Ambil suntikan vaksin walau pernah dijangkiti COVID-19
Kerajaan kini sedang bertungkus lumus melakukan vaksinasi sebanyak mungkin untuk menghentikan pandemik yang dicetuskan oleh wabak COVID-19.
Malah, ini sahajalah peluang yang mungkin kita ada untuk meletakkan titik noktah pada pandemik yang sudah lama membelenggu kita.
Menurut Dr. David Thomas dari John Hopkins University School of Medicine, rekomendasi amnya adalah untuk menggalakkan semua mengambil suntikan vaksin, tidak kiralah sama ada mereka pernah dijangkiti ataupun tidak.
Walaupun jarang untuk bekas pesakit COVID-19 mengalami jangkitan semula, namun risikonya tetap ada. Malah, mereka juga berisiko untuk mengalami jangkitan berulang jika tahap antibodi mereka menurun.

Namun, jika anda baru sahaja sembuh daripada jangkitan COVID-19, pakar menyarankan agar anda menangguhkan dahulu pengambilan vaksin COVID-19.
Pastikan anda benar-benar sembuh barulah anda digalakkan mengambil suntikan.
Baca juga:
Disebabkan bilangan vaksin yang masih lagi terhad, mereka yang sudah sembuh boleh menunggu hingga 90 hari selepas jangkitan untuk menerima vaksin. Walaupun begitu, tidak salah jika anda ingin melakukan vaksinasi lebih cepat.
Namun, disebabkan bekas pesakit COVID-19 mempunyai imunisasi semula jadi selepas jangkitan, eloklah mereka memberikan ruang sebentar untuk mereka yang tidak lagi dijangkiti untuk mendapatkan suntikan vaksin masing-masing.
Elak COVID-19 walaupun sudah mengambil vaksin

Walaupun anda telah mendapatkan vaksin COVID-19, anda masih perlu memakai pelitup muka dan mengamalkan penjagaan kebersihan diri seperti selalu mencuci tangan untuk mengelakkan penyebaran Coronavirus.
Masih ada risiko untuk dijangkiti COVID-19 setelah mengambil suntikan vaksin dos pertama. Oleh sebab itu, pastikan anda:
- Sentiasa memakai pelitup muka ketika keluar rumah.
- Pastikan anda mematuhi jarak 1 meter daripada orang lain.
- Elakkan terlalu lama berada di dalam sebuah bangunan, lebih-lebih lagi bangunan yang tidak mempunyai sistem ventilasi yang baik.
- Basuh tangan dengan sabun dan air sekerap mungkin.
Bersama-sama, kita dapat membanteras wabak COVID-19.
Mana tahu, pada masa hadapan, kita dapat hidup seperti dahulu kala dan dapat kembali bersua muka dengan ahli keluarga yang sudah lama terpisah.
#HelloHealthGroup, #HelloDoktor, #HelloHealthCoronaVirus