backup og meta

Tabiat Minum Kopi Boleh Turunkan Risiko Kanser Kolorektal, Tapi Berapa Limit Sehari?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 20/06/2023

    Tabiat Minum Kopi Boleh Turunkan Risiko Kanser Kolorektal, Tapi Berapa Limit Sehari?

    Lihat sahaja pada jumlah kedai yang menjual minuman kopi pada satu lokaliti. Tidak sah jika tiada yang menjualnya.

    Kajian terdahulu menunjukkan minuman kopi mampu mempengaruhi tahap kesihatan individu.

    Bahan bioaktif seperti kafein dianggap sebagai komponen sistem penghadaman yang relevan memandangkan ia boleh memberikan kesan positif.

    Walaupun kesan baik bagi peminum kopi bergantung kepada faktor seperti penyediaan, kepekatan kafein dan sebagainya, tapi mereka masih boleh menikmati kebaikan seperti:

    1. Menggalakkan tahap kesihatan usus besar yang sihat melalui sifat antioksidan yang terkandung dalam bahan bioaktif kopi.
    2. Mengurangkan rembesan asid hempedu.
    3. Mengubahsuai populasi bakteria baik di dalam usus.
    4. Membantu fungsi kritikan usus seperti pergerakan najis keluar.

    Oleh sebab kandungan kopi boleh memberikan kebaikan pada fungsi usus, kebanyakan ahli akademik beranggapan ia mesti boleh mempengaruhi risiko untuk mendapat kanser kolorektal.

    Berdasarkan dapatan kajian semasa, pengambilan kopi sering dikaitkan risiko kanser kolorektal yang rendah.

    Apa yang lebih menarik adalah bagi penghidap kanser tersebut, risiko kematian mereka rendah sekiranya kopi diambil pada sukatan saranan.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser, sila dapatkannya di sini. 

    Peminum kopi boleh menikmati penurunan risiko kanser kolorektal

    kopi panas

    Kanser kolorektal merupakan kanser ketiga terlazim di dunia bagi kedua-dua lelaki dan wanita.

    Saban tahun, jumlah mereka yang didiagnosis dengan masalah kanser ini semakin meningkat terutamanya di negara Asia seperti Jepun, Korea Selatan dan Malaysia.

    Walau bagaimanapun, kadar kematian di negara tersebut masih lagi pada tahap yang rendah dan memuaskan.

    Ia berikutan program saringan bagi masalah kanser kolorektal yang berjaya mengesan proses penyakit pada peringkat awal untuk rawatan lanjut.

    Kajian berkaitan dengan langkah pencegahan bagi kanser kolorektal menunjukkan pengambilan minuman kopi boleh menjadi faktor pelindung bagi kanser tersebut.

    Pengambilan kopi pada kadar sederhana (tidak melebihi dua hidangan sehari) terbukti menyebabkan penurunan risiko dalam kajian pada tahun 2017 yang melibatkan jumlah subjek yang besar.

    Mereka yang minum lebih daripada 2 hidangan sehari boleh menikmati penurunan risiko pada kadar setinggi 54% untuk mendapat kanser kolorektal.

    Meskipun begitu, dapatan kajian lain menunjukkan keputusan yang agak berbeza.

    Sebagai contoh, kajian yang dijalankan pada tahun 2013 oleh Tian et al menunjukkan kebaikan tersebut hanya boleh dicapai dengan pengambilan kopi melebihi 4 hidangan sehari.

    Kajian yang dijalankan oleh Universiti Kyushu pula menunjukkan penurunan risiko kanser kolorektal boleh dinikmati oleh individu yang minum 3 hidangan kopi sehari.

    Walau apa pun keputusan, masing-masing bersetuju bahawa pengambilan kopi boleh merendahkan risiko kanser kolorektal.

    Bahan bioaktif minuman kopi panas penyumbang kepada faktor penurunan risiko

    kopi panas

    Walaupun ramai yang beranggapan bahawa kafein merupakan sebab utama penurunan risiko kanser berlaku, namun kajian menunjukkan dapatan yang berbeza.

    Tidak dinafikan kafein turut memainkan peranan, namun, bahan bioaktif kopi yang lain juga bertanggungjawab dalam mempengaruhi insiden berlakunya kanser.

    Kajian oleh Universiti California dan Institut Perubatan di Israel menunjukkan pengambilan kopi tanpa kafein juga mampu memberikan kebaikan yang sama.

    Ini bermakna peminum kopi tanpa kafein turut mempunyai risiko kanser kolorektal sepertimana yang dinikmati oleh peminum kopi berkafein.

    Bahan bioaktif seperti asid klorogenik dan polifenol merupakan agen antioksidan yang penting bagi menghindarkan proses keradangan daripada berlaku.

    Produk kopi panggang pula mempunyai kepekatan melanoidin yang tinggi. 

    Ia mempunyai fungsi yang hampir sama dengan bahan berserat dan berupaya untuk melancarkan pengeluaran najis.

    Kopi yang tidak ditapis turut memberikan kebaikan kesihatan memandangkan ia mengandungi bahan bioaktif anti kanser; cafestol dan kahweol.

    Berdasarkan kepada pemerhatian kajian yang telah dijalankan, ia jelas menunjukkan kaitan yang kuat di antara minuman kopi dan insiden kanser kolorektal.

    Kebaikan bagi penghidap kanser kolorektal

    kopi panas

    Mencegah sememangnya lebih baik daripada mengubati.

    Namun, seperti yang anda sedia maklum, terdapat pelbagai jenis faktor yang boleh menyebabkan insiden kanser kolorektal berlaku.

    Pengambilan kopi secara kerap tidak menjamin anda bebas kanser kolorektal namun ia boleh membantu untuk menghindarkannya.

    Bagi penghidap kanser kolorektal, anda juga boleh menikmati kebaikan daripada tabiat minum kopi.

    Walaupun corak pemakanan menunjukkan kaitan yang tidak begitu kuat dengan prognosis kanser kolorektal, kopi boleh membantu meningkatkan kualiti hidup penghidap.

    Perkara ini telah dibuktikan melalui kajian yang dijalankan oleh Universiti Harvard pada tahun 2017.

    Penghidap yang minum kopi sekurang-kurangnya 4 kali sehari mempunyai penurunan risiko kematian akibat kanser kolorektal setinggi 52%.

    Bagi individu yang memang sudah minum 2 cawan kopi sehari sebelum didiagnosis dengan kanser kolorektal, jika amalan tersebut diteruskan, penurunan risiko kematian berlaku pada kadar setinggi 37%.

    Dapatan tersebut jelas menunjukkan kebaikan yang bakal dinikmati oleh peminum kopi bagi penghidap kanser kolorektal.

    Konklusi

    Minuman kopi panas dan sejuk boleh memberikan kesan positif terhadap risiko kanser kolorektal namun ia perlu diambil secara berpada-pada.

    Populasi ibu hamil sebagai contoh perlu mengurangkan kadar pengambilan kafein memandangkan ia tidak baik untuk janin yang membesar.

    Jika anda merupakan peminat kopi, pastikan anda melihat faktor keadaan sebelum minum.

    Bagi penghidap kanser kolorektal, pengambilan minuman kopi secara kerap pada kadar 2 hingga 4 cawan sehari boleh membantu menurunkan risiko kematian akibat masalah kanser tersebut.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 20/06/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan