backup og meta

Selain Pembedahan, Ini Antara Rawatan TERBAIK Untuk Merawat Pesakit Kanser Kolorektal

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 09/11/2021

    Selain Pembedahan, Ini Antara Rawatan TERBAIK Untuk Merawat Pesakit Kanser Kolorektal

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser Kolorektal, sila dapatkannya di sini.

    Kaedah utama dalam rawatan kanser kolorektal adalah pembedahan. Namun, ini tidak bermakna semua pesakit akan melalui protokol rawatan yang sama.

    Pelbagai jenis faktor boleh mempengaruhi jenis prosedur perubatan yang akan diberikan bagi merawat kanser.

    Antaranya adalah:

    1. Usia
    2. Tahap kesihatan umum
    3. Peringkat kanser ketika didiagnosis
    4. Pilihan pesakit sendiri

    Secara amnya, rawatan bagi kanser usus boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu rawatan lokal dan rawatan sistemik.

    Rawatan lokal merangkumi prosedur perubatan yang dijalankan pada satu kawasan spesifik seperti pembedahan dan radiasi berfokus.

    Rawatan sistemik pula lebih meluas dan kebiasaannya melibatkan aspek farmakologikal seperti terapi kemo dan rawatan menggunakan agen biologi.

    Rawatan usus – Pembedahan Untuk Pesakit Kanser Kolorektal

    Bagi mereka yang didiagnosis dengan peringkat awal kanser kolorektal, prosedur pembedahan boleh memberikan potensi kesembuhan (prognosis) yang tinggi.

    Apabila meningkat tahap kanser kolorektal yang dialami, maka semakin tinggi tahap kesukaran bagi menjalani kaedah rawatan ini.

    Oleh sebab itu, pengesanan kanser kolorektal pada peringkat awal boleh membantu meningkatkan peluang untuk penghidap sembuh daripada barah kolorektal dengan komplikasi seminimum mungkin.

    Polipektomi

    Oleh sebab kebanyakan perubahan pra kanser dimanifestasikan dalam bentuk polip, prosedur polipektomi boleh membantu menyembuhkan pesakit.

    Kaedah ini melibatkan penggunaan peralatan gegelung berwayar yang akan dipandu dengan alat kolonoskop (tiub panjang, fleksibel dan dilengkapi dengan lampu) bagi memotong tangkai polip.

    Kebiasaannya prosedur ini akan dijalankan sejurus doktor menemui polip yang berisiko menjadi kanser kolorektal semasa prosedur kolonoskopi.

    Kolektomi

    Prosedur ini perlu dilakukan oleh pakar bedah kolorektal. Ia melibatkan pembuangan bahagian usus besar yang mempunyai sel kanser bagi memastikan ia tidak melarat atau merebak ke organ lain.

    Bagi individu yang mempunyai beratus atau beribu polip, kaedah ini adalah lebih bersesuaian dengan keadaan klinikal tersebut.

    Ia merupakan langkah awal yang sangat berkesan untuk menghindarkan perubahan pra kanser yang boleh menyebabkan barah kolorektal.

    Secara amnya, prosedur ini boleh dilakukan dengan menggunakan teknik laparoskopi atau kaedah klasik di mana pakar bedah akan membuka abdomen bagi memotong bahagian usus terlibat.

    Ia bergantung kepada faktor seperti lokasi dan saiz kanser serta pengalaman pakar bedah dalam mengendalikan peralatan pembedahan.

    Bahagian usus yang akan dibuang turut melibatkan beberapa sentimeter usus sihat dan kelenjar limfa berhampiran untuk mengelakkan perubahan kanser berlaku semula.

    Terdapat juga prosedur kolektomi yang perlu dilakukan segera disebabkan oleh ketumbuhan yang memenuhi ruangan usus besar menyebabkan ia tersumbat.

    Dalam kes ini, prosedur pembikinan kolostomi perlu dilakukan.

    Pembedahan kolostomi

    Apabila bahagian tertentu pada usus besar disambungkan pada bukaan dinding abdomen, ia dikenali sebagai stoma.

    Bukaan ini kebiasaannya bersifat sementara dan ia akan disambungkan dengan usus sihat pada pembedahan kedua.

    Mereka yang menjalani prosedur ini akan dipasangkan beg lutsinar pada bukaan stoma bagi mengumpul bahan kumuh sistem gastrousus dan ia perlu dikosongkan secara berkala.

    Jarang ada kes yang melibatkan pembuatan stoma kekal.

    Persiapan dan kesembuhan selepas prosedur pembedahan

    Setiap prosedur pembedahan, tidak kira semudah mana pun, mempunyai risiko komplikasinya yang tersendiri.

    Oleh sebab itu, penting bagi setiap pesakit untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan dengan perkara tersebut.

