backup og meta

Terapi Radiasi Memang Bermanfaat Buat Pesakit Kanser Usus, Tapi Anda Boleh Alami 9 Kesan Ini

Terapi Radiasi Memang Bermanfaat Buat Pesakit Kanser Usus, Tapi Anda Boleh Alami 9 Kesan Ini

Jika dilihat pada konteks rawatan kanser kolorektal, ramai yang pucat apabila disebut sahaja berkenaan dengan impak pembedahan, kesan radioterapi dan implikasi kemoterapi.

Ketiga-tiga modaliti rawatan tersebut berkait dengan kadar kelangsungan hidup bagi pesakit kanser dan ia boleh meningkatkan kebarangkalian untuk pesakit mencapai kesembuhan.

Artikel ini akan memfokuskan kepada peranan dan kesan radioterapi terhadap kanser kolorektal.

Teruskan membaca untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser, sila dapatkan di sini.

Fahami kegunaan radiasi dalam rawatan kanser kolon

Radioterapi atau terapi radiasi adalah kaedah rawatan menggunakan sinaran bertenaga tinggi seperti x-ray atau sebarang partikel yang boleh menghancurkan sel kanser.

Jika dilihat pada kekerapan penggunaannya dalam rawatan kanser kolorektal, ia lebih banyak dipreskripsikan kepada pesakit kanser rektal berbanding dengan kanser usus.

Walaupun penggunaan terapi radiasi tidak begitu lazim untuk rawatan kanser kolon, ia boleh digunakan dalam kes seperti:

  • Digunakan bersama dengan kemoterapi untuk mengecilkan saiz tumor sebelum ia boleh dibuang melalui pembedahan
  • Jika pesakit mengalami tahap kanser yang melibatkan organ lain (berdekatan dengan lokasi kanser), pakar bedah kebiasaannya tidak boleh memberikan jaminan bahawa 100% sel kanser telah dibuang keluar. Maka dalam konteks ini, radioterapi boleh digunakan untuk membunuh saki baki sel kanser
  • Sama seperti nombor 2 namun ia digunakan semasa pembedahan sedang dijalankan. Prosedur ini dikenali sebagai terapi radiasi dalam pembedahan (IORT)
  • Digunakan bersama dengan kemoterapi untuk mengawal tahap keagresifan kanser bagi individu yang tidak boleh menjalani pembedahan
  • Untuk meredakan simptom jika kanser kolon tahap akhir menyebabkan masalah sakit, pendarahan dan usus tersumbat
  • Untuk membantu merawat kanser kolon yang telah mengalami metastasis (tersebar ke organ lain seperti tulang, paru-paru atau otak)

kesan radioterapi

Fahami kegunaan radioterapi dalam rawatan kanser rektum

Radioterapi lebih lazim digunakan bagi pesakit yang didiagnosis dengan masalah kanser rektum.

Antara kegunaan radiasi adalah untuk:

  • Digunakan bersama dengan kemoterapi untuk mengecilkan saiz tumor sebelum ia boleh dibuang melalui pembedahan. Ia juga boleh diberikan selepas pembedahan untuk menghindarkan sel kanser daripada tumbuh kembali
  • Digunakan semasa pembedahan sedang dijalankan untuk membunuh saki baki sel kanser rektum. Prosedur ini dikenali sebagai terapi radiasi dalam pembedahan (IORT)
  • Digunakan bersama dengan kemoterapi untuk mengawal tahap keagresifan kanser bagi individu yang tidak boleh menjalani pembedahan
  • Boleh digunakan bagi pesakit yang mengalami ketumbuhan semula kanser rektum selepas sesi radiasi
  • Untuk membantu merawat kanser rektum yang telah mengalami metastasis (tersebar ke organ lain seperti tulang, paru-paru atau otak)

Kesan radioterapi terhadap pesakit kanser kolorektal

kesan radioterapi

Seperti kaedah rawatan yang lain, radioterapi juga boleh menyebabkan kesan sampingan jangka masa pendek dan jangka masa panjang.

Apa yang penting adalah anda perlu memaklumkan kepada doktor anda dan menuruti saranan yang diberikan oleh mereka.

Lazimnya, saranan doktor dibuat selepas menimbang tara kebaikan dan keburukan meneruskan atau menghentikan terapi radiasi bagi pesakit kanser kolorektal.

Antara kesan sampingan yang boleh dialami pesakit adalah seperti berikut:

  • Iritasi kulit boleh berlaku pada kawasan sinar radiasi disasarkan. Keadaan ini boleh menyebabkan kawasan tersebut menjadi merah dan mengelupas
  • Luka bedah lambat sembuh jika terapi radiasi diberikan sebelum pembedahan
  • Loya dan muntah
  • Iritasi pada kawasan rektum sehingga boleh menyebabkan cirit-birit, pergerakan usus yang menyakitkan dan darah pada najis
  • Najis bocor atau tidak berupaya untuk menahan keluar najis
  • Iritasi pada pundi kencing sehingga menyebabkan masalah seperti kerap rasa hendak kencing, sakit ketika kencing dan darah di dalam air kencing
  • Kelesuan yang berpanjangan
  • Masalah seksual seperti mati pucuk dan iritasi pada faraj
  • Meningkatkan risiko lekatan pada tisu yang dirawat

Anda perlu tahu bahawa majoriti simptom yang anda alami sebagai kesan sampingan hanya berlaku sementara sahaja.

Ia akan hilang sebaik sahaja rawatan tamat namun segelintirnya akan kekal.

Komunikasi di antara doktor dan pesakit sangat penting untuk memastikan kesan sampingan itu diuruskan dengan baik.

Konklusi

Kesan radioterapi mungkin kelihatan teruk, namun rawatan tersebut penting bagi pesakit kanser untuk memastikan keadaan kesihatan mereka terjaga.

Jika anda disarankan untuk menjalani terapi radiasi oleh doktor perubatan bertauliah, nasihat penulis adalah supaya anda menuruti saranan tersebut.

Sekiranya anda mengalami sebarang kesan sampingan, maklumkan kepada doktor yang merawat.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Colorectal cancer. (https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/14501-colorectal-colon-cancer). Diakses pada 17 Februari 2021.
  2. Advances in surgical management for locally recurrent rectal cancer: How far have we come? (https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5483491/). Diakses pada 17 Februari 2021.
  3. Colon Cancer Treatment (PDQ®)–Health Professional Version. (https://www.cancer.gov/types/colorectal/hp/colon-treatment-pdq). Diakses pada 17 Februari 2021.
  4. Rectal Cancer Treatment (PDQ®)–Patient Version. (https://www.cancer.gov/types/colorectal/patient/rectal-treatment-pdq). Diakses pada 17 Februari 2021.
  5. What has preoperative radio(chemo)therapy brought to localized rectal cancer patients in terms of perioperative and long-term outcomes over the past decades? A systematic review and meta-analysis based on 41,121 patients. (https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/28560805/). Diakses pada 17 Februari 2021.

Versi Terbaru

16/06/2021

Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Nisreen Nadiah


Artikel Berkaitan

Berada Dalam Golongan Berisiko Kanser Kolorektal? Ini Cara Wajib Dibuat Untuk Langkah Pencegahan

Tabiat Minum Kopi Boleh Turunkan Risiko Kanser Kolorektal, Tapi Berapa Limit Sehari?


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 16/06/2021

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan