkin tidak perlu terlalu percaya dengannya.
Ini kerana memang benar bahawa ia akan menyebabkan sedikit ketidakselesaan namun ia ternyata berbaloi demi kesihatan anda dan masyarakat sejagat!
Sila berwaspada jika alami ketiga-tiga simptom ini!
Konklusinya, kalian perlu lebih berwaspada sekiranya ketiga-tiga simptom ini berlaku pada diri anda dan segeralah mendapatkan diagnosis doktor.
Ini kerana ia bukan sahaja petanda penyakit yang biasa malahan juga beberapa lagi penyakit berbahaya termasuklah wabak pandemik COVID-19.
Sementara itu, lakukan langkah pencegahan dengan kuarantin diri, memakai pelitup muka dan mengelak daripada kontak rapat dengan individu lain.
Jika nama telah dipanggil untuk mendapatkan suntikan vaksin wabak ini, jangan bertangguh kerana ia adalah jalan penyelesaian terbaik.
Kalian juga mungkin boleh merujuk doktor pakar dengan klik pada pautan Tanya Doktor Pakar KKM di laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia (COVID-19 Portal) untuk bertanyakan isu COVID-19 bermula dari jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang.