backup og meta

Benarkah Bedak Talkum Boleh Menjadi Punca Kanser Ovari?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 05/03/2020

    Benarkah Bedak Talkum Boleh Menjadi Punca Kanser Ovari?

    Bedak talkum adalah sangat sinonim dengan wanita. Penggunaannya adalah sangat meluas di seantero dunia sebagai salah satu daripada produk kosmetik asas yang sangat popular. Ia boleh digunakan pada seluruh anggota tubuh badan seperti muka terutamanya sebagai sapuan yang memberi kesan wangian atau untuk tujuan kebersihan. 

    Pun begitu, dunia pernah dikejutkan dengan berita buruk mengenainya. Dikatakan, ia boleh menjadi punca kanser ovari! Sejauh manakah kebenarannya? Sila ikuti artikel ini untuk mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut. 

    Bedak talkum & kanser ovari

    Seperti yang kita semua sedia maklum, bedak adalah sapuan produk kosmetik asas yang memberi kesan wangian atau untuk tujuan kebersihan. Namun begitu, mungkin masih ada individu yang belum mengetahui apa itu talkum yang sebenarnya.

    Apa itu talkum?

    bayi

    Talkum adalah sejenis mineral atau galian tanah liat yang terdiri daripada silikat magnesium yang terhidrat dengan formula kimia H2Mg3(SiO3)4 atau Mg3Si4O10(OH)2. Dalam bentuk longgarnya, ia seringkali digunakan dalam pembuatan produk kosmetik terutamanya bedak. 

    Selain itu, talkum turut digunakan dalam pelbagai lagi industri seperti pembuatan makanan, kertas, plastik, cat, krayon, getah, seramik, sabun, dan dalam bidang farmasi. Dalam pada itu, talkum memang banyak gunanya dalam pembuatan peralatan makmal atau elektrikal ekoran sifatnya yang tahan api, haba, asid dan elektrik dan bahan kimia.

    Dalam bidang kosmetik atau pembuatan bedak untuk lebih tepat, talkum digunakan sebagai bahan pelincir untuk mengelakkan bedak daripada saling melekat antara satu sama lain. Pun begitu, ia mungkin berbahaya buat bayi. Menurut The American Academy of Pediatrics, ia mampu menyebabkan masalah pernafasan kepada bayi jika mereka menyedutnya lalu merosakkan paru-paru. 

    Bukan itu sahaja, kegunaan talkum juga disyaki dapat menyumbang kepada beberapa penyakit berbahaya dan yang paling berbahaya adalah kanser ovari kepada wanita. Di dalam senarai International Agency for Research on Cancer, talkum diklasifikasikan sebagai agen kumpulan ke-3. Manakala menurut Pertubuhan Kanser Amerika serta Penyelidikan Barah UK pula, sudah terdapat kajian yang menunjukkan kesahihan penyataan ini.

    Ada banyak kes di mana wanita diserang kanser ovari yang dikatakan disebabkan oleh penggunaan bedak talkum pada bahagian kemaluannya. Menurut laporan siasatan, produk kosmetik yang digunakan oleh mangsa-mangsa memang mengandungi asbestos, yang merupakan punca utama kematiannya.

    Apa itu asbestos?

    Asbestos adalah sebarang kumpulan serat mineral bak benang yang lembut. Ia memang mempunyai banyak sifat yang menjadikannya berharga dari segi komersial seperti ketahanannya terhadap api, haba, asid, elektrik dan bahan kimia.

    Pun begitu, ia sebenarnya boleh mendatangkan beberapa masalah kesihatan yang serius jika terhidu ia terlalu banyak. Sekiranya ia masih utuh, ia tidak dianggap berbahaya. Namun jika ia berkecai atau terlerai walaupun sedikit sahaja, ia mampu membebaskan seratnya yang sangat halus ke udara. Keadaan ini yang akan menyebabkan pelbagai penyakit kepada individu yang terlalu terdedah kepadanya. 

    Untuk pengetahuan anda, asbestos boleh mendatangkan penyakit berbahaya seperti kanser kepada individu jika mereka menghirup atau mengambil bahan yang tercemar dengannya seperti air yang mengalir dari paip air konkrit. Begitu juga halnya dengan penggunaan bedak talkum yang mengandungi asbestos ini.

    Produk-produk lain yang mengandungi talkum

    Seperti yang kita sedia maklum, bedak merupakan produk yang kebanyakannya memang mengandungi talkum. Sebenarnya, terdapat banyak lagi produk selain produk kosmetik yang mengandungi talkum, antaranya:

    • alat solek
    • sabun
    • ubat-ubatan yang tertentu
    • pewangi ketiak (deodoran)
    • minyak zaitun (sila periksa bahagian label)
    • kertas
    • cat
    • plastik
    • gula-gula

    Sehingga kini, telah banyak kajian mengenai kaitan talkum dan kanser masih dijalankan. Mungkin ada kajian yang setuju dengan kenyataan ini dan mungkin ada yang tidak setuju. Namun begitu, mengapa anda mesti memilih untuk menggunakan bahan yang diragui keselamatannya, bukan? Anda mempunyai pelbagai pilihan lain yang jauh lebih selamat.

    Kes wanita dijangkiti kanser ovari disebabkan oleh bedak talkum

    bedak

    Sebenarnya, telah banyak kes kanser ovari dihidapi oleh wanita kerana dikhuatiri disebabkan oleh bedak talkum. Ada beberapa kes di Amerika Syarikat yang melibatkan wanita dijangkiti kanser ovari yang disyaki disebabkan oleh bedak talkum keluaran syarikat kosmetik terkemuka iaitu Johnson & Johnson (J & J) telah berjaya menang di muka pengadilan.

    Kes di Los Angeles

    Kes ini telah difailkan oleh Terry Leavit, yang mendakwa telah menggunakan beberapa jenis produk kosmetik keluaran syarikat terbabit selama kira-kira 10 tahun lamanya dan telah didiagnosis dengan mesothelioma pada tahun 2017. Untuk pengetahuan anda, kes ini adalah yang pertama daripada puluhan kes membabitkan pengeluaran produk kosmetik keluaran syarikat ini yang dijadualkan untuk dibicarakan pada tahun 2019.

    Kes ini telah mendapat perhatian seluruh dunia dan perbicaraan mahkamah di sana juga telah dijalankan. Keputusannya, seorang juri di California telah mengarahkan syarikat terbabit membayar saman sebanyak RM118.5 juta kepada wanita berkenaan setelah mengesahkan produk yang digunakannya memang mengandungi asbestos.

    Hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Agung California di Oakland itu adalah kekalahan yang paling kini bagi syarikat produk kosmetik itu. Selain daripada dakwaan ini, sebenarnya syarikat ini sedang berhadapan dengan lebih kurang 13,000 dakwaan berkenaan bedak talkum keluarannya di seantero negara.

    Menurut wakil syarikat itu, pihaknya akan mengemukakan rayuan dengan alasan telah berlaku kesilapan yang serius prosedur dan bukti yang diutarakan semasa perbicaraan dijalankan. Walau bagaimanapun, pihak syarikat itu tidak langsung memberikan apa-apa butiran lanjut berkenaan kesilapan yang dinyatakan tersebut.

    Kes di New York

    Kes ini telah difailkan oleh Gloria Ristesund, yang mendakwa telah menggunakan beberapa jenis produk kosmetik keluaran syarikat terbabit selama kira-kira beberapa dekad lamanya dan telah didiagnosis dengan kanser ovari. Ini menyebabkan dia perlu menjalani rawatan histerektomi dan pelbagai jenis pembedahan lain yang berkaitan untuk merawat penyakit berbahaya yang dialaminya.

    Kes ini juga telah mendapat perhatian media dan perbicaraan mahkamah di sana juga telah dijalankan. Keputusannya, syarikat terbabit diarah membayar saman sebanyak RM215 juta kepada wanita berkenaan setelah mengesahkan produk yang digunakannya memang mengandungi asbestos.

    Perbicaraan kes ini telah dijalankan selama tiga minggu lamanya di mahkamah di Missouri sebelum juri membuat keputusan yang memihak kepada pendakwa. Keputusan ini bukan merupakan kekalahan yang pertama syarikat itu dan juga bukan merupakan dakwaan pertama yang terpaksa dibicarakan di mahkamah.

    Menurut wakil syarikat itu, syarikat mereka sebenarnya telah menjalankan penyelidikan selama berpuluh tahun lamanya dan masih berpegang teguh kepada kepercayaan mereka yang mengatakan bahawa produk mereka selamat. Pun begitu, ia tidak begitu menepati gagasan mereka ekoran telah banyak kes yang mereka kalah di mahkamah.

    Hakikatnya, produk keluaran syarikat ini kemungkinan besar memang mengandungi kandungan asbestos yang boleh membahayakan kesihatan penggunanya dan syarikat itu sendiri mengetahui mengenainya. Pun begitu, mereka mungkin memilih untuk mendiamkan diri dan tidak memberi amaran tentang bahaya penggunaannya terhadap anggota badan seperti alat sulit yang lantas boleh meninggikan risiko penyakit berbahaya seperti kanser.

    Campur tangan kerajaan Amerika Syarikat

    Sehubungan dengan itu, Patty Murray yang merupakan Senator Parti Demokratik Amerika Syarikat telah menghantar surat kepada syarikat berkenaan susulan telah banyak dakwaan berkenaan kewujudan asbestos di dalam produk kosmetiknya iaitu bedak talkum keluarannya.

    Surat berkenaan ditujukan khas buat Ketua Eksekutif J&J, Alex Gorsky bagi mendapatkan kesahihan dakwaan ini.

    Menurut laporan khas dari organisasi penyampaian berita iaitu Reuters, syarikat itu sebenarnya telah sedia maklum bahawa talkum yang digunakan dalam proses pembuatan bedak talkum itu sebenarnya memang kadangkala wujud asbestos di dalamnya, yang dikatakan boleh mengakibatkan kanser. Pun begitu, kenyataan ini telah dinafikan dan tidak dihebahkan kepada orang ramai.

    Jurucakap syarikat itu iaitu Ernie Knewitz mengakui telah menerima surat tersebut dan mengatakan bahawa mereka sedia untuk berkongsi maklum balasnya dengan senator. Pun begitu, mereka masih berpegang teguh dengan kepercayaan mengenai kebersihan dan keselamatan bedak talkum keluaran mereka yang dikatakan telah disahkan oleh pihak Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (U.S. FDA).

    Murray membalas kenyataan tersebut dengan mengatakan bahawa mungkin terdapat kesilapan atau kekeliruan mengenai kebersihan dan keselamatan produk kosmetik keluaran mereka yang mungkin akan terus mengakibatkan kesan jangka masa panjang kepada orang ramai yang menggunakan produk-produk terbabit. 

    Disebabkan itu, Murray meminta dokumen sokongan yang menyokong dakwaan syarikat tersebut tidak langsung mempunyai sebarang peringkat bahan asbestos yang terkini.

    Bagaimana pula di Malaysia?

    Walaupun telah kecoh di seluruh dunia mengenai bahaya penggunaan bedak talkum, negara kita masih belum memberi sebarang kata putus yang jelas mengenainya. 

    Walau bagaimanapun, Kementerian Kesihatan ada mengesahkan bahawa sehingga kini masih belum terdapat sebarang kes berkenaan kesan buruk dilaporkan kepada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) melibatkan isu keselamatan penggunaan talkum dalam produk kosmetik. Malahan itu juga, tiada sebarang kaitan ditemui dalam penggunaan talkum dalam kosmetik dan peningkatan risiko kanser ovari menurut kajian yang dijalankan oleh Inisiatif Kesihatan Wanita (WHI). 

    Menurut Ketua Pengarah Kesihatan negara kita iaitu Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, talkum sebenarnya tidak langsung disenaraikan sebagai bahan terlarang untuk digunakan dalam industri pembuatan produk kosmetik di negara kita. Pun begitu, ia sebenarnya telah digunakan secara meluas di seluruh dunia termasuk di benua Amerika, Eropah dan Asia.

    Menurut beliau lagi, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mahu pihak berkuasa negara kita untuk mengharamkan penggunaan produk kosmetik ini secara keseluruhan kerana ia dikatakan mampu membahayakan pengguna terutamanya wanita yang selalu menggunakan produk ini pada bahagian sulit sekali gus meninggikan risiko menghidap kanser ovari.

    Pun begitu, wajar untuk kita tahu perkara paling penting mengenai talkum ini. Sebenarnya, terdapat gred pengelasan yang akan membezakan jenis atau tahap talkum. Terdapat 3 gred utama, iaitu:

    • Gred industri
    • Gred kosmetik
    • Gred farmaseutikal

    Menurut beliau, bedak talkum diperbuat daripada talkum yang turut dikenali sebagai hydrated magnesium silicate yang wujud secara semula jadi. Ini membuktikan bahawa talkum gred kosmetik atau farmaseutikal kebiasaannya adalah lebih tulen atau asli dan tidak mengandungi asbestos, iaitu bahan yang disyaki boleh meninggikan risiko kanser. 

    Ini berbeza dengan talkum yang digunakan dalam gred industri pembuatan seperti kertas, cat dan plastik yang mempunyai asbestos yang tidak tulen dan ternyata lebih berbahaya kepada individu. Namun begitu, ia bukan menunjukkan bahawa asbestos gred yang lain tidak berbahaya, jadi anda harus berhati-hati dengan penggunaan produk yang mengandunginya.