    Antara risiko yang sering dikaitkan dengan pembedahan kolorektal adalah:

    1. Pendarahan
    2. Jangkitan kuman
    3. Pembentukan darah beku pada kaki pesakit
    4. Sambungan di antara bahagian usus besar sihat bocor
    5. Jahitan terbuka (dalaman atau luaran)
    6. Pembentukan tisu parut dan lekatan 

    Mereka yang akan menjalani pembedahan kanser kolorektal akan melalui prosedur persiapan awal bagi mengosongkan usus besar.

    Anda akan dimasukkan ke dalam wad lebih awal daripada tarikh pembedahan.

    Pada waktu itu, tahap nutrisi, hidrasi dan rawatan simptomatik (pemberian ubat tahan sakit) akan diberikan mengikut keperluan.

    Selepas pembedahan berjaya dilakukan, aspek penjagaan luka bedah perlu diberikan penekanan bagi mengesan komplikasi.

    Antara tanda amaran yang perlu diberi perhatian adalah:

    1. Demam
    2. Sakit yang meningkat intensitinya
    3. Merah pada kawasan bedah
    4. Luka yang tidak sembuh
    5. Loya
    6. Muntah
    7. Darah dalam najis atau beg stoma
    8. Batuk
    9. Jaundis

    Terapi lokal 

    Bagi sesetengah kes, pembedahan tidak sesuai dilakukan atas faktor tertentu. 

    Untuk pesakit ini, rawatan terapi radiasi boleh diberikan untuk pesakit kanser usus.

    Ia merupakan kaedah yang melibatkan penggunaan sinar X untuk membunuh sel kanser.

    Kadangkala, doktor akan turut mempreskribkan rawatan terapi kemo atau pembedahan bagi memaksimumkan potensi kesembuhan pesakit.

    Walaupun secara amnya terapi radiasi tidak menyebabkan kesakitan, ia boleh mengakibatkan iritasi kulit, loya dan muntah.

    Terapi sistemik

    Berbeza dengan rawatan radiasi yang hanya berfokus pada kawasan tertentu, terapi sistemik menyebabkan kesan farmakologikal pada seluruh badan.

    Antara kaedah terapi sistemik yang digunakan dalam rawatan kanser kolorektal adalah seperti berikut.

    Terapi kemo

    Prosedur ini melibatkan penggunaan ubat yang berupaya untuk membunuh sel yang membahagi dengan cepat di seluruh badan.

    Ia tidak membezakan di antara sel kanser dan sel sihat, namun sel sihat kebiasaannya akan membahagi semula selepas sesi kemo tamat.

    Mereka yang perlu melalui prosedur atau rawatan ini kebiasaannya mengalami kanser usus tahap lewat.

    Ia juga boleh mengecilkan saiz tumor sebelum pembedahan dijalankan supaya proses pembuangan ketumbuhan mudah untuk dilakukan.

    Bagi mereka yang baru sahaja selesai menjalani pembedahan, terapi kemo boleh dijalankan untuk membunuh baki sel kanser yang masih tertinggal.

    Perkara ini boleh menurunkan risiko untuk penghidap mengalami semula kanser selepas rawatan berjaya.

    Rejimen pemberian rawatan dan ubat

    Bergantung kepada jenis ubat yang diberikan (pil atau cecair), anda akan mempunyai rejimen rawatan yang berbeza.

    Sebagai contoh, kebanyakan rejimen pemberian ubat melalui kaedah intravena diberikan mengikut kitaran.

    Faktor seperti tahap kesihatan, gred kanser, jenis ubat kemo dan matlamat rawatan perlu dipertimbangkan bagi memastikan pesakit kanser usus patuh dengan rejimen yang diberikan.

    Antara jenis ubat yang diberikan bagi merawat kanser kolorektal adalah:

    1. 5-fluorouracil
    2. Oxaliplatin (exolatin)
    3. Capecitabine (xeloda)
    4. Irinotecan hydrochloride (camptosar)
    5. Lonsurf, gabungan ubat trifluridine dan tipiracil

    Kesan sampingan bagi terapi kemo akan dipantau secara berkala. 

    Antara simptom yang perlu diberi perhatian adalah seperti berikut.

    1. Keguguran rambut
    2. Ulser mulut
    3. Cirit-birit
    4. Muntah
    5. Loya
    6. Hilang selera makan
    7. Masalah berkaitan dengan jumlah darah merah, putih dan kuning (mudah mendapat jangkitan atau mengalami lebam)
    8. Ruam merah dan mengelupas pada kaki dan tangan (sindrom tangan-kaki)
    9. Kebas pada tangan atau kaki
    10. Alergi ubat

    Terapi sasar

    Rawatan ini boleh diberikan bersama dengan terapi kemo atau dengan sendirinya jika rawatan kemo tidak lagi berkesan.

    Ia menyasarkan faktor perkembangan kanser spesifik seperti faktor tumbesaran endotelial vaskular (VEGF) yang dirembeskan oleh sel kanser.

    Terdapat juga agen terapi sasar yang merupakan antibodi buatan.

    Ia boleh menyerang protein tertentu bagi menghalang proses fisiologi kanser daripada melarat.

    Antara agen terapi sasar yang sering digunakan bagi merawat kanser kolorektal adalah:

    1. Bevacizumab (avastin)
    2. Cetuximab (erbitux)
    3. Panitumumab (vectibix)
    4. Aflibercept (zaltrap, eylea)

    Walaupun kaedah ini boleh menyebabkankesan sampingan yang jauh lebih ringan berbanding dengan terapi kemo, ia boleh mempengaruhi tahap kesihatan pengguna.

    Antaranya adalah:

    1. Demam
    2. Kelesuan
    3. Cirit-birit
    4. Tekanan darah tinggi
    5. Pendarahan
    6. Sakit kepala
    7. Hilang selera makan
    8. Mudah mendapat jangkitan

    Terapi imun

    Bagi mereka yang gagal mengalami kesembuhan walaupun sudah mendapatkan terapi kemo, anda mungkin akan dipreskribkan dengan terapi imun. 

    Rawatan ini merupakan kaedah yang menggunakan sistem pertahanan badan individu untuk menyerang sel kanser pada usus besar bagi mencapai remisi.

    Terdapat dua jenis ubat yang sering digunakan dalam rawatan terapi imun seperti pembrolizumab dan nivolumab.

    Pengguna mempunyai risiko untuk mengalami kesan sampingan seperti:

    1. Demam
    2. Batuk
    3. Sesak nafas
    4. Gatal dan ruam
    5. Loya
    6. Muntah
    7. Sakit otot

    Prosedur pakar untuk rawatan kanser kolorektal

    Walaupun pembedahan, terapi radiasi dan terapi kemo merupakan pilihan popular dalam merawat kanser kolorektal, terdapat juga prosedur lain yang boleh menjadi pilihan pesakit sekiranya terdapat kepakaran tersebut.

    Antaranya adalah:

    1. Pembedahan krio – Berbeza dengan prosedur bedah buang ketumbuhan, kaedah ini lebih memberi tumpuan terhadap pembasmian sel kanser dengan cara membekukannya.
    2. Ablasi radio – Kaedah ini melibatkan proses pembakaran sel kanser terutamanya yang telah tersebar ke organ lain (metastasis) menggunakan gelombang tenaga pada kekerapan tertentu.
    3. Ablasi etanol – Prosedur ini melibatkan pemberian suntikan alkohol secara langsung ke dalam sel kanser untuk membasminya.

    Penjagaan paliatif untuk pesakit rawatan kanser usus

    rawatan usus

    Prinsip jagaan paliatif tertumpu kepada aspek rawatan simptom bagi memberikan keselesaan kepada pesakit yang tidak mempunyai potensi untuk sembuh.

    Perkara ini penting bagi membantu penghidap kanser supaya boleh beradaptasi dengan kesan masalah kanser dari konteks fizikal, emosi dan spiritual.

    Antara masalah yang boleh diberikan perhatian adalah:

    1. Mengalami masalah mental seperti kemurungan dan keresahan
    2. Kelesuan dan sesak nafas
    3. Sembelit, cirit-birit serta usus tersumbat
    4. Loya dan muntah
    5. Kurang selera makan dan hilang berat badan

    Bagi mereka yang mengalami masalah berkaitan dengan kesakitan kanser, ia boleh diredakan dengan rawatan:

    1. Ubat tahan sakit
    2. Ubat anti kemurungan
    3. Terapi fizikal
    4. Terapi kerja
    5. Kaunseling

    Perubatan komplimentari

    Kajian menunjukkan penggunaan terapi herba cina boleh meningkatkan jangka hayat pesakit kanser kolorektal apabila ia digabungkan dengan terapi kemo.

    Walau bagaimanapun, anda perlu merujuk kepada doktor yang merawat bagi mengesahkan keberkesanan rawatan yang hendak diambil jika tidak melalui doktor.

    Konklusi

    Kunci kepada keberkesanan rawatan kanser kolorektal terletak kepada faktor seperti usia, tahap kanser dan tahap kesihatan pesakit.

    Jika barah kolorektal didiagnosis pada peringkat awal, peluang untuk sembuh adalah lebih tinggi berbanding dengan mereka yang didiagnosis lewat.

    Oleh itu, jika anda mengalami sebarang simptom kanser atau anda mempunyai faktor risiko, buat pemeriksaan di fasiliti kesihatan berdekatan dengan kadar segera.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 09/11/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan