Tangan sering gatal-gatal dan menggelembung selepas mencuci pinggan mangkuk? Ini mungkin tanda alergi sabun cuci piring! Alahan terhadap sabun merupakan sesuatu yang lazim. Malah, ada banyak cara menghilangkan alergi sabun, terutamanya alahan yang melibatkan sabun basuh pinggan atau pencuci baju.
Sabun dan pencuci merupakan produk yang kita gunakan setiap hari. Semua bahan ini diperlukan untuk memastikan badan kita sentiasa bersih dan kawasan rumah bebas kuman.
Walau bagaimanapun, sesetengah bahan kimia yang terkandung di dalam produk tersebut boleh menyebabkan kegatalan pada kawasan kulit.
Mereka yang mengalami alahan sabun akan rasa gatal-gatal pada kawasan tangan atau bahagian kulit yang terkena sabun. Antara simptom alergi yang lazim ialah kulit yang memerah, membengkak atau naik ruam.
Tidak pernah mengalami alergi sabun cuci piring sebelum ini? Jangan terkejut, anda boleh mengalami reaksi alergi terhadap sabun walaupun ia merupakan jenama yang sama anda gunakan selama bertahun-tahun.
Teruskan pembacaan jika anda ingin tahu mengenai punca, simptom serta cara menghilangkan alergi sabun.
Punca
Punca alergi sabun cuci piring
Alahan terhadap sabun turut dikenali sebagai dermatitis sentuh (contact dermatitis). Kondisi ini menyebabkan anda mengalami kesakitan dan gatal-gatal kerana alahan.
Mereka yang mengalami dermatitis sentuh mempunyai kulit yang sensitif terhadap alergen atau sebarang bahan kimia yang boleh menyebabkan iritasi.
Sebagai contoh, aabun mengandungi pelbagai bahan yang boleh mencetuskan alahan, antaranya ialah pewangi, bahan pengawet, pelelas dan peluntur.
Namun, pada sesetengah orang, bahan-bahan yang tidak berbahaya juga boleh menyebabkan alahan.
Ada dua jenis dermatitis sentuh iaitu:
- Dermatitis sentuh disebabkan alahan. Badan pesakit mempunyai reaksi alergi terhadap beberapa bahan. Antara alergen yang boleh mencetuskan reaksi alahan ialah barang kemas (seperti nikel), produk kosmetik, pewangi dan bahan pengawet.
- Dermatitis sentuh disebabkan iritasi. Alahan jenis ini datang dalam waktu yang singkat, selalunya sejurus pesakit memegang bahan yang menyebabkan iritasi. Antaranya ialah sabun, pencuci baju, lantai dan sebagainya serta asid.
Simptom
Simptom alahan sabun
Simptom alergi selalunya akan muncul dalam masa 24-48 jam selepas pendedahan terhadap bahan yang menyebabkan iritasi. Namun, ruam mungkin akan naik pada kulit dalam masa beberapa jam.
Antara simptom alergi sabun cuci piring:
- Ruam atau bintat pada kawasan kulit.
- Kegatalan.
- Kulit merah.
- Luka melecet atau berair.
- Kulit bersisik.
Simptom alahan mungkin berbeza mengikut individu. Jika anda mempunyai reaksi alergi yang serius, jumpa doktor secepat mungkin untuk rawatan lanjut.
Diagnosis
Cara doktor melakukan diagnosis
Diagnosis boleh dilakukan melalui ujian klinikal untuk menentukan punca alahan yang pesakit alami.
Jika pesakit disahkan menghidap alahan, pesakit perlu menjauhkan diri daripada bahan tersebut dan lihat sama ada simptom beransur pulih.
Untuk pesakit yang menghidap dermatits sentuh disebabkan alahan, doktor mungkin melakukan ujian yang dipanggil ‘patch testing’. Ujian ini dapat menentukan punca sebenar dermatitis sentuh yang pesakit alami.
Semasa ujian ‘patch’, pesakit akan memakai pelekat pada kulit. Pelekat ini mengandungi bahan kimia yang boleh mencetuskan reaksi alahan. Selepas 48 jam, doktor akan memeriksa semula kawasan kulit untuk mengenal pasti sebarang tanda alahan.
Walau bagaimanapun, untuk dermatitis sentuh yang berlaku disebabkan iritasi, doktor mungkin tidak dapat mengenal pasti bahan apakah yang menyebabkan simptom.
Rawatan
Rawatan alergi sabun cuci piring
Rawatan untuk dermatitis sentuh disebabkan alahan atau iritasi adalah sama. Walaupun begitu, ia mungkin memakan masa selama 1-2 minggu sebelum ruam betul-betul hilang.
Antara rawatan untuk masalah ini ialah:
- Mengelakkan sentuhan pada bahan yang menyebabkan alahan. Selepas bahan tersebut dapat dikenal pasti, pesakit boleh mengelakkan sebarang sentuhan dengan bahan tersebut.
- Ubat gatal. Pesakit juga akan menerima ubat gatal untuk merawat inflamasi dan kegatalan yang dialami.
- Ubat steroid oral. Ubat steroid boleh melegakan simptom-simptom alahan yang tidak hilang walaupun setelah mengambil antihistamin atau melakukan rawatan lain.
- Ubat imunosupresif. Dalam kes yang teruk, pesakit mungkin perlu mengambil ubat imunosupresif untuk mengurangkan alahan.
Baca juga:
- Ekzema, Alahan Makanan Dan Dermatitis Atopik – Apa Kaitannya Antara 3 Penyakit Ini?
- Sering Gatal-Gatal Tangan Bila Pakai Emas? Itu Petanda Anda Hidap Alergi Nikel
Berjumpa doktor
Bila anda perlu berjumpa doktor?
Jumpa doktor secepat mungkin jika:
- Ruam menyebabkan kegatalan sehingga mengganggu kerja atau tidur malam.
- Ruam merebak luas dan meliputi kawasan kulit yang banyak.
- Ruam membuatkan anda rasa sakit atau hilang keyakinan diri.
- Kegatalan berlaku pada kawasan muka, mulut, mata atau kemaluan.
- Kondisi ini tidak sembuh dalam masa 3 minggu.
Langkah pencegahan
Langkah pencegahan alergi sabun cuci piring
Pesakit boleh mengurangkan simptom alahan dengan mengelakkan sentuhan terhadap produk atau bahan yang menyebabkan alergi. Sebagai contoh, jika pesakit menghidap alergi sabun cuci piring, cuba tukar kepada sabun yang lain.
Walau bagaimanapun, jika bahan tersebut tidak dapat dielakkan secara total, langkah ini mungkin dapat membantu:
- Pilih produk yang bebas pewangi.
- Gunakan sabun yang lembut dan tidak mempunyai sebarang pewarna.
- Basuh tangan secepat mungkin jika tersentuh bahan yang menyebabkan alahan atau iritasi.
Cara menghilangkan alergi sabun mungkin berbeza mengikut individu. Jika anda runsing mengenai masalah yang anda alami, jumpa doktor secepat mungkin untuk rawatan.
[embed-health-tool-bmr]