    Manakala menurut sebuah kajian terbaharu yang dijalankan oleh NHS Choices di UK, sebanyak 33% kemungkinan yang lebih tinggi mengaitkan pemakaian bedak talkum pada bahagian kemaluan dengan kanser ovari. 

    Walau bagaimanapun, secara umumnya para penyelidik masih lagi belum mencapai kata putus dalam menentukan hal sebenarnya dalam kaitan bedak talkum secara langsung dengan kanser ovari. Pun begitu, anda perlu tahu bahawa produk kosmetik ini bukan satu-satunya punca yang menyebabkan risiko kanser ovari ini menjadi lebih tinggi. Sebaliknya, anda juga perlu liihat kepada faktor risiko yang lain seperti:

    • Usia
    • Berat badan
    • Kondisi kesihatan
    • Pengambilan ubat-ubatan

    Untuk mendapatkan lebih kepastian, KKM menasihatkan orang ramai agar menyemak status notifikasi produk-produk meragukan melalui laman web rasmi Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) di portal rasmi mereka iaitu http://portal.bpfk.gov.my

    Awas, jangan abaikan penjagaan khusus wanita!

    Mungkin produk kosmetik seperti ini selalu dipersalahkan sekiranya wanita mula menghidapi pelbagai penyakit berbahaya seperti contohnnya, kanser ovari ini. Kebanyakan kita mungkin akan mempersalahkan kandungan asbestos yang terdapat dalam produk kosmetik yang digunakan terutamanya pada bahagian kemaluan.

    Pun begitu, tahukah anda bahawa penjagaan khusus wanita adalah sangat penting! Untuk pengetahuan anda, kanser ovari adalah jenis kanser ke- 5 paling tinggi berlaku di Malaysia. Disebabkan itu, semua wanita yang berusia 25 tahun ke atas digalakkan untuk membuat pemeriksaan “pap smear” bagi mengesan tanda awal kanser ovari ini.

    Persoalannya, bagaimanakah penjagaan khusus buat wanita perlu dijalankan? Mungkin bagi kebanyakan wanita, menggunakan bedak talkum merupakan penyelesaiannya. Mereka cenderung untuk memakai produk kosmetik ini pada bahagian kemaluan. Dikatakan, pemakaiannya boleh menghalang jangkitan bakteria selain merawat ruam atau kemerahan yang selalu berlaku pada bahagian celah-celah kelengkang kemaluan.

    Ya, ia mungkin benar tetapi untuk mengelakkan daripada penggunaan produk kosmetik yang mungkin tidak sesuai, terdapat cara lain yang lebih mudah. Caranya adalah dengan memakai seluar dalam jenis kapas dan menukarnya secara kerap bagi menghalang apa-apa jangkitan bakteria terhadap kemaluan. Selain itu, gunakan bahan membasuh atau mencuci seperti sabun dengan kadar yang minimum sahaja.

    Adakah ia juga berbahaya kepada bayi?

    bayi

    Bukan sahaja berbahaya kepada wanita, sebenarnya bedak talkum juga adalah berbahaya jika disapukan kepada tubuh badan si kecil kita, ini demikian kerana kebanyakannya adalah mengandungi serbuk talkum yang terdiri daripada talkum mineral. 

    Secara amnya, ia diperbuat daripada beberapa bahan seperti berikut:

    • Talkum
    • Tepung jagung
    • Bahan berasaskan ubi

    Kebanyakan ibu suka menyapukan produk kosmetik ini pada celah kelengkang bayi agar kawasan yang selalu terlindung ini cepat kering. Dalam itu, ia juga digunakan untuk menghilangkan bau pada kemaluan bayi selain mengurangkan geseran pada pakaian serta merawat ruam.

    Persoalannya, bagaimanakah produk kosmetik ini boleh membahayakan bayi anda? Jawapannya adalah ia akan membahayakan bayi anda jika mereka terhidunya secara tidak sengaja dan berlebihan. Untuk mengelakkan perkara ini daripada berlaku, anda boleh cuba ikuti tip yang berikut:

    • Jangan sapu bedak bayi terus pada tubuh badan bayi  tetapi taburkan atas kain bersih terlebih dahulu. Kemudian, tepuk kain pada tubuh badan mereka 
    • Jangan taburkan bedak di kawasan alat kelamin bayi
    • Elak dari terkena mata bayi 
    • Pilih bedak yang dibuat daripada kanji jagung dan ubi
    • Jauhkan penggunaan bedak di kawasan muka bayi
    • Pertimbangkan untuk ganti bedak talkum bayi dengan menggunakan krim jika alasan anda menggunakannya untuk elak ruam lampin

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

    Baca juga:

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 05/03/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